Susuk mendampingi syaitan

Susuk mendampingi syaitan

  • March 22, 2019
  • 0 comments

ALYA (bukan nama sebenar) bekerja sebagai seorang gadis pelayan pelanggan. Atau lebih mudah GRO. Pekerjaannya itu pun dilarang di sisi agama. Alya langsung tidak peduli.

Apa yang gadis ini tahu, dia mahu sentiasa tampil cantik dan berketrampilan. Pelanggan-pelanggannya bukan calang-calang orang. Semua yang ternama. VVIPlah istilahnya.

Ceteknya pengetahuan agama, Alya merasakan betapa pentingnya ‘mendapatkan’ penangan susuk untuk menjaga ‘sahamnya’.

Alya nekad terbang ke negara jiran untuk memakai susuk tradisional. Sekembali pulang ke Malaysia, kehidupannya mula berubah. Mahu tidaknya, lebih ramai lelaki hidung belang ‘terpesona’ dengannya.

Antara ramai lelaki, Johan (bukan nama sebenar) salah seorang peminat Alya. Rupa-rupanya Johan tidak bertepuk sebelah tangan. Cintanya dibalas Alya.

Tidak perlu bercinta bagai nak rak, kedua-duanya mengambil keputusan untuk berkahwin. Demi cinta, Alya juga sanggup meninggalkan kerja kotornya itu.

Pun demikian, rahsia susuk tetap dirahsiakan wanita berumur 30-an itu.

Lama-kelamaan Alya ‘kantoi’ juga. Reaksi Johan? Lelaki itu langsung tidak marah, sebaliknya menyuruh isterinya membuang susuk itu.

Mereka kemudian mengambil langkah susulan berubat dengan sepasang suami isteri yang menjalankan perkhidmatan perubatan Islam.

Sungguh menakutkan apabila Alya didapati memakai 100 jenis susuk. Ada berlian, jarum, tembaga dan banyak. Kata Alya, lebih kurang sebulan diperlukan untuk membuang semua susuk pada wajahnya.

Sepanjang proses itu, Alya acapkali berubah kepada pelbagai watak dan kadangkala dirasuk menyerupai haiwan tertentu.

Mahu dipendekkan cerita, dengan izin ALLAH, segalanya selesai. Walaupun Alya kini hidup bahagia bersama Johan, namun ada kalanya ‘benda-benda’ itu akan datang semula.

Alya tidak seperti Alya dulu. Kini dia mentransfomasi dirinya untuk menjadi insan yang mentaati segala suruhan-Nya. Dia kini mengaji dan pergi kelas agama bagi menangkis semua itu.

Kisah Alya hanya salah satu contoh daripada ribuan kes yang seringkali berlaku dalam kalangan masyarakat.

Itu belum cerita tentang suntikan botoks yang sangat popular yang diimplemenkan oleh wanita di luar sana.

Kenapa manusia sanggup mengabdikan diri ke lembah kejahatan sedangkan dari konteks Islam, perbuatan itu jelas berdosa.

Susuk sejenis sihir

Bagi mendasari isu yang masih ‘bergema’ ini, penulis mendapatkan Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah, Dr Jahid Sidek.

DR JAHID

DR JAHID

Kepada Sinar Islam, Dr Jahid menjelaskan, bukan sahaja wanita, malah kaum lelaki turut memakai susuk!

Pernyataan ini memang mengejut. Kata-kata pakar ini bukan sandiwara sebaliknya merujuk kepada rekod pesakit sepanjang 25 tahun pengalamannya sebagai pengamal perubatan Islam.

Apa tujuan mereka memakai susuk? Kata Jahid: “Ada pelbagai tujuan. Orang lelaki pakai susuk sebab hendak jadi pondan. Mereka pakai susuk pada tangan dan seluruh badan untuk jadi ‘lenggang’ seperti perempuan. Ada juga lelaki pakai susuk sebab hendak jadi kuat, kebal, gagah dan macam-macam lagi.

“Kalau wanita pula untuk jadi lawa, sebagai daya penarik dan sebagainya.”

Apa pun tujuannya, ujar Jahid, perbuatan ini adalah berdosa besar di sisi Islam. Pertamanya, disebabkan syirik dan kedua adalah kerana sihir.

Ujar beliau, susuk merupakan sejenis sihir. Ia berdasarkan pandangan Ibnu Hajar al-Haitami iaitu sihir merupakan perbuatan manusia yang dibantu oleh syaitan, dengan syarat manusia itu memenuhi kehendak syaitan sebagai tanda menyembahnya.

“Jadi susuk ini adalah sejenis sihir yang melibatkan syaitan, maka hukumnya dua dosa besar. Pertama syirik, kedua susuk.

“Orang yang pakai susuk sebenarnya dia sihirkan dirinya sendiri. Dalam jangka masa panjang, ia beri kesan rohani dan jasmani sangat serius seperti mengundang pelbagai penyakit, jadi pemarah dan sebagainya,” katanya.

Ujar Jahid lagi, semua itu adalah satu bentuk tipu daya syaitan sebagaimana yang disebutkan di dalam ayat al-Quran Surah al-Hijr ayat 39 hingga 42.

“Syaitan telah bersumpah untuk mengelirukan pandangan dan fikiran anak-anak Adam ketika hidup di dunia.

“Yang baik, mereka akan pandang buruk, sebaliknya yang buruk mereka akan pandang baik. Syaitan juga akan sesatkan semua anak Adam kecuali hamba ALLAH yang berhati ikhlas,” jelasnya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge