Wanita tidak tahan tekanan

Wanita tidak tahan tekanan

SIRI 2: KEMURUNGAN

JIKA anda mengandaikan masalah kemurungan bukan sesuatu yang serius, anda seharusnya berfikir sekali lagi. Dan seperkara, jangan sesuka hati melabelkan diri sendiri mengalami kemurungan.

Masih ingat lagi bagaimana penyanyi remaja, Hakiem Rusli dihentam teruk apabila mengeluarkan kenyataan bahawa dirinya murung. Kemurungan yang dialaminya telah mendorongnya membuat keputusan untuk bersara daripada dunia seni.

Pengakuan itu dianggap sesetengah pihak sekadar mahu meraih populariti. Entah benar atau tidak, hanya Tuhan yang tahu. Namun, secara kebetulan, selepas berminggu-minggu isu kemurungan itu dimainkan, selebriti itu mengeluarkan single terbaharu.

Lantas, si anak muda itu terus dikritik bertalu-talu daripada masyarakat sekeliling malahan rakan artis juga kurang senang dengan tindakannya itu. Amarah mereka membuak-buak kerana sedar bahawa isu murung bukan boleh dipermain-mainkan.

Dalam siri pertama Sihat:Aktif telah mengupas tentang Bahana Kemurungan dan memperincikan tentang keupayaan seseorang yang boleh merentap nyawanya sendiri gara-gara sedih keterlaluan.

Dalam hal ini, golongan manakah yang cenderung untuk murung? Kaum lelaki atau wanita?

Wanita mendahului

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi data pada tahun 2015 mendedahkan, dari segi gender golongan wanita mencatatkan kadar kelaziman gangguan mental kemurungan paling tinggi iaitu 5.1 peratus; berbanding lelaki 3.6 peratus!

Manakala dari segi umur, kadar kelaziman gangguan mental kemurungan adalah tinggi dalam lingkungan umur dewasa tua iaitu di antara 55 tahun hingga 74 tahun (7.5 peratus wanita, 5.5 peratus lelaki).

Dapatan kajian pertubuhan dunia itu selari dengan jurnal bertajuk Wanita dan Kemurungan Dari Perspektif Jurang Gender: Simptom Dan Faktor yang dikaji oleh penyelidik Universiti Malaya, Rose Fazilah Ismail, Rusdi Abd Rashid, Zahari Ishak dan Haris Abd Wahab.

Mereka mendapati, prevalen gangguan mental adalah tinggi dalam kalangan wanita berbanding lelaki [30.8 peratus (29.2, 32.5) vs 27.6 peratus (27.3, 30.4)].

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir pula memberitahu, wanita gemar mengambil pendekatan tidak berkongsi masalah dialami, sebaliknya memendam perasaan hingga mengalami kemurungan.

“Golongan wanita dalam lingkungan usia di antara 17 hingga 22 tahun, cenderung mengalami kesihatan mental disebabkan mereka lebih suka memendam perasaan berbanding lelaki yang bersifat terbuka,” katanya sambil memberitahu, pihaknya ada menjalankan ujian saringan Simptom Kemurungan, Keresahan dan Tekanan kepada 14,000 kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan tahun lalu.

Hormon

Anda pasti tertanya-tanya mengapa wanita yang senang untuk murung? Kajian daripada Persatuan Pengamal Psikiatri Amerika Syarikat ada jawapannya.

Kata kajian, itu semua berpunca daripada hormon pada tubuh wanita lebih ketara.

“Kemurungan pasca kehamilan, akil baligh dan menopause iaitu berlakunya ketidakseimbangan dan perubahan hormon dalam tubuh seseorang wanita itu menyebabkan pendedahan kepada kemurungan lebih terarah,” memetik hujah dalam kajian itu.

Mengulas lanjut, Pakar Psikiatri Hospital Serdang, Dr Elinda Tunan bersetuju bahawa kemurungan dalam diri wanita berkait rapat dengan (perubahan) hormon.

“Wanita lebih dilihat terkesan dengan perubahan hormon terutama semasa mengandung dan melahirkan. Perubahan (hormon) ini akan mudahkan mereka lebih beremosi. Mereka akan lebih moody, cepat marah dan wujud perasaan-perasaan negatif lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika soal jawab mengenai isu tersebut menerusi Facebook Live Kementerian Kesihatan Malaysia baru-baru ini.

