Ucapan Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan Sempena Majlis Pelancaran Jariah Fund

(Teks Ucapan)

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

  • Yang Berhormat Senator Datuk Dr Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
  • Yang Berbahagia Tan Sri Faizah Mohd Tahir, Pengerusi, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sejahtera
  • Yang Berbahagia Dato’ Megat Ahmad Shahrani, Presiden, The National Autism Society of Malaysia (NASOM)
  • Yang Berusaha, Tuan Haji Muhammat Puzi Ahmat, Ahli Lembaga Yayasan Muslimin
  • Yang Berbahagia Datin Fauziah Mohd Ramly, Naib Presiden The Malaysian Association of the Blind (MAB)
  • Yang Berusaha Tuan Haji Zaim Shaari, Timbalan Pengerus Yayasan Ikhlas
  • Yang Berusaha Encuk Khairul Kamarudin, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad
  • Barisan Pengurusan Rakan-rakan Amal dan Bank Muamalay Malaysia Berhad
  • Para media, dan
  • Sidang hadirin sekalian

Saya memanjangkan rasa syukur kerana dengan izin-Nya , kita dapat berkumpul pada hari ini untuk menyaksikan majlis pelancaran portal pendanaan awam patuh Syariah Bank Muamalat yang dinamakan Jariah Fund.

Saya juga ingin mengalu-alukan kedatangan Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamada Al-Bakri, Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang sudi meluangkan masa hadir ke majlis ini.

YB Senator, Tuan-tuan dan puan-puan,

Konsep pendanaan awam (crowdfunding) yang mampu menyediakan sokongan kewangan tambahan kepada peniaga, pengusaha, badan amal dan benefisiari semakin mendapat perhatian, terutamanya ketika dunia diancam penularan wabak COVID-19.

Pendanaan awam adalah instrumen kewangan yang memanfaatkan teknologi dan platform media sosial untuk menyalurkan bantuan kepada kumpulan sasar termasuk Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (MSME) serta golongan yang memerlukan dan terpinggir.

Platform pendanaan awam ekuiti (ECF) dan pinjaman rakan setara (P2P) banyak menyumbang modal untuk kegiatan perniagaan MSME.

Laporan tahunann Suruhanjaya Sekuriti 2019 menyebut bahawa ECF dan P2P telah menyumbang dana alternatif berjumlah hampir RM706 juta kepada 1,943 MSME.

Selain MSME, instrumen pendanaan awam juga digunakan untuk membantu badan amal bagi merealisasikan projek kewangan sosial kerana ianya mampu mengumpul dana dari pelabur runcit dan industri.

Para jemputan yang dihormati,

Platform pendanaan awam yang berfungsi sebagai pelengkap kepada pembiayaan bank semakin popular selepas kebanyakan perniagaan terjejas berikutan pandemik COVID-19.

Sebelum ini, kebanyakan platform yang diusahakan oleh bank tempatan dibangunkan secara penyumberan luaran (outsourcing).

Sukacita ingin saya memaklumkan bahawa Bank Muamalat adalah peneraju dalam kalangan Institusi Kewangan Islam di negara ini yang berjaya membangunkan sebuah platform pendanaan awam dalam talian, dengan menggunakan kepakaran dalaman sepenuhnya, untuk tujuan amal.

Objektif Jariah Fund adalah untuk menyantuni golongan yang memerlukan dan meringankan beban masyarakat melalui penerapan teknologi kewangan (fintech).

Platform ini menyaksikan penggabungan teknologi dan penyelesaian Syariah bagi memenuhi keperluan kebajikan masyarakat di negara ini.

Kematangan digital yang dipaparkan melalui platform Jariah Fund mampu menarik dan menepati keperluan penderma yang semakin gemar akan transaksi kewangan yang mudah, telus dan efisien.

Hadirin yang dimuliakan,

Platform Jariah Fund menggunakan proses pembayaran elektronik menerusi terbang pembayaran FPX dan lebih menarik lagi maklumat kutipan sumbangan kempen disiarkan secara masa sebenar (real time).

Platform pendanaan awam ini memudahkan urusan menderma kerana ianya telus, serta mampy menyediakan laporan terkini, dan kemas kini jumlah yang dikumpulkan, selain perkongsian kisah kejayaan benefisiari.

Pengurusan Jariah Fund yang tertumpu kepada amalan ketekunan wajar (due diligence) dan sistem pembayaran yang selamat adalah penting bagi pihak Bank untuk memelihara integriti sistem kewangan Islam, serta meningkatkan penjenamaan Bank Muamalat.

YB Senator, Tuan-tuan dan puan puan,

Ingin saya tekankan di sini bahawa platform ini merupakan salah satu inisiatif Bank Muamalat bagi menyokong strategi Pengantataan Berasaskan Nilai (Value-Based Intermediation – VBI) yang dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia.

Inisiatif ini merupakan langkah penting oleh industri perbankan untuk meningkatkan standard proses, amalan dan tatakelakuan yang menggalakkan aktiviti perniagaan dan pembentukan komuniti lestari.

Sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang berorientasikan VBI, Bank Muamalat memainakn peranan penting dalam menggerakkan sumber untuk membiayai keperluan masyarakat.

Para jemputan yang dihormati,

Platform Jariah Fund pada asasnya berteraskan konsep infaq yang bertujuan mendidik pemilik harta agar tidak sombong dengan kekayaannya, merapatkan jurang antara yang kaya dan miskin dan memenuhi keperluan pendanaan sesebuah ekonomi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya kepada jalan Allah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (Surah al-Baqarah: 261)

Hadirin yang dimuliakan,

Pelaksanaan Jariah Fund menjalinkan kerjasama antara dua pihak iaitu pihak Bank dan rakan amal yang terdiri daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), Organisasi Bukan Berasaskan Keuntungan (NPO), Pertubuhan dan Kelab.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada lima (5) rakan amal jariah Fund yang terdiri daripada Yayasan Sejahtera, Yayasan Ikhlas, Yayasan Muslimin, The National Autism Society of Malaysia (NASOM) dan Malaysian Association for the Blind (MAB).

Rakan amal yang nenyertai Jariah Fund bagi fasa pertama, dipilih selepas melalui proses saringan ketat.

Melalui platform ini pelbagai projek sosial melibatkan tiga kategori iaitu pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi dapat dilaksanakan.

Antara kempen yang dipilih termasuk projek penamaan cili, projek penjualan putu mayam, projek pembelajaran anak orang asli, prohek sumbangan peralatan hospital kepada pesakit dan membantu golongan yang terjejas semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam Fasa Pertama bermula September 2020 hingga March 2021, Bank Muamalat menyasarkan untuk menyalurkan sumbangan sebanyak kira-kira RM40,000 kepada benefisiari terpilih melalui enam (6) projek yang akan dilaksanakan melalui platform ini pada tahun hadapan, dengan sasaran 15 projek, in shaa Allah.

Para jemputan yang dihormati,

Untuk menjayakan platform ini, saya dengan rendah hatinya ingin mempelawa tuan-tuan dan puan puan untuk melayari laman sesawang jariahfund.muamalat.com.my dan pilihlah kempen untuk menyumbang.

In shaa Allah dengan sumbangan tuan-tuan dan puan-puan, akan lebih ramai lagi benefisiari yang dapat dibantu.

Sekian, saya sudai dengan lafaz Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terimakasih.