PERODUA telah membuktikan komitmennya terhadap operasi hijau, mesra alam dan mampan dengan pelancaran Laman Hijau baru-baru ini.
Terletak di kampus ibu pejabat dan pengeluaran Perodua di Sungai Choh, Selangor, Laman Hijau merupakan kawasan rekreasi terbuka untuk kakitangannya yang dihiaskan dengan tumbuhan hijau serta air pancut yang dikuasakan dengan tenaga elektrik suria.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, inisiatif itu termasuk pemasangan panel suria di atas bumbung kilang.
Kampus 162 hektar Perodua terdiri daripada bangunan korporat, fasiliti penyelidikan dan pembangunan, dua kilang pengeluaran kenderaan, pusat alat ganti, pusat latihan dan pusat jagaan kanak-kanak.
“Usaha kami tidak berakhir di sini sahaja, kami juga mengumpul dan mengguna semula sumber semula jadi lain seperti air hujan dan air atmosfera sebagai usaha untuk mengurangkan pembaziran, melindungi bumi dan meningkatkan kecekapan operasi kami. “Seiring dengan produk kami yang cekap bahan api, inilah cara kami memastikan pertumbuhan yang mampan dalam ekosistem semula jadi kita,” tambah Zainal Abidin.
Inisiatif hijau Perodua bermula pada Jun 2017 dengan pengumuman Taman ECO yang bakal dilancarkan bulan hadapan. Taman seluas 1,500 meter persegi itu menggunakan bahan kitar semula dalam pembinaannya, tenaga suria serta pelbagai tumbuh-tumbuhan.