Gabungan lima pemuzik dari pelbagai aliran muzik, satu pentas gah di Axiata Arena Kuala Lumpur. Itulah janji Musica Fest 2025 yang bakal berlangsung pada 16 November ini! Dengan penganjuran oleh Shiraz Projects bersama kerjasama erat daripada Musica, festival kali ini benar-benar mengangkat kepelbagaian bunyi dan genre sebagai tema utama.
Lima nama hebat yang bakal menggegarkan pentas iaitu Nidji, Geisha, D’Masiv, Shakira Jasmine dan Steven Pasaribu yang bakal membawa gabungan istimewa antara kumpulan legenda dan bintang baharu dari seberang yang semakin meningkat naik. Dari pop rock ke balada, setiap persembahan menjanjikan satu pengalaman muzik yang tidak akan dilupakan.
Menurut pengasas Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, pemilihan barisan pemuzik ini bukan sekadar populariti semata-mata, tetapi juga kerana kekuatan persembahan masing-masing yang mampu membuai emosi penonton. “Musica Fest ini bukan sekadar konsert tetapi ia adalah pesta suara, irama dan memori. Nidji, Geisha dan D’Masiv memang sudah sinonim dengan peminat di Malaysia. Tambahan pula, Shakira dan Steven membawa nafas baharu yang sangat diperlukan dalam dunia muzik hari ini,” katanya.
Musica Fest juga bakal menjadi debut istimewa buat Shakira Jasmine dan Steven Pasaribu untuk tampil buat kali pertama di pentas besar Malaysia. “Ini peluang mereka untuk berdiri sepentas dengan idola sendiri, sambil memperkenalkan karya mereka kepada lebih ramai pendengar di sini,” tambah Shirazdeen lagi.
Bagi Nidji sendiri, peluang kembali bergabung dengan D’Masiv dan Geisha sangat dinanti-nantikan. “Sudah lama kami tak main sepanggung. Kali ini lebih istimewa sebab ada Shakira dan Steven, satu generasi baru yang kami bangga sambut. Musica Fest bukan sekadar festival, ia simbol kesinambungan muzik Indonesia yang terus menyala,” ujar wakil kumpulan tersebut.
Para peminat yang ingin menyaksikan persembahan luar biasa dari kelima-lima artis ini bolehlah mendapatkan tiket mulai 23 April 2025, jam 10 pagi. Antara kategori tiket yang ditawarkan ialah Diamond (RM398), Platinum (RM198), Gold (RM158) dan Rockzone Free Standing (RM188).
Jangan lupa ulangkaji lagu-lagu kegemaran anda seperti Hapus Aku, Sumpah dan Cinta Matiku (Nidji), Cinta Ini Membunuhku (D’Masiv), Lumpuhkan Ingatanku (Geisha), Benar Salah (Shakira Jasmine), dan Cinta Tlah Terlambat (Steven Pasaribu). Pastikan anda nyanyi sama kuat dengan artis kesayangan anda nanti!
Jadi, tandakan kalendar anda 16 November 2025 ini bertempat di Axiata Arena Kuala Lumpur, destinasi muzik paling hangat tahun ini Musica Fest 2025, satu malam, lima bintang, pelbagai genre, satu rasa yang sama CINTA TERHADAP MUZIK!