Menjelang tayangan rasminya di lebih 120 pawagam seluruh negara bermula 11 Jun ini, industri perfileman tempatan bersiap sedia untuk menyambut sebuah naskhah yang bukan sahaja menyeramkan, malah sarat dengan nilai tradisi dan identity masyarakat. Filem seram psikologi terbaharu, Khadam, kini sedia menggegar pawagam seluruh negara selepas meraikan Malam Tayangan Perdana yang berlangsung penuh gemilang malam tadi. Berbeza dengan lambakan filem seram sedia ada, naskhah terbitan Red Communications dan Komet Productions ini tampil sebagai sebuah karya yang sarat dengan jiwa Melayu, membawakan sebuah kisah yang sangat dekat di hati penonton menerusi penceritaan yang berakar umbi daripada realiti budaya serta kepercayaan masyarakat setempat.

Berlatarbelakangkan era tahun 1950-an, Khadam mengikuti perjalanan emosi Melor, seorang ibu yang tersepit dalam usaha melindungi keluarganya daripada ancaman saka yang telah diwarisi turun-temurun. Pengarahnya, Shamyl Othman, berkongsi bahawa inspirasi filem ini datang daripada keinginan untuk meneroka sisi gelap budaya tempatan yang jarang dikupas secara mendalam. Menurut beliau, masyarakat Melayu sangat sinonim dengan dua jenis pewarisan, iaitu harta pusaka yang bersifat zahir, dan saka yang bersifat ghaib. Melalui filem ini, Shamyl menyorot realiti getir di mana saka yang diwarisi tidak boleh ditolak begitu sahaja, sekali guas memaksa manusia memilih sama ada mahu menjadi tuannya atau melihat institusi kekeluargaan hancur porak-peranda akibat bersekutu dengan kejahatan.

Kekuatan filem ini yang menyentuh terus ke dalam sanubari penonton terletak pada garisan naratifnya yang menguji nilai kasih sayang, trauma generasi, dan tanggungjawab seorang ibu. Menerusi lakon layar yang cukup teliti hasil nukilan Fariza Azlina Isahak, watak Melor digarap sebagai seorang wanita yang kehilangan suara sama ada secara fizikal mahupun simbolik. Pendekatan ini sengaja diambil bagi membiarkan kekuatan visual, helaan nafas, dan penderitaan batin Melor berbicara tanpa memerlukan dialog yang sarat. Elemen inilah yang menjadikan Khadam sebuah naskhah seram yang sangat manusiawi, sekaligus merealisasikan impian Penerbit Eksekutif, Datuk Ahmad Izham Omar, untuk menghasilkan sebuah filem bertaraf global tanpa sedikit pun menodai atau meluluhkan identiti budaya Melayu yang menjadi tunjang utama penceritaan.

Jiwa kemelayuan yang menebal ini digabungkan pula dengan skala produksi antarabangsa menerusi kolaborasi mega bersama rakan strategik dari seluruh rantau termasuk Magma Entertainment dan VMS Studios (Indonesia), Sil Metropole Organisation Ltd. (Hong Kong), Applause Entertainment (India), serta Primeworks Studios dan Golden Screen Cinemas (Malaysia), dengan sokongan padu daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Gabungan ini turut menyaksikan gandingan mantap merentas negara antara bintang tersohor Indonesia, Aghniny Haque yang memegang watak Melor, bersama hero malaya, Datuk Remy Ishak sebagai Awang. Filem ini turut diserikan dengan lakonan mantap daripada Siti Khadijah Halim, bakat baharu Karl’ El, pelakon cilik Zarra Zhaff, serta kemunculan istimewa Jun Lojong sebagai Nek Mak.

Malam Tayangan Perdana malam tadi turut menterjemahkan estetika klasik dan emosi filem ini ke ruang nyata. Suasana dewan dihidupkan dengan reka bentuk bunyi guruh dan hujan yang membangkitkan rasa gelisah, sebelum emosi para hadirin terus terusik dengan persembahan syahdu daripada Ernie Zakri yang mendendangkan lagu tema rasmi, Tak Berlagu. Kehadiran barisan pelakon yang segak dan anggun menggayakan busana eksklusif daripada Behati turut menambah seri majlis, dengan sokongan kuat daripada rakan hospitaliti seperti Holiday Inn Kuala Lumpur Bangsar, St. Giles Boulevard Hotel, Hyatt House Hotel, serta Per’l sebagai penaja minuman rasmi.

Reaksi awal daripada para penggiat industri dan pihak media rata-ratanya memberikan pujian melambung tinggi terhadap keberanian Khadam yang berjaya mengangkat drama keluarga yang matang dan sarat emosi tanpa perlu bergantung kepada formula seram konvensional. Diedarkan oleh GSC Movies bersama Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran, filem yang turut dijadualkan bakal menemui penonton di Singapura dan Indonesia ini dijangka bukan sahaja akan menggegar panggung dengan jeritan ketakutan, tetapi meninggalkan kesan mendalam yang membuatkan setiap penonton berfikir sejenak: sejauh mana mereka sanggup berkorban demi melindungi keluarga sendiri apabila melangkah keluar dari pawagam nanti.