Kumpulan popular Indonesia, Wali Band bakal kembali menemui peminat di Kuala Lumpur menerusi WALI Exclusive One Night Only yang dijadualkan berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 21 November 2026.

Dianjurkan oleh 25th Studio dan Infinity Love Creative Venture, konsert ini bakal membawa pengalaman istimewa buat peminat menerusi persembahan khas yang menampilkan lagu lagu popular Wali Band sepanjang perjalanan muzik mereka.

Berbeza dengan konsert berskala besar, acara kali ini hanya dibuka kepada 5,000 penonton sahaja bagi memberikan pengalaman yang lebih eksklusif dan dekat bersama kumpulan muzik Indonesia tersebut.

Dengan jumlah penonton yang terhad, peminat berpeluang menikmati persembahan Wali Band dalam suasana lebih intim sambil menghayati karya karya yang telah menjadi sebahagian daripada kenangan mereka.

Kehadiran Wali Band di Kuala Lumpur kali ini menyusuli penampilan mereka menerusi Konsert Wali Kembali di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 1 Mei 2026 yang menyaksikan hampir 12,000 peminat hadir.

Namun, konsert tersebut merupakan penganjuran berasingan oleh pihak terdahulu, manakala WALI Exclusive One Night Only pada November ini dianjurkan oleh 25th Studio dan Infinity Love Creative Venture.

Selain Kuala Lumpur, Wali Band turut dijadualkan mengadakan persembahan menerusi WALI Live In JB yang akan berlangsung pada 3 Oktober 2026 di EduCity Complex, Johor Bahru.

Bagi menambahkan lagi tarikan acara ini, penyanyi dan penulis lagu popular Malaysia, Najwa Latif akan tampil sebagai artis undangan khas untuk membuka tirai persembahan sebelum Wali Band mengambil alih pentas utama.

Kemunculan Najwa Latif bakal mempertemukan dua figura muzik dari Malaysia dan Indonesia dalam sebuah pentas yang sama, sekali gus memberikan variasi hiburan kepada penonton yang hadir.

Sepanjang kerjaya muzik mereka, Wali Band dikenali menerusi lagu lagu popular seperti Baik Baik Sayang, Cari Jodoh, Dik, Doaku Untukmu Sayang dan Tobat.

Karya karya tersebut terus mendapat tempat dalam kalangan peminat dan menjadi antara lagu yang sinonim dengan perjalanan muzik Wali Band di Malaysia.

Tiket bagi WALI Exclusive One Night Only akan mula dijual pada 23 September 2026, jam 12.00 tengah hari menerusi www.myticket.asia.

Pelbagai kategori tiket ditawarkan termasuk CAT 1 Dik berharga RM182 untuk Free Standing, CAT 2 Baik Baik Sayang berharga RM482 untuk Numbered Seating, CAT 3 Doaku Untukmu Sayang berharga RM322 untuk Numbered Seating, CAT 4 Tobat berharga RM252 untuk Numbered Seating, VIP Berkah berharga RM782 untuk Numbered Seating dan VVIP Cari Jodoh berharga RM2,222 untuk Numbered Seating.

Dengan sokongan Hot FM dan Kool FM sebagai radio rasmi, WALI Exclusive One Night Only bakal menjadi satu lagi ruang buat peminat menikmati persembahan langsung Wali Band serta mengimbau kembali lagu lagu yang telah mencipta kenangan.