Penyanyi berbakat besar, Syamel kembali dengan karya penuh emosi berjudul “Beribu Tanda Tanya”, sebuah lagu yang sarat dengan persoalan jiwa dan luahan hati yang tidak terjawab. Lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim yang bertindak sebagai penulis lirik, komposer dan penerbit.
Menurut Syamel, lagu ini membawa pendengar menyelami perasaan seseorang yang dihantui tanda tanya dan keresahan dalam hubungan yang tidak menemui jawapan. “Cerita lagu ini mengenai persoalan yang banyak membelenggu fikiran dan hati seseorang. Dia meluahkan rasa melalui nyanyian, penuh dengan harapan, kesedihan dan tanda tanya yang tidak berpenghujung,” jelas Syamel.
Lebih menarik, keseluruhan proses rakaman lagu dijalankan di Voltalab Sound Studio yang terletak di Manchester, United Kingdom, di bawah bimbingan Edry Abdul Halim. Lagu ini merupakan hasil kolaborasi antara Universal Music Malaysia dan Alternate Records yang sama-sama memainkan peranan penting dalam menjayakan projek ini.

Syamel turut berkongsi pengalamannya merakam lagu di studio bersejarah tersebut. “Lagu ini memang ‘mahal’ sebab saya perlu ke Manchester untuk berjumpa dengan Edry yang menetap di sana. Semua proses, dari rakaman hingga ke pembikinan visualizer dilakukan sepenuhnya di sana. Ia satu pengalaman yang sangat berharga kerana studio ini pernah digunakan oleh artis legenda UK seperti Oasis. Saya rasa sangat bertuah dapat merakam lagu ini di tempat yang penuh sejarah,” katanya.
Dari segi penyampaian, Syamel berharap pendengar dapat benar-benar menghayati lirik dan melodi lagu ini. “Lagu ini unik kerana dibina berdasarkan persoalan dalam lirik. Ramai yang mungkin pernah alami situasi hubungan yang tergantung tanpa jawapan. Jadi saya harap bila orang dengar, mereka akan rasa dekat dengan kisah ini,” tambahnya.
Menariknya lagi, “Beribu Tanda Tanya” turut dipilih sebagai lagu tema bagi drama bersiri terbaharu berjudul Doa Yang Terlindung yang bakal ditayangkan di Media Prima tidak lama lagi. Drama ini dijangka mencuit emosi penonton dengan jalan cerita yang penuh makna dan keinsafan.
Mengakhiri perbualan, Syamel berharap lagu ini akan kekal relevan sepanjang zaman. “Saya harap lagu ini boleh jadi evergreen, lagu yang orang tak pernah jemu nak dengar. Dan mungkin melalui lagu ini, pendengar akan belajar bahawa kadang-kadang lebih baik kita bertanya daripada berdiam diri. Semoga lagu ini terus hidup di hati pendengar,” ujar Syamel.
Dengan kekuatan vokal dan penyampaian penuh jiwa, “Beribu Tanda Tanya” menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seni Syamel. Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.