Pertumbuhan sektor halal pertingkat pencapaian eksport Malaysia

Pengunjung melihat pelbagai jenis potongan daging lembu wagyu disahkan halal yang terdapat di sebuah pasar raya. - Foto Bernama

Pengunjung melihat pelbagai jenis potongan daging lembu wagyu disahkan halal yang terdapat di sebuah pasar raya. – Foto Bernama

PERTUMBUHAN sektor halal yang signifikan mampu menyumbang dalam mempertingkatkan pencapaian prestasi eksport Malaysia pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata, pertumbuhan industri halal global dijangka mencecah AS$2.8 trilion menjelang 2025 dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 7.5 peratus.

Beliau berkata, ia adalah berdasarkan kepada ‘State of the Global Islamic Economy Report 2022’ yang menyatakan perbelanjaan penduduk Islam global berjumlah AS$2 trilion pada 2021.

“Saya yakin sektor halal akan terus memberi sumbangan yang penting dalam mempertingkatkan pencapaian prestasi eksport Malaysia ke seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan MIHAS 2022 di sini, pada Jumaat.

Ban Hong berkata, pada 2021, pertumbuhan sektor halal meningkat sebanyak 19 peratus kepada RM36.3 bilion berbanding RM30.5 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, segmen makanan dan minuman masih berada di kedudukan pertama dari segi permintaan dan nilai eksport, diikuti oleh segmen bahan ramuan halal dan kosmetik serta penjagaan diri.

“Lima negara pasaran eksport utama Malaysia merangkumi negara ekonomi besar seperti China, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat dan Indonesia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia berhasrat untuk menjadikan logo ‘Halal Malaysia’ sebagai jaminan bahawa produk dan perkhidmatan yang dibekalkan kepada semua lapisan masyarakat dalam dan luar negara tanpa mengira bangsa dan agama, adalah berkualiti serta patuh syariah.

“Logo Halal Malaysia mencerminkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah dijamin berkualiti serta selamat dan telah melalui proses pengurusan halal yang terperinci bermula dari sumbernya hinggalah ke pasaran,” katanya.

Mengenai Majlis Penganugerahan MIHAS 2022, beliau berkata, majlis anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) itu adalah sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada pempamer domestik dan antarabangsa.

“Penganugerahan ini mengambil kira penilaian dari segi segmen produk, perkhidmatan, ruang pameran dan media sosial yang mengandungi ciri-ciri inovasi dan kreatif dalam usaha mempromosikan industri halal,” tambahnya. – Bernama


Sumber