Headlines

Rika Riana Taruh Harapan pada “Harus Begini Jadinya” Sebagai Titik Tuah

Merakamkan lagu balada bukan sekadar soal teknik vokal, tetapi juga kekuatan emosi itulah cabaran utama yang dihadapi oleh penyanyi muda berbakat, Rika Riana, ketika merakam single terbarunya Harus Begini Jadinya. Lagu yang sarat emosi ini menjadi satu perjalanan jiwa bagi gadis kelahiran Keningau, Sabah itu. “Lagu ini menuntut kejujuran dalam penyampaian kerana ia mengisahkan tentang reda melepaskan sesuatu yang bukan milik kita. Ia sangat dekat di hati saya,” ujar Rika, 25 tahun, tentang naskhah ciptaan sepenuhnya oleh komposer tersohor, Ajai.

Bagi Rika, Harus Begini Jadinya bukan sekadar lagu ia adalah refleksi kepada kisah yang pernah atau sedang dialami ramai orang. Itulah yang membuatkan Rika terpanggil untuk menyanyikannya. Tambahan pula, impian lamanya untuk berkolaborasi dengan Ajai akhirnya terlaksana melalui projek ini. “Sejak kecil saya sudah mendengar banyak karya Ajai dan saya memang menyimpan impian untuk bekerjasama dengannya. Sepanjang sesi rakaman, saya banyak belajar tentang penghayatan dan cara menyampaikan emosi secara halus tapi mendalam. Abang Ajai sangat profesional dan memudahkan segala proses,” jelas bekas peserta Mentor Milenia 2019 ini.

Namun, cabaran Rika tidak berhenti di studio rakaman sahaja. Penggambaran video muzik juga memerlukan penyesuaian saat cuaca tidak mengizinkan. Awalnya dirancang di lokasi terbuka, produksi terpaksa berpindah ke ruang tertutup. Hasilnya, MV itu tampil dengan latar bilik dan ruang tamu, membawa mesej visual yang minimalis namun penuh makna. “Kesederhanaan dalam visual ini menggambarkan rasa kehilangan, kekosongan dan proses menerima hakikat yang perlu dilepaskan. Setiap babak dirakam dengan teliti untuk menggambarkan emosi secara sunyi tapi menyentuh jiwa,” katanya lagi.

Dengan semangat baharu menjelang 2025, Rika berharap Harus Begini Jadinya menjadi permulaan yang membawa tuah dan membuka lebih banyak peluang dalam kerjaya seninya. Harus Begini Jadinya diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan oleh Indigital Music. Lagu ini boleh didengari di semua platform digital bermula 18 April 2025, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Indigital Music.