Blog

  • Bahaya hama kudis buta

    Bahaya hama kudis buta

    KUDIS buta ataupun lebih dikenali sebagai atau skabies, merupakan sejenis penyakit kulit yang mudah berjangkit.

    Menyebabkan kudis, penyakit yang berpunca daripada serangan sejenis kutu atau hama itu juga dikenali sebagai ‘Sarcoptes Scabiei’.

    Kutu itu pula merupakan sejenis parasit, iaitu suatu organisma yang hidupnya menumpang pada makhluk hidup lain dan merugikan hidupan yang ditumpangi.

    PARASIT boleh menyebabkan kudis buta mudah merebak.

    PARASIT boleh menyebabkan kudis buta mudah merebak.

    Lebih tepat lagi, kutu yang membenamkan dirinya ke dalam kulit manusia dan mengakibatkan kudis buta itu adalah kutu betina spesis Sarcoptes scabiei.

    Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada 2010 dianggarkan 130 juta penduduk dunia mengalami kudis buta.

    Seramai 1.5 juta pesakit pula mengalami komplikasi tidak langsung seperti masalah jantung dan buah pinggang kesan daripada jangkitan kudis buta itu.

    Mudahnya seseorang individu dijangkiti penyakit kudis buta sekiranya terdedah kepada kutu kudis walaupun tempoh masa yang singkat iaitu hanya dalam 15 hingga 20 minit!

    Jika terdapat bilangan kutu kudis yang banyak pada permukaan kulit individu yang terjejas, maka transmisi kutu kudis antara kulit juga boleh berlaku dalam jangka masa yang sangat cepat.

    Seperti keadaan kesihatan dan penyakit-penyakit lain, sekiranya dibiarkan tidak dirawat, penyakit itu mampu mengundang komplikasi.

    Pernah pada kejadian kes April tahun lalu, seramai 22 murid dan 11 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pekan, Kampar, Perak mengalami masalah kegatalan pada tangan dan kaki termasuk ada yang mengalami masalah kudis akibat serangan hama di sekolah berkenaan.

    Akibat kejadian itu, murid yang berdepan masalah berkenaan dikuarantin di rumah mereka dan tidak dibenarkan hadir ke sekolah sementara waktu.

    Sejauh mana bahana kudis buta? Adakah semua dalam kalangan kita berisiko menghidapinya? Ikuti perkongsian Sihat:Aktif minggu ini.

    Kutu hidup di bawah kulit

    SOFIA Abdullah, 39, sangat gusar berdepan keadaan anaknya, Hanif Alif Humaidi, 13, yang menghidap masalah gatal-gatal pada tubuh sejak seminggu lalu.

    Akibatnya, remaja itu kerap menggaru terutamanya pada waktu malam. Hati ibu mana tidak risau melihat masalah kulit berbintik kemerahan pada si anak.

    Ada garisan tertentu dan terdapat pula seakan ‘laluan’ berbentuk ‘S’ pada kulit yang terjejas.

    “Hanif tidak tahan dengan keadaan gatal melampau yang ditanggung menyebabkan saya membawanya ke klinik. Doktor yang membuat pemeriksaan mendapati anak saya itu menghidap kudis buta.

    “Padanlah seperti ‘ada benda’ pada kulitnya. Rupanya kutu ‘menumpang’ dan menjadi parasit hidup pada kulit,” cerita Sofia kepada Sihat:Aktif.

    Beliau yakin Hanif mendapat jangkitan daripada rakannya kerana beberapa minggu sebelum itu terlibat dalam satu kem luar dan menghuni unit khemah yang sama.

    Ya, penyakit kudis buta bukanlah kedengaran asing di cuping telinga kita.

    Merupakan antara penyakit dermatologi (kulit) yang paling lazim di dunia, ia ‘popular’ khususnya di negara-negara membangun dan dunia ketiga seperti Malaysia.

    Pada satu-satu masa, dianggarkan seramai 130 juta manusia menghidap keadaan itu.

    Ramai bukan? Hakikatnya adakah semua kesan mengudis itu kudis buta?

    Bagi menjelaskan lebih lanjut mengenainya, Sihat:Aktif mendapatkan pandangan Pakar Perunding Dermatologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Adawiyah Jamil.

