KUALA LUMPUR, 29 Julai 2026 – Filem survival thriller terbitan Key Billions Sdn. Bhd., Tiket Sehala, diraikan menerusi Majlis Gala Premiere yang berlangsung di TGV Cinemas, Sunway Pyramid, hari ini, menjelang tayangan rasminya di pawagam seluruh negara pada 6 Ogos 2026.

Majlis berkenaan menghimpunkan barisan pelakon, tenaga produksi, rakan kerjasama, tetamu jemputan serta pengamal media bagi menyaksikan tayangan perdana filem arahan dan terbitan Rahila Ali itu.

Mengangkat isu penipuan pekerjaan atau job scam serta pemerdagangan manusia yang diinspirasikan daripada realiti kehidupan masyarakat, Tiket Sehala menyajikan kisah survival yang bukan sahaja mendebarkan, malah sarat dengan elemen emosi, pengorbanan, harapan dan perjuangan untuk mendapatkan kebebasan.

Filem ini turut menampilkan barisan pelakon tempatan dan antarabangsa dari Malaysia, Korea Selatan, Thailand serta Indonesia. Menariknya, penggambaran Tiket Sehala turut dijalankan di Malaysia dan Korea Selatan, sekali gus memberikan latar dan dimensi yang lebih luas kepada jalan ceritanya.

Menurut Rahila Ali, majlis gala tersebut menjadi detik yang cukup bermakna buat seluruh pasukan selepas hampir setahun mengharungi proses pembikinan filem berkenaan.

“Selepas melalui perjalanan yang panjang untuk menyiapkan Tiket Sehala, akhirnya kami berpeluang berkongsi hasil kerja ini bersama penonton. Hari ini sangat bermakna kerana filem ini merupakan hasil usaha dan komitmen seluruh pasukan yang terlibat sejak dari awal pembikinan.

“Filem ini diinspirasikan daripada isu yang benar-benar berlaku dalam masyarakat dan kami cuba menyampaikannya menerusi sebuah penceritaan yang mendebarkan. Di sebalik elemen thriller dan debaran, filem ini turut membawa kisah tentang harapan, pengorbanan serta nilai sebuah kebebasan.

“Kami berharap Tiket Sehala dapat membuka mata penonton terhadap realiti yang mungkin masih kurang disedari. Sekiranya penonton meninggalkan pawagam dengan kesedaran yang lebih tinggi dan lebih berhati-hati terhadap isu ini, ia sudah cukup bermakna buat kami,” katanya.

Rahila turut mengakui proses penggambaran Tiket Sehala bukan sesuatu yang mudah, khususnya kerana sebahagian besar produksi dijalankan di Korea Selatan.

Antara cabaran yang perlu dihadapi termasuk urusan permit, logistik, keadaan cuaca serta penyelarasan antara pasukan produksi Malaysia dan Korea Selatan yang mempunyai perbezaan dari segi budaya kerja.

“Sudah tentu ada perkara yang tidak berjalan seperti yang dirancang dan ada ketika kami perlu membuat keputusan dalam tempoh yang singkat. Namun, bagi saya, setiap cabaran itu merupakan sebahagian daripada proses dalam menghasilkan sesebuah filem.

“Apa yang paling saya syukuri ialah komitmen yang diberikan oleh seluruh pasukan produksi. Tanpa usaha dan kerjasama mereka, Tiket Sehala tidak mungkin dapat disiapkan dan dipersembahkan kepada penonton seperti hari ini,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif, Eddie Yap, berkata isu penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia masih menjadi ancaman yang berlaku di pelbagai negara, termasuk melibatkan rakyat Malaysia.

Beliau berharap Tiket Sehala dapat menjadi salah satu medium untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko yang wujud di sebalik tawaran pekerjaan yang meragukan.

“Kita sering melihat laporan mengenai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara. Menerusi Tiket Sehala, kami berharap masyarakat akan lebih berwaspada dan melakukan semakan sewajarnya sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan.

“Kami juga berharap filem ini bukan sekadar memberikan pengalaman tontonan yang mendebarkan, tetapi turut meninggalkan kesedaran bahawa setiap keputusan yang dibuat boleh membawa kesan besar terhadap kehidupan seseorang,” katanya.

Tiket Sehala akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 6 Ogos 2026.