KRU bakal melakar satu lagi sejarah apabila mengumumkan pembukaan KRU Café, sebuah konsep kafe yang menggabungkan pengalaman gastronomi dan hiburan imersif. Selepas kejayaan luar biasa siri konsert mereka yang mendapat sambutan hangat di Malaysia dan Singapura, kumpulan muzik ikonik tanah air itu kini mengembangkan jenama mereka ke dalam industri makanan dan minuman. KRU Café dijadualkan mula beroperasi di Aneka Walk, Shah Alam pada suku ketiga tahun 2026.

Idea penubuhan KRU Café tercetus selepas anggota KRU menyaksikan sendiri sokongan luar biasa yang terus diberikan oleh peminat terhadap perjalanan seni mereka. Lima konsert utama di Malaysia dan Singapura berjaya mencatatkan jualan tiket habis sepenuhnya, manakala lagu-lagu KRU kembali mendominasi carta penstriman di Spotify dan Shazam. Video muzik serta kandungan berkaitan KRU turut mencatat jutaan tontonan di pelbagai platform digital, sekali gus membuktikan pengaruh dan populariti kumpulan itu masih kekal relevan merentasi generasi.

Melihat kepada kebangkitan semula fenomena tersebut, KRU berhasrat mewujudkan sebuah ruang yang membolehkan mereka terus mendekati peminat di luar pentas konsert dan platform penstriman. KRU Café diwujudkan sebagai destinasi yang meraikan perjalanan muzik mereka, mengimbau nostalgia peminat setia serta memperkenalkan legasi KRU kepada generasi baharu melalui pengalaman yang lebih dekat dan interaktif.

Bagi merealisasikan projek ini, Sony Music Entertainment Malaysia Sdn. Bhd., selaku syarikat yang menguruskan KRU, diberi tanggungjawab menyelaras kerjasama bersama beberapa rakan strategik bagi memastikan pembangunan KRU Café berjalan lancar.

Menurut Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Kenny Ong, projek berkenaan membuka peluang untuk memperluaskan hubungan antara KRU dan peminat ke arah pengalaman gaya hidup yang lebih menyeluruh. Beliau berkata KRU Café bukan sekadar sebuah restoran, sebaliknya sebuah ruang yang menghidupkan semula legasi kumpulan itu melalui gabungan muzik, kenangan dan pengalaman baharu yang mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Di bawah kerjasama tersebut, TMG Ventures Sdn. Bhd. (TMGV), kumpulan hospitaliti yang membangunkan beberapa jenama restoran termasuk The Majapahit, akan bertanggungjawab membangunkan keseluruhan konsep makanan dan minuman KRU Café. Menu yang bakal ditawarkan akan menggabungkan cita rasa Asia Tenggara dan hidangan Barat, termasuk pilihan sajian panggang premium serta stik, bagi memenuhi selera pelanggan yang pelbagai.

Turut menyertai projek ini ialah Babah Ventures Sdn. Bhd. (BBV), syarikat di sebalik jenama Bumbu Babah yang diasaskan bersama oleh selebriti Ajak Shiro. Dalam tempoh kurang dua tahun, Bumbu Babah berjaya berkembang kepada hampir 60 cawangan di seluruh negara, sekali gus muncul antara jenama makanan dan minuman yang berkembang paling pesat di Malaysia. Pengalaman syarikat itu dalam aspek operasi dan pengembangan perniagaan dijangka menjadi antara faktor penting kepada kejayaan KRU Café.

Mengulas mengenai projek berkenaan, Edry Abdul Halim berkata KRU amat menghargai kasih sayang serta sokongan yang diterima daripada peminat sejak sekian lama. Menurutnya, KRU Café menjadi satu lagi platform untuk mereka terus berhubung dengan peminat sambil mencipta pengalaman yang lebih bermakna bersama.

Yusry Abdul Halim pula berharap KRU Café dapat menjadi platform untuk mencungkil dan membimbing bakat-bakat baharu. Beliau membayangkan kafe tersebut bukan sekadar tempat menjamu selera, malah sebuah ruang kreatif yang menghidupkan persembahan muzik, kolaborasi seni dan pelbagai aktiviti komuniti.

Sementara itu, Dato’ Norman Abdul Halim menyifatkan pencapaian Babah Ventures membangunkan hampir 60 cawangan Bumbu Babah dalam tempoh kurang dua tahun sebagai sesuatu yang mengagumkan. Beliau yakin sekiranya cawangan pertama KRU Café menerima sambutan seperti yang diharapkan, konsep itu berpotensi untuk diperluaskan ke seluruh negara.

Bagi Pengasas Babah Ventures, Ajak Shiro, peluang bekerjasama dengan KRU merupakan satu penghormatan besar. Beliau berkata persetujuan untuk menyertai projek itu dicapai sejurus selepas pembentangan awal oleh Sony Music kerana percaya kepada kekuatan jenama KRU. Menurutnya, gabungan legasi KRU dengan kepakaran Babah Ventures dalam membangunkan rangkaian restoran diyakini mampu menghasilkan sebuah destinasi gaya hidup yang unik.

Cawangan sulung KRU Café akan dibuka di Aneka Walk, Shah Alam, sebuah pembangunan gaya hidup oleh PKNS yang dirancang sebagai hab makanan, budaya, hiburan dan aktiviti komuniti. Apabila mula beroperasi pada suku ketiga tahun 2026, KRU Café dijangka menawarkan lebih daripada pengalaman menjamu selera dengan menggabungkan muzik, persembahan langsung, elemen nostalgia, aktiviti interaktif serta suasana yang diinspirasikan daripada legasi salah sebuah kumpulan muzik paling berpengaruh di Malaysia.