SHAH ALAM, 19 Ogos 2026 – KRU Entertainment hari ini memperkenalkan 18 acara yang bakal berlangsung di Aneka Walk sehingga penghujung 2026 menerusi Temasya Aneka, sebuah acara prebiu khas yang menghimpunkan pelbagai acara, tarikan serta penyewa utama di destinasi berkenaan. Penganjuran Temasya Aneka menjadi antara langkah baharu dalam usaha membangunkan Aneka Walk di SA Sentral sebagai Destinasi Gaya Hidup & Hab Kebudayaan. Pengisian yang dirancang merangkumi pelbagai elemen termasuk muzik, seni, budaya, gastronomi, hiburan serta aktiviti untuk keluarga dan komuniti. Menurut Dato’ Norman Abdul Halim, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, pengisian yang konsisten merupakan antara strategi utama bagi memastikan Aneka Walk terus menawarkan pengalaman baharu kepada pengunjung. Sebanyak 18 acara telah disusun sehingga penghujung 2026 dengan setiap satunya mengetengahkan konsep dan sasaran pengunjung yang berbeza. “Hari ini kami bukan sekadar memperkenalkan Aneka Walk, tetapi apa yang bakal berlaku di sini dalam beberapa bulan akan datang. Sebanyak 18 acara telah dirancang sehingga penghujung 2026, dengan setiap acara menawarkan pengalaman dan sasaran pengunjung yang berbeza. Kami mahu sentiasa ada sebab untuk pengunjung datang dan kembali ke Aneka Walk,” katanya. Antara tarikan utama yang diperkenalkan ialah Kayangan, sebuah pengalaman eksklusif yang menggabungkan persembahan budaya dengan sajian tradisional Melayu yang dikurasi oleh Dato’ Chef Zam. Persembahan sulung Kayangan berjudul Hikayat Nusantara bakal membawa pengunjung menghayati sejarah dan budaya Nusantara menerusi gabungan elemen penceritaan, persembahan langsung, muzik, tarian, visual serta pengalaman gastronomi. Kayangan bakal menjadi persembahan mingguan utama di Aneka Walk dengan tiga sesi setiap minggu pada malam Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 4 September 2026. Inisiatif ini turut dilihat sebagai satu produk pelancongan budaya yang menyasarkan bukan sahaja masyarakat tempatan, malah pelancong domestik dan antarabangsa. Dalam pada itu, Temasya Aneka turut memperkenalkan barisan penyewa terawal yang bakal memperkukuhkan penawaran gastronomi di destinasi berkenaan. Antaranya termasuk Kek Lapis Warisan yang mengetengahkan kek lapis sebagai produk warisan tempatan, selain KRU Café yang bakal membuka outlet pertamanya di Aneka Walk. Promosi bagi 18 acara yang dijadualkan berlangsung sehingga penghujung 2026 turut mendapat kerjasama Astro Audio, di samping menawarkan pakej pengiklanan kepada penyewa dan pempamer menerusi rangkaian radio serta platform media sosialnya. Post navigation “Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5” Angkat Legasi Lima Dekad Dalam Nafas Simfoni