Program Jualan Prihatin jelajah 64 kawasan di Selangor

SABAK BERNAM – Program Jualan Prihatin Rakyat Selangor dijangka diadakan di 64 kawasan di seluruh negeri ini dalam usaha mengurangkan beban rakyat yang dihimpit dengan kenaikan harga barang.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian Negeri, Ir Izham Hashim berkata, program itu sudah dikenal pasti di lokasi yang ditetapkan dan pelaksanaan bermula di Sabak Bernam pada Sabtu.

Menurutnya, program jualan itu dijangka akan berlangsung setiap Sabtu dan Ahad sehingga Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

“Program ini tidak mustahil akan diperluaskan dari semasa ke semasa di seluruh Selangor jika mendapat permintaan rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas Perasmian Program Jualan Prihatin Rakyat di Balai Rakyat, Taman Berjaya di sini pada Ahad.

Izham berkata, pelbagai barangan keperluan harian ditawarkan dengan harga berpatutan seperti ayam, ikan dan telur.

“Harga ayam jauh lebih murah antaranya seekor ayam sahaja dijual RM12 berbanding di pasaran luar yang dijual RM15 seekor atau lebih tinggi lagi,” katanya.

Beliau memberitahu, program itu bukan sahaja memberi kelebihan kepada orang ramai mendapatkan harga murah tetapi membantu peniaga atau warga tani memasarkan produk masing-masing.

“Pembeli akan mendapat harga yang rendah dengan kualiti barangan terbaik, manakala peniaga dapat meningkatkan pendapatan,” ujarnya.

Katanya, semua pihak mendapat keuntungan hasil daripada jualan prihatin itu dan ia secara tidak langsung membolehkan rakyat menyimpan wang untuk perbelanjaan lain.

Jelasnya, kerajaan negeri amat prihatin soal membantu rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga barang yang tinggi.

“Kita berharap program ini dapat membantu hidup rakyat dalam situasi harga barang yang dilaporkan kian meningkat,” ujarnya

Sumber