    DR Adawiyah

    DR Adawiyah

    Membiak, bertelur

    Kudis buta ataupun lebih dikenali sebagai scabies, merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan bintik merah seperti ruam terutama di tapak tangan dan kaki.

    Penyakit kudis buta akan menyebabkan rasa kegatalan yang keterlaluan pada permukaan kulit.

    ‘Istimewanya’ tentang penyakit itu, ia sangatlah mudah berjangkit dan dijangkiti melalui sentuhan langsung kulit seseorang dengan orang yang mengalami kudis buta.

    Tidak hairanlah kita melihat seakan ada ‘makhluk’ menumpang pada kulit seseorang mempunyai kudis buta. Sebenarnya ia berpunca daripada serangan sejenis kutu atau hama yang dikenali sebagai ‘Sarcoptes Scabiei’.

    Kutu tersebut merupakan parasit, iaitu suatu organisma yang hidupnya menumpang pada makhluk lain dan merugikan makhluk hidup yang ditumpanginya itu, kongsi Dr Adawiyah.

    Sarcoptes Scabiei perlu hidup di atas kulit manusia. Jika tidak berada di atas kulit manusia seperti jatuh ke lantai atau katil dan pakaian, ia hanya boleh hidup selama tiga hari dan kemudiannya akan mati.

    “Bagaimanapun, jika pada kulit manusia, ia boleh hidup sehingga tiga bulan lamanya lalu membiak dan bertelur,” terangnya.

    Boleh berlaku dan menjangkiti sesiapa sahaja, namun pasti ada sebabnya apabila penyakit kudis buta itu lebih tertumpu dalam negara-negara tidak membangun yang mempunyai iklim tropika yang panas.

    Kanak-kanak kecil dan golongan tua dalam komuniti-komuniti miskin di negara-negara tersebut antara mangsanya!

    Seperkara menurut Dr Adawiyah, pesakit yang pertama kali dijangkiti scabies, simptom yang akan berlaku adalah seperti:

    – Rasa gatal

    – Ruam

    – Mengalami kesan-kesan calar pada permukaan kulit antara dua hingga empat minggu setelah scabies ‘menghinggapi’ pada kulit.

    KEGATALAN yang melampau memberi risiko jangkitan bakteria kudis buta.

    KEGATALAN yang melampau memberi risiko jangkitan bakteria kudis buta.

    Pun demikian, untuk jangkitan kali kedua dan seterusnya dapat dilihat simptom yang sama tidak mengambil masa lama. Justeru bagaimana untuk mendiagnosis penyakit kudis buta itu?

    Jangan keliru dek kebiasaan tampaknya seperti ekzema. Ruam scabies biasanya melibatkan celah-celah jari tangan dan kaki, ketiak, pusat, kawasan pinggang, kemaluan dan celah paha, manakala sangat jarang melibatkan muka dan kepala.

    Parasit berkenaan boleh dilihat melalui mikroskop.

    Doktor akan mengikis sedikit lapisan atas kulit dan membuat pemeriksaan di bawah mikroskop.

    Menurut Dr Adawiyah, lazimnya diagnosis kudis buta itu dapat diperhatikan hanya dengan melihat dan menilai ciri-ciri klinikal (simptom dan tanda-tanda) yang ada pesakit.

    ANTARA simptom kudis buta adalah mengalami kegatalan yang keterlaluan, ruam dan kesan calar pada permukaan kulit.

    ANTARA simptom kudis buta adalah mengalami kegatalan yang keterlaluan, ruam dan kesan calar pada permukaan kulit.

    “Terdapat juga beberapa cara untuk memastikan kewujudan kutu-kutu Sarcoptes Scabiei ini pada kulit pesakit. Justeru, pemeriksaan doktor penting bagi memastikan keadaan pesakit agar rawatan yang tepat dapat diberikan.

    “Biasanya scabies mudah didiagnosa oleh mana-mana doktor, tetapi pesakit sendiri tidak faham cara melakukan rawatan yang betul supaya lebih berkesan,” katanya kepada Sihat:Aktif.

    Rawatan

    Justeru rawatan yang dimaksudkan Dr Adawiyah membabitkan penggunaan ubat dan juga pencegahan jangkitan semula.

