KOPERASI MRSM Kepala Batas terpilih untuk didokumentasikan bagi tujuan mempromosi koperasi sekolah Malaysia ke peringkat global.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, selain kecemerlangan koperasi sekolah itu, pemilihan dibuat bertujuan untuk menonjolkan elemen pembangunan komuniti setempat melalui koperasi.
“Selain itu, ia juga bagi memperlihatkan suasana pembelajaran dan kehidupan harian pelajar-pelajar di sekolah berasrama penuh itu sendiri, serta keupayaan koperasi di sekolah membantu menjana peluang pekerjaan kepada masyarakat di sekitar yang mana ia dilihat amat bersesuaian.
“Malah, usaha ini juga bertepatan dengan tema Hari Koperasi Sedunia pada tahun ini iaitu Cooperatives for Decent Work,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Tayangan Video Promosi Koperasi Sekolah Malaysia ke Peringkat Global terbitan International Cooperative Alliance (ICA) di Kelana Jaya, kelmarin.
Turut sama pada majlis itu adalah Duta Itali di Malaysia, Cristiano Maggipinto dan Duta Morocco di Malaysia, Mohamed Reda Benkhaldoun.
Tayangan video yang didokumentasikan itu menceritakan mengenai bagaimana koperasi berperanan penting dalam pembangunan komuniti berbeza di seluruh dunia.
Koperasi MRSM Kepala Batas dipilih untuk didokumentasikan oleh pasangan dari Itali iaitu Sara Vicari dan Andrea Mancori yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun dalam suntingan video termasuk suntingan video untuk dokumentari National Geographic.