Majlis pelancaran OST, trailer, dan video di sebalik tabir filem Dajal (Satu Malam diPedajal) berlangsung meriah di GSC The Starling Mall dengan kehadiran para pelakon, wakil media, blogger, pempengaruh, serta tetamu undangan. Acara ini dimeriahkan lagi dengan persembahan langsung lagu tema, tayangan perdana lirik video, trailer istimewa, serta video eksklusif di sebalik tabir filem tersebut.
Lagu tema filem ini, bertajuk Di Kala Malam, dinyanyikan oleh Zynnakal. Kolaborasi ini menandakan kerjasama sulung antara MIG dan Zynnakal dalam menghasilkan lagu OST.

Menurut penerbit filem, David Teo, Dajal (Satu Malam diPedajal) adalah hasil karya sepenuhnya oleh Pierre Andre, yang menonjolkan kekuatan beliau sebagai penulis dan pengarah. Filem bergenre thriller ini menjadi penerokaan baharu Metrowealth dalam membawa pengalaman segar untuk penonton.
Pierre Andre mengarahkan filem ini dengan menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Amir Nafis dan pempengaruh terkenal, Bidin Al Zaifa. Turut membintangi filem ini ialah Khatijah Tan, Jay Iswazir, Jaja Iliyes, Dai Syed, Hanna Halim, Dai Fuad, dan Arfa Danish.

Kisah filem ini berkisar tentang dua pekerja pembersih pasca-trauma yang mendapati diri mereka terperangkap secara mistik di sebuah banglo usang selepas salah seorang daripada mereka membaca sebuah buku ritual lama ketika menjalankan tugas. Dajal (Satu Malam diPedajal) dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 6 Februari 2025.
Dalam perkembangan lain, Metrowealth bersama Laku Pictures turut bersiap sedia untuk menerbitkan sebuah filem baharu yang dijangka tayangannya pada pertengahan tahun ini.