Sihat:Aktif turut mengajak Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar Kampus Kuala Lumpur, Nor Azwa Ahmad berdiskusi perihal kemurungan.

Ujar Nor Azwa, peningkatan peratusan golongan menghidapi kemurungan di negara ini agak membimbangkan.

“Secara psikologinya, wanita ini lemah daripada lelaki. Ini bermakna, mereka cepat terusik emosinya jika di bawah paras tekanan.

“Kelemahan dan kekurangan golongan ini dari aspek biologi, psikologi dan sosial turut mendorong kaum Hawa tergolong sebagai kumpulan paling berisiko tinggi terdedah pada gangguan kemurungan berbanding lelaki,” katanya.

Kajian The Malaysian Journal of Administration (Rose fadillah et. Al, 2018) menjelaskan, hubungan di antara faktor psikososial dengan gangguan kemurungan (berdasarkan perbezaan gender) berakar umbi dari model diathesis-tekanan psikopatologi.

Model berkenaan antara lain menekankan bahawa gangguan kemurungan berlaku kerana kelemahan diri individu dan perbezaan gender (perbezaan sifat, ciri atau karakter di antara lelaki dan wanita).

Selain itu, perbezaan tekanan yang dihadapi oleh lelaki dan wanita juga berlainan dari aspek tindak balas terhadap tekanan yang berlaku dalam kehidupan. Cara lelaki dan wanita bertindak balas terhadap tekanan juga berbeza-beza.

Dalam hal ini, corak pemikiran dan strategi daya tindak pengawalan emosi, faktor sosial dengan tekanan kehidupan yang mencabar ada kalanya membuatkan seorang wanita itu tewas.

“Sebagai contoh, wanita sedaya upaya cuba menjadi supermom . Jadi, bila penat, ia akan mula menarik getaran negatif. Itu sebab mereka ini boleh cepat depresi,” jelasnya.

Pengakuan: ‘Saya pernah lalui fasa perit ketika berdepan kemurungan’

ANITA ABU BAKAR, 41, memberitahu, beliau pernah melalui fasa perit dalam kehidupannya. Ya, Anita mengaku pernah diselubungi rasa murung dan takut yang teruk.

Itu semua gara terpaksa memfokuskan kepada kerja dan dua anak pada masa sama.

“Bayangkan, ketika itu, saya tidak mahu mahu bercakap dengan orang kecuali dengan suami dan ibu. Sakit saya ini memang tak nampak dari luar.

“Saya tidak nampak perkara yang positif, saya terkontang-kanting, rasa seperti tiada jalan keluar dan hampir berputus harap,” ceritanya baru-baru ini.

Lebih menakutkan, akuinya, semasa kemurungan beberapa tahun lalu, unsur-unsur mistik kerap mengganggu dirinya yang tidak keruan itu.

Ujar Anita yang kini merupakan Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa), sakit mental atau kemurungan sesuatu yang tidak dapat digapai oleh minda normal sebenarnya.

Ujar wanita itu, untuk mengubati penyakit itu, beliau terpaksa mendapatkan rawatan dengan pakar psikiatri dan pakar-pakar lain.

Bukan sebulan, dua boleh pulih sebaliknya ia memakan masa enam hingga lapan bulan.

Justeru, kepada masyarakat, pesannya, jangan cepat menghukum kepada mereka yang berdepan dengan kemelut sebegini.

“Mereka yang merasakan sudah ada ciri murung, apa perlu anda lakukan ialah lakukan diagnosis terlebih dulu dengan merujuk pakar psikiatri atau paling mudah pergi ke klinik kesihatan dan buat saringan kesihatan mental.

“Kalau keputusan kita dirujuk sebagai level tinggi, kita akan dirujuk ke hospital, dan berjumpa pakar psikiatri. Apabila pakar psikiatri dah sahkan ada sakit, di situ, rawatan akan bermula. Ingat, kita hilang fungsi dalam kehidupan kalau kita tidak mendapatkan rawatan,” kongsinya.

Cegah kemurungan berdasarkan perspektif Islam

SEBENARNYA, kemurungan boleh diatasi. Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Khairunneezam Mohd Noor ada kaedah yang boleh diikuti.

Menurutnya, manusia secara fitrahnya dipengaruhi oleh unsur dalaman terdiri daripada perasaan, jiwa dan nafsu.

Sekiranya unsur-unsur tersebut mengalami gangguan, maka ia akan mempengaruhi tingkah laku dan perbuatannya, ujar beliau.

“Bijak pandai bidang agama menegaskan, proses penyembuhan kemurungan dan masalah mental boleh dilakukan secara kerohanian iaitu dengan membaca al-Quran, mendirikan solat, berzikir, doa-doa lazim dan khusus, bermunajat, berwuduk, memperbanyakkan selawat ke atas Nabi dan melakukan amar maa’ruf sebagaimana yang digariskan dalam syariat Islam,” katanya.

Menurutnya, ini selari dengan firman ALLAH SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Maka ingatlah kepada-Ku. Aku juga akan ingat kepadamu.” (Surah al-Baqarah ayat 152).

Khairunneezam berkata, Islam menggalakkan umatnya supaya menjadi generasi yang cergas, cerdas dan bersemangat untuk menghadapi apa jua cabaran kehidupan yang ada kalanya menekan emosi dan jiwa.

“Selain itu, kita juga disarankan menjaga kesihatan diri melalui pemakanan seimbang dan mengikut sunnah, aktiviti fizikal dan riadah secara tekal. Islam juga menyarankan agar kita tidak menyimpan dan memendam rasa tanpa mendapatkan bantuan dan pandangan pihak lain dalam merungkai kekusutan masalah,” katanya.

Kesimpulannya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan perasaan dan kemurungan, kita perlu sedar bahawa ia boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati landasan Islam. -AG

Anekdot 1:

13 Indikator Penghidap Kemurungan Tersembunyi

Kelihatan tidak tertekan

Kelihatan penat, sentiasa mengadu cepat keletihan

Orang yang panas baran

Tabiat makan tidak normal

Tidak dapat tidur mencukupi

Tidak ambil kisah dengan kebahagiaan mereka

Sukar bertindak balas kepada kasih sayang, keprihatinan

Tidak bersemangat dan kerap menolak aktiviti pernah mereka gemari

Menunjukkan kemarahan dan tidak sabar

Melahirkan tabiat makan tidak normal

Ada hari yang buruk dan baik (Jika seseorang itu mengalami kemurungan yang tersembunyi atau tidak didiagnosis, mereka akan kelihatan seperti memiliki perasaan yang berubah-ubah bergantung kepada tahap kemurungan)

Seorang yang ceria dan mudah bergaul (Penyelidik-penyelidik di Universiti of Rochester Medical Center mendapati penghidap kemurungan sukar dikenalpasti apabila mereka berada dalam keadaan ceria terutamanya dalam kelompok orang dewasa)

Sembunyikan kemurungan Terdapat beberapa kajian menarik berkaitan dengan sikap kemurungan orang Eropah dan Australia, begitu banyak stigma hingga membuatkan mereka bertekad tidak mendedahkannya.

Sumber: http://www.myhealth.gov.my

Anekdot 2:

Petua Atasi Kemurungan

Pakar Sakit Puan dan Perbidanan, Dr Hamid Arshat menggariskan beberapa panduan untuk menangani perlakuan menakutkan ini.

1 Tawakal

Sentiasa berdoa dikurniakan kesihatan dan kekuatan tubuh dan tawakal sambil berusaha tangani stres.

2 Reda

Jika wujud masalah besar, anggap ia ujian untuk menguji keimanan kita.

3 Sabar dan tahan marah

Tinggalkan dan beredar untuk sejukkan hati. Berwuduk.

4 Memaafkan

Selalu memaafkan dan terus melupakan tanpa mengungkit.

5 Tidak berdendam

Usah simpan dendam dan kawal perasaan untuk membalas.

6 Cari hobi

Lakukan perkara-perkara yang disukai.

7 Tarik nafas

Amalkan tarik nafas mendalam dan ulang perlahan-lahan. Ulangi untuk 5 minit. Lakukan ketika stres.

Nota: Kementerian Kesihatan turut menyediakan kemudahan saringan bagi mengenal pasti penyakit dan tekanan emosi individu kerana menyedari tidak mudah untuk mengenal pasti masalah emosi dan tekanan mental seseorang.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *