Suruhanjaya Senyum dengan bangga membawakan Pot Amir’s Singgahsana Trilogy Tour, sebuah siri persembahan eksklusif dan sesi minum petang yang diilhamkan oleh mesej cinta, kasih sayang, dan kehangatan kekeluargaan. Acara ini merupakan cetusan idea penyanyi dan komposer tersohor, Pot Amir, yang juga anggota kumpulan Innuendo dan Alkaline Radiostar, serta diarahkan oleh rakan seperjuangannya, Taj Innuendo. Singgahsana Trilogy Tour akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut, dari 1 hingga 3 Ogos 2025, bertempat di Liberal Latte, setiap petang dengan konsep dan tema yang berbeza.
Trilogi ini akan dimulakan dengan Semoga PC pada 1 Ogos, mengambil inspirasi daripada suasana kenduri doa selamat. Persembahan ini diserikan dengan suasana santai dan menu makan dalam talam sambil diraikan bersama anak-anak yatim yang menjadi tetamu khas petang itu. Keesokan harinya, pada 2 Ogos, acara diteruskan dengan R&B Date Nite, sebuah malam istimewa bagi meraikan pasangan suami isteri dengan alunan lagu-lagu cinta genre R&B serta sajian makan malam yang menyelerakan dalam suasana penuh romantik.

Hari terakhir trilogi, 3 Ogos, menampilkan Ratu Hi-Tea, acara minum petang dan persembahan istimewa yang didedikasikan untuk para ibu. Pengunjung boleh membeli meja untuk keluarga masing-masing dan membawa ibu tercinta menikmati petang yang dipenuhi lagu-lagu penghargaan buat wanita dan ibu hebat. Ketiga-tiga acara ini dijayakan oleh Pot Amir sendiri bersama barisan rakan artis seperti Azan, Zain dan Sein dari kumpulan Ruffedge serta Lah Ahmad. Mereka akan diiringi secara langsung oleh kumpulan muzik Alkaline Radiostar.
Singgahsana Trilogy Tour ini turut mendapat sokongan Dana Kandungan Kreatif daripada MyCreative Ventures di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital. Bagi Pot Amir, penganjuran acara ini bukan sekadar sebuah persembahan, malah ia adalah usaha untuk menghidupkan kembali nilai-nilai kekeluargaan dan kasih sayang menerusi seni muzik yang menyentuh jiwa.
Tiket untuk semua acara dalam Singgahsana Trilogy Tour boleh ditempah secara dalam talian di laman rasmi LiberalLatte.my. Setiap sesi dihadkan kepada 90 tetamu sahaja bagi mengekalkan keselesaan, keintiman dan eksklusiviti pengalaman buat semua yang hadir.