Seharum Nama Cerminkan Transisi dan Kematangan Dalam Dunia Muzik

Perjalanan Bunga dalam dunia seni muzik diibaratkan seperti satu pengembaraan yang penuh warna dan pengalaman. Segala usaha dan penat lelahnya akhirnya terbayar apabila album pertama berjudul Seharum Nama Bunga dilancarkan secara rasmi pada 8 Ogos 2025 di semua platform digital. Album ini memuatkan 10 buah lagu yang menjadi fasa baharu dalam kerjayanya sejak mula berkecimpung pada tahun 2019.

Bunga menyifatkan album ini bukan sekadar hadiah buat peminat, sebaliknya sebagai cerminan jiwanya terhadap muzik yang disampaikan dengan penuh rasa, ketelitian dan pemilihan karya yang rapi. Bersama pelancaran album ini, penyanyi di bawah pengurusan Warner Music Malaysia itu turut mempertaruhkan single Tak Tidur Malam sebagai pembuka langkah. Selain lagu tersebut, album ini turut menampilkan Buai, Jatuh, Dengarkanlah, Intan Payung feat Noraniza Idris, Apadehal 2025 Mix, Jiwa Raga, MEMAHAMI, Nak Buat Cane dan Jalan Keluar.

Bunga mengakui proses memilih 10 lagu terbaik bukanlah mudah kerana terlalu banyak karya yang dihasilkan, namun perbincangan bersama pihak pengurusan membantu memastikan setiap lagu mempunyai nilai tersendiri. Mengambil masa dua tahun untuk disempurnakan, album ini juga menjadi ruang untuknya bereksperimen dengan pelbagai genre serta memperkayakan pengalaman bersama pasukan kreatif.

Lagu Tak Tidur Malam melalui perjalanan produksi yang panjang termasuk tiga kali proses mixing dan mastering oleh individu berbeza. Idea awalnya yang berinspirasikan bunyi dangdut diubah suai kerana dirasakan kurang sesuai dengan identiti Bunga sebelum menghasilkan versi akhir yang unik dengan elemen vibe spooky. Lagu ciptaan Amzar Razqa, Bunga dan Amsyar Razqa ini turut mengalami beberapa kali pertukaran susunan muzik bagi mencapai konsep yang diinginkan.

Bunga percaya pendengar setia akan dapat merasai kelainan daripada karya terdahulunya seperti Buai dan Intan Payung. Pelancaran album ini turut mendapat sokongan TGV Suria KLCC sebagai rakan penganjur. Dari segi visual, video muzik ME[MAHA]MI, Tak Tidur Malam dan Dengarkanlah dihasilkan seperti filem pendek dengan naratif tersendiri yang menyimpan mesej peribadi.

Sebagai penanda istimewa pelancaran ini, Bunga turut memperkenalkan edisi khas piring hitam dan barangan eksklusif hasil kolaborasi bersama jenama High Cultured yang bakal dipasarkan kepada peminat dalam masa terdekat.