Figura muzik muda, Syasya Rizal, secara rasmi membuka lembaran baharu dalam karier muzik solonya menerusi pelancaran single sulung yang dinantikan, “Different”. Lagu ini menjadi penanda aras penting buat Syasya yang kini tampil dengan versi diri yang lebih matang, yakin dan berdikari.

Dicipta dan ditulis bersama barisan komposer seperti Amirul Azhar, Asyraf Nasir, Adib Hamdi, Naim Daniel serta Syasya Rizal sendiri, “Different” membawakan tenaga pop yang segar tanpa menghilangkan identiti asal yang pernah memikat hati para peminatnya.

Lagu ini menyampaikan mesej pemerkasaan diri bahawa setiap individu berhak mengejar impian tanpa perlu bersaing atau membandingkan diri dengan orang lain.

Menurut Syasya, inspirasi lagu ini lahir daripada keinginannya untuk memperkenalkan identiti sebenar sebagai seorang artis solo. Beliau mahu menghasilkan muzik yang apabila didengari, orang ramai dapat mengenali identitinya sebagai Syasya.

Elemen tenaga dan muzik yang dikenali sebelum ini masih dikekalkan, namun kali ini Syasya tampil dengan fasa kehidupan serta pengalaman yang baharu.

Bagi Syasya, “Different” merupakan karya yang sangat peribadi kerana ia menterjemahkan fasa hidupnya kini yang telah berkembang menjadi seorang isteri dan ibu, di samping terus berjuang mengejar impian dalam industri muzik.

Syasya berkata mesej utama lagu ini adalah tentang membina laluan sendiri tanpa perlu bersaing dengan sesiapa. Menurutnya, fasa perkahwinan atau keibuan bukanlah penghalang untuk seorang wanita berhenti mengejar impian.

Keutamaan seseorang mungkin berubah, namun impian tidak semestinya perlu dipadamkan. Syasya berharap lagu ini dapat memberi inspirasi kepada wanita untuk terus berkembang, berubah dan mengejar impian yang membuatkan mereka berasa hidup.

Mengulas mengenai proses pembentukan lagu ini, Syasya meluahkan rasa syukur kerana dapat bekerjasama dengan kumpulan produksi yang sangat menyokong, terutamanya kerana ini merupakan pengalaman awalnya dalam bidang penulisan lagu.

Walaupun masih baharu dalam penulisan lagu, Syasya berkata barisan produksi terbabit terbuka untuk mendengar idea dan pandangannya. Suasana kerja yang selesa dan saling menghormati turut membolehkannya lebih berani menyuarakan keinginan secara kreatif.

Syasya berharap “Different” dapat dinikmati oleh para pendengar serta menjadi hadiah bermakna buat para peminat yang setia menantikan karya solonya.

Beliau turut berharap pendengar dapat menikmati tenaga lagu tersebut, menari bersama dan memahami mesej yang ingin disampaikan.

“Different” kini boleh didengar di semua platform penstriman digital.