Zara Zya kembali mencuri perhatian peminat muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Terpatri Cinta”. Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Wanns Ahmad ini menampilkan sisi lembut dan matang pelakon serta penyanyi terkenal itu dengan nuansa romantik yang berpadu dengan elemen Islamik yang mendalam.
Bagi Zara, “Terpatri Cinta” bukan sekadar kisah cinta biasa. Ia membawa mesej tentang keikhlasan, reda dan cinta yang berpaksikan Allah. Menurutnya, lagu ini memiliki jiwa yang lembut dan penuh makna, sesuai dengan apa yang ingin disampaikannya kepada pendengar.
“Pertama kali saya dengar melodi dan baca liriknya, saya terus tertarik. Lagu ini bukan sekadar tentang kasih, tapi tentang cinta yang ikhlas kerana Allah. Wanns hasilkan mengikut apa yang saya impikan, ada sentuhan Indonesia dan sedikit elemen Islamik,” ujar Zara.
Sebahagian daripada bait lagu ini juga cukup dekat dengan perjalanan peribadinya sebagai seorang wanita dan insan seni. Zara mengakui bahawa “Terpatri Cinta” mencerminkan sisi hatinya yang penuh pengalaman dan pengharapan. Bagi dirinya, cinta bukan hanya perasaan, tetapi juga doa yang membawa ketenangan.

Dari segi mesej, “Terpatri Cinta” mengajak pendengar untuk memahami cinta dalam bentuk yang lebih suci, bukan sekadar antara dua hati tetapi dua jiwa yang berpaut menuju syurga. Zara menegaskan bahawa cinta yang indah adalah cinta yang diberkati dan diniatkan kerana Allah.
Dalam aspek produksi, Zara memilih lagu ini kerana ia sederhana namun sarat dengan emosi. Proses rakaman berjalan lancar dan menyenangkan bersama Wanns Ahmad yang memahami cara penyampaiannya. Cabaran utama baginya adalah untuk mengawal emosi agar setiap bait disampaikan dengan rasa yang jujur dan tulus.
Menariknya, muzik video rasmi “Terpatri Cinta” berkonsepkan minimalis dengan penekanan pada ekspresi dan perasaan berbanding visual berlebihan. Datuk Alha Alfa turut menaja muzik video tersebut sebagai tanda sokongan kepada Zara.
Apabila ditanya bagaimana beliau menggambarkan lagu ini dalam satu perkataan, Zara menjawab, “Abadi. Cinta yang abadi kerana Allah.” Beliau berharap agar lagu ini diterima dengan baik oleh semua lapisan pendengar dan dapat menyentuh hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.
“Kalau ada yang rasa tenang, terubat atau tersenyum selepas mendengar lagu ini, itu sudah cukup bermakna bagi saya. Terpatri Cinta bukan sekadar lagu, tapi doa kecil tentang cinta abadi,” tambahnya.
“Terpatri Cinta” kini boleh didengari di semua platform penstriman muzik utama dan muzik video rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.