    Ubat yang sering digunakan dalam rawatan kudis buta adalah ubat topikal (ubat sapuan pada kulit).

    Jelas beliau, sebagai langkah pencegahan, orang yang berhubung rapat dengan pesakit (contohnya ahli keluarga yang tinggal dalam satu rumah) juga perlu dirawat bersama.

    “Tip yang boleh diamalkan mandi dan lap seperti biasa. Sapu ubat dari leher ke hujung jari kaki dan tangan, diikuti badan. Pastikan setiap inci kulit dari leher ke bawah disapu dengan ubat.

    “Tumpukan perhatian di celah-celah jari, ketiak, pusat, punggung serta kemaluan. Jangka masa ubat perlu melekat di kulit bergantung kepada jenis ubat yang digunakan.

    Elakkan berpeluh kerana ubat akan tanggal dari kulit,” kongsi Dr Adawiyah lagi.

    Kepada persoalan sekiranya perlu membasuh mana-mana bahagian badan, menurutnya ubat sapu sama perlu diratakan semula di kesemua bahagian terbabit.

    Pada hari yang sama, basuh semua cadar, sarung bantal, selimut, tuala serta pakaian yang dipakai dalam tiga hari yang lepas dalam air panas 60 darjah Celsius.

    Komplikasi tidak dirawat

    Jangan pandang enteng soal rawatan. Komplikasi akan berlaku sekiranya kudis buta tidak dirawat dengan segera.

    Lebih parah sekiranya ia menyebarkan jangkitan kepada isi rumah yang akan mengakibatkannya berlarutan. Seperti keadaan kesihatan dan penyakit-penyakit lain, sekiranya dibiarkan tidak dirawat, penularan kuman kudis itu juga mampu bertambah keruh dan mengundang komplikasi.

    “Sekiranya penghidap menggaru bahagian-bahagian badan yang gatal, kesan berterusan tindakan ini akan menyebabkan kulit terganggu. Ia boleh menyebarkan jangkitan bakteria akibat luka garu tersebut.

    “Dalam pada itu, gangguan semasa tidur juga akan berlaku kerana kegatalan yang terjadi pada permukaan kulit pesakit,” kongsinya lagi.

    Apa yang disimpulkan pakar itu, penting untuk kita menyedari tanda dan simptom-simptom jangkitan kudis buta, memahami profil pembiakan serta penularan kutu jahat tersebut.

    Kegagalan untuk mengenalpasti simptom dan tanda jangkitan akan menyebabkan berlakunya kelengahan dalam mendapatkan rawatan, ataupun kemungkinan untuk tidak mendapatkan rawatan langsung.

    Kudis buta boleh berjangkit semula.

    Justeru amatlah penting untuk mengikut segala arahan rawatan dan membersihkan bahan yang tercemar dengan penyakit tersebut.

    Kongsi barangan peribadi punca kudis buta

    RATA-RATA daripada kita mesti selesa untuk berkongsi apa sahaja dengan teman rapat.

    Baik makanan, pakaian, baju, dan semuanya boleh dikongsi.

    Pun begitu, bukan semua benda boleh digunapakai bersama.

    Secara peribadinya, hanya anda seorang sahaja boleh menggunakan satu tuala tanpa berkongsi dengan sesiapa pun.

    Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Kuala Lumpur, Dr Sabeera Begum Kader Ibrahim berkata, kuman sememangnya boleh berpindah melalui perkongsian tuala.

    DR Sabeera Begum

    DR Sabeera Begum

    Keadaan itu akan lebih berisiko dan berbahaya jika seseorang itu sudah dijangkiti kuman kudis buta.

    “Tuala adalah barangan peribadi yang sememangnya tidak boleh dikongsi sama ada dengan sahabat baik, keluarga mahupun sesiapa sahaja.

    PERKONGSIAN tuala sememangnya boleh menyebabkan kudis buta merebak

    PERKONGSIAN tuala sememangnya boleh menyebabkan kudis buta merebak

    “Perbuatan perkongsian tuala boleh menyebabkan pemindahan kuman antara seorang individu kepada individu yang lain,” jelasnya kepada Sihat:Aktif.

    Menurutnya, kutu kudis juga boