Republic Mokhmah Records membuka tirai penganjuran tahun 2026 dengan sebuah kolaborasi mantap yang menghimpunkan dua nama besar dalam industri muzik tanah air — Kristal X dan Azlan & The Typewriter. Persembahan istimewa ini bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari 2026 menerusi konsert bertemakan Rockolusi Kuasa Dua.
Bagi peminat tegar Kristal X, ini adalah peluang keemasan untuk kembali menikmati karya malar segar mereka seperti Memburu Impian, Luahan Hati, Suatu Kenangan dan Seragam Hitam yang sudah sekian lama tidak dipersembahkan secara langsung. Sementara itu, penggemar Azlan & The Typewriter pasti tidak mahu melepaskan peluang mendengar secara eksklusif lagu hit Jangan Khianati Aku yang turut mencipta fenomena hingga ke Indonesia.
Menurut wakil Republic Mokhmah Records, Encik Musa, konsert ini adalah inisiatif terbaik bagi mengembalikan semarak karya dua pemuzik prolifik yang masih kekal relevan hingga kini. Katanya, Kristal X pernah menjadi fenomena dalam arena muzik tanah air dengan barisan anggota yang berbakat besar sejak usia remaja, dibantu tenaga produksi hebat di belakang tabir. Lagu-lagu mereka terus hidup hingga kini kerana sifatnya yang segar dan bertenaga.
“Republic Mokhmah Records mahu membawa semula nostalgia Kristal X dan memperlihatkan kematangan mereka yang kini tampil lebih garang dalam industri. Lebih menarik, vokalis disegani Azlan turut bersetuju untuk bergabung dalam Rockolusi Kuasa Dua, menjadikan gabungan ini sesuatu yang luar biasa,” ujar Musa.

Azlan turut melahirkan rasa teruja kerana berpeluang berkongsi pentas bersama Kristal X, yang karyanya turut menjadi sebahagian daripada perjalanan muziknya sendiri. “Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi bukti bahawa kami masih ada, masih bernyawa dalam dunia muzik tempatan. Ini masa untuk peminat keluar dan menikmati Kristal X serta Azlan & The Typewriter secara langsung setelah sekian lama menanti,” katanya.
Lebih menarik, konsert ini turut menampilkan kumpulan koir Noghori Arts School Voice Ensemble (NASVE), juara peringkat negeri dan pemenang tempat keempat peringkat kebangsaan. Keistimewaan NASVE terletak pada kehadiran anak kepada dua vokalis utama, Lan Solo dan Azlan, yang turut menyertai persembahan, sekali gus menjadikan kolaborasi ini penuh nilai sentimental dan unik.
Konsert berskala besar ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan akan mempersembahkan lagu baharu berjudul Rockolusi, hasil kolaborasi Kristal X dan Azlan & The Typewriter yang diinspirasikan daripada tema konsert itu sendiri. Lagu ini telah diperdengarkan buat kali pertama semasa sidang media di Ideas Hotel Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tiket konsert Rockolusi Kuasa Dua kini boleh didapati melalui laman web www.ilassotickets.com dengan harga bermula RM168, RM188, RM248, RM348 dan kategori Royal Box berharga RM8000 untuk 10 orang. Jualan tiket telah dibuka sejak 23 September lalu pada jam 3 petang.
Rockolusi Kuasa Dua: Kristal X dan Azlan & The Typewriter bukan sekadar konsert, tetapi simbol penghargaan terhadap pemuzik tempatan yang masih terus relevan dan wajar diberikan sokongan penuh oleh peminat muzik Malaysia. Nantikan ledakan rock istimewa ini di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari 2026 — sebuah malam yang bakal melakar sejarah baharu dalam dunia muzik tanah air.