Filem seram blockbuster dari Indonesia, Qodrat, yang pernah mencetus fenomena pada tahun 2022, kini kembali dengan sekuelnya yang lebih mendebarkan. Filem yang menampilkan elemen seram berpaksikan spiritual ini bukan sahaja meraih lebih 1.7 juta penonton di Indonesia, malah berjaya mencatat kutipan box office mencecah IDR60 bilion (USD 5.3 juta). Tambahan pula, sambutan hangat turut diterima di luar negara termasuk Malaysia, Singapura, Kemboja, Myanmar, dan Vietnam dengan kutipan sebanyak RM6 juta di Malaysia menerusi tayangan bersama penerbit tempatan, Astro Shaw.
Susulan kejayaan luar biasa itu, Qodrat 2 bakal menemui penonton pada tahun hadapan. Astro Shaw telah mengumumkan kolaborasi bersama penerbit asal filem ini, MAGMA Entertainment, dalam meneruskan legasi filem yang berjaya menggugah emosi penonton serantau. Perjanjian persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak telah dimeterai baru-baru ini di acara pasaran kandungan terbesar dunia, MIPCOM Cannes, Perancis.
Menurut Penerbit Eksekutif Qodrat 2 merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, kerjasama ini mencerminkan usaha berterusan Astro Shaw dalam menyajikan kandungan berkualiti tinggi dari rantau Asia Tenggara kepada penonton Malaysia.
Kami amat teruja dapat sekali lagi bekerjasama dengan MAGMA Entertainment dalam meneruskan legasi Qodrat. Kerjasama ini mengukuhkan komitmen Astro Shaw untuk membawa karya serantau yang berkualiti tinggi kepada penonton di Malaysia. Melihat sambutan baik filem Qodrat di Malaysia pada tahun 2022, kami percaya bahawa kekuatan jalan ceritanya yang dekat dan menyentuh jiwa penonton tempatan menjadi antara faktor utama kejayaan tersebut. Rentetan daripada kejayaan itu, kami yakin kehadiran Qodrat 2 berpotensi memberi impak yang lebih besar dengan naratif yang lebih mendalam serta elemen seram yang lebih mendebarkan. InsyaAllah, Qodrat 2 akan menemui penonton pada suku pertama tahun hadapan, jadi nantikan.
Qodrat 2 dijangka menghidangkan jalan cerita yang lebih gelap dan emosional, apabila penonton dibawa menyusuri perjuangan Ustaz Qodrat yang berhadapan dengan cabaran rohani paling berat dalam hidupnya mencari isteri tercinta, Azizah, yang telah menyerahkan jiwanya kepada syaitan Asu’ala demi menyelamatkan anak mereka, Alif.
Filem ini masih lagi diarahkan oleh Charles Gozali dan mengekalkan pelakon utama Vino G. Bastian sebagai Qodrat. Menariknya, Qodrat 2 turut memperkenalkan kemunculan semula Acha Septriasa sebagai Azizah, selain menampilkan wajah-wajah baharu seperti Della Dartyan dan Dony Alamsyah yang menambahkan lagi kekuatan barisan pelakon.

Nantikan kemunculan Qodrat 2 di pawagam Malaysia tahun hadapan filem yang menjanjikan lebih seram, lebih emosi dan lebih epik.
Untuk info dan perkembangan terkini, ikuti media sosial rasmi Astro Shaw.