Suasana raya lebih meriah dengan rumah yang kemas! Jadi, adakah rumah anda sudah siap untuk menyambut Syawal, atau masih dalam keadaan kelam-kabut? Setelah mencipta nama dalam industri muzik menerusi rancangan realiti nyanyian, Top 5 Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) kembali dengan sebuah kejutan yang pastinya akan mencuri perhatian, iaitu pelancaran lagu raya terbaru mereka, Kemas Kemas Raya! Menggabungkan elemen muzik tradisional dan moden dalam aliran pop, lagu ini bukan hanya sebuah hiburan, tetapi juga menyuntik perspektif baru yang segar, berbeza daripada lagu raya biasa.
Lima ahli CSOIAM iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimi, Zazzleen, dan Mariam. Masing-masing teruja dengan projek Kemas Kemas Raya ini. Dengan lirik yang catchy dan muzik yang penuh tenaga, lagu ini berjaya mengimbangi elemen tradisi dan moden, serta sesuai dengan cita rasa Gen Z masa kini. Persembahan secara berkumpulan dengan korus yang mudah diikuti menjadikannya lagu yang pasti mewarnai playlist raya tahun ini.
Di samping itu, Kemas Kemas Raya turut mengingatkan kita bahawa kemeriahan Aidilfitri bukan hanya terletak pada pakaian baru, duit raya, atau makanan enak, tetapi pada suasana rumah yang teratur dan bersih. Lagu ini mengajak kita untuk kembali kepada tradisi mengemas rumah sebagai langkah pertama dalam mempersiapkan sambutan Syawal yang bakal menjelma.
Menurut Adam Stapler, komposer dan penulis lirik lagu ini, “Lagu raya biasanya lebih fokus pada duit raya, lemang, dan bermaafan. Kali ini, kami ingin tampil dengan lagu yang lebih unik dengan mesej yang ringkas tetapi penting iaitu mengemas rumah dulu sebelum beraya.”
Proses rakaman lagu ini berjalan dengan sangat lancar dan pantas, hanya mengambil masa sekitar empat jam. “Setiap seorang daripada kami merakam bahagian masing-masing dalam masa kira-kira satu jam. Kami dapat demo pada petang dan terus rakam pada malam yang sama. Komitmen semua orang sangat hebat,” kata Zazzleen.
Walaupun masa yang terhad, Adam banyak memberi panduan dan idea kreatif untuk memastikan hasil rakaman yang terbaik. Mariam pula menambah, “Adam sangat membantu dalam memberikan arah tuju yang jelas, dan dia banyak memberi input kreatif yang menjadikan lagu ini lebih menarik.”
Walaupun penuh cabaran, terutama dalam mengawal tenaga vokal dan menghayati setiap lirik, mereka berjaya memberikan yang terbaik. Kai Deva berkongsi, “Kami perlu pastikan semangat raya dirasai melalui setiap bait lirik dengan penuh keceriaan dan tenaga.”
Diharapkan lagu Kemas Kemas Raya ini dapat diterima dengan baik oleh pendengar dan menjadi lagu wajib dalam senarai muzik raya tahun ini. Marygrace berkata, “Lagu ini sangat sesuai untuk didengarkan sambil mengemas rumah, pasti tambah mood raya!” Jimi pula menambah, “Kami berharap lagu ini dapat mengeratkan hubungan antara keluarga, rakan-rakan, dan orang di sekeliling, menjadikan sambutan raya lebih bermakna.”
Dengarkan Kemas Kemas Raya sekarang di iTunes, Spotify, dan YouTube Music, dan pastikan lagu ini menjadi latar untuk setiap content raya anda! Jangan lupa kongsikan dan nikmati suasana raya yang lebih ceria dengan rumah yang teratur, tubuh sihat, dan hati yang tenang!
Untuk info terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti mereka di media sosial melalui Facebook, Instagram @alternate.my_ dan TikTok @alternate.rt_.