APABILA melalui deretan restoran di premis perniagaan atau pusat beli-belah, perasan atau tidak, kadangkala terpampang tanda tulisan no pork dan pork free.
Sekali pandang, restoran itu nampak begitu meyakinkan kerana tidak menyajikan makanan yang haram di sisi agama Islam iaitu daging khinzir.
Persoalannya, bolehkah kita makan di kedai berkenaan? Adakah restoran berkenaan berstatus halal? Apa pula hukumnya jika kita makan di kedai tersebut?
Mengulas lanjut jawapannya, pendakwah yang juga pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Fitri Haris mengajak kita untuk menelusuri dahulu tentang status halal.
Ujar beliau, seantero dunia termasuk Malaysia menggunakan status halal termasuk di premis makanan.
“Ia sebagai satu penanda aras bahawa restoran tersebut menggunakan 100 peratus barang-barang yang halal,” katanya merungkaikan persoalan berkenaan dalam segmen Soal Jawab Netizen pada hari ini.
Hasil pembacaan Fitri tentang restoran yang menggunakan tanda no pork atau pork free daripada seorang cef terkemuka dan beberapa artikel lain, beliau menyimpulkan kebarangkalian besar bahawa pengusaha premis perniagaan berkenaan tidak mendapat sijil halal yang jelas.
“Ini kerana, ada percampuran (dalam produk dijual). Umpamanya, kedai itu menjual minuman arak di satu bahagian kedai. Satu bahagian lagi mereka betul-betul jaga, maknanya menggunakan ayam yang disembelih, kuali yang bersih dan diasingkan antara benda yang halal dan tidak halal.
“Walaupun ia sudah elok diasingkan, namun ada benda-benda lain yang mana ia tidak 100 peratus halal. Sebab itu mereka letak (tanda) pork free kerana tidak menggunakan 100 peratus halal di dalam kedai tersebut,” terangnya.
Dalam hal itu, beliau menasihatkan kita agar memilih kedai yang jelas dari segi status halalnya.
“Ia termasuklah bahan yang digunakan dan sebagainya. Namun, jika kedai itu dekat dengan kampung kita contohnya (kedai) mak cik yang tiada tanda halal, itu cerita lain.
“Kalau kita yakin, tahu latar belakang mereka dan sebagainya serta menggunakan sumber yang halal, maka tidak perlulah sampai status halal,” jelasnya.
Tegas beliau, amat penting kita sebagai umat Islam prihatin tentang perkara yang melibatkan soal halal atau haram suatu makanan.
“Sebolehnya, pergilah ke kedai yang ada sijil halal. Ia penting bagi mengelakkan kita daripada memakan benda-benda yang meragukan.
“Bukan apa, ia dikhuatiri akan ‘menghitamkan’ hati kita. Apa yang kita makan itu akan jadi darah daging kita. Jadi, elakkan berbuat demikian,” tegasnya.