Pelancaran Rasmi Koleksi Merdeka 2024: PROSPEC KPM X FAZURA

YB Puan Fadhlina binti Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia, telah meluncurkan secara rasmi Koleksi Merdeka 2024 PROSPEC KPM X FAZURA. Majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur ini bertujuan memeriahkan sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-67.

Setiap rekaan koleksi kali ini bertujuan mengungkapkan semangat kebebasan negara melalui pencapaian dinamik rakyat yang berjiwa merdeka. Koleksi khas Tudung FAZURA Purple Label ini merupakan hasil kerjasama antara Kelab PROSPEC Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan FAZURA. Koleksi ini menampilkan 12 rekaan unik dengan pelbagai warna yang selaras dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.” Rekaan tersebut terinspirasi daripada warna Jalur Gemilang, landskap ikonik tempatan, dan kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.

Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Sri Noorhuda binti Haji Alias, Pengerusi PUSPANITA Cawangan KPM, YBhg. Dato’ Ahmad Firdaus bin Baharuddin, Penasihat Kelab PROSPEC KPM, Setiausaha Bahagian KPM, serta hampir 300 orang tetamu jemputan. Selepas pelancaran, majlis diteruskan dengan makan tengah hari dan persembahan oleh artis jemputan, Ella.

Koleksi Merdeka 2024 PROSPEC KPM X FAZURA adalah kolaborasi pertama antara kelab penjawat awam dengan jenama FAZURA untuk sambutan Hari Kebangsaan. Di masa depan, lebih banyak kerjasama seumpamanya akan diteroka, terutamanya dalam konteks kerjasama awam-swasta yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Organisasi awam dan swasta yang berminat mendapatkan koleksi khas ini dengan harga korporat boleh menghubungi wakil PROSPEC KPM melalui WhatsApp di 017-4469726 untuk maklumat lanjut mengenai kaedah perolehan. Pembelian secara dalam talian boleh dibuat terus di laman web rasmi www.fazura.com, aplikasi FAZURA, dan ShopeeMall FAZURA Official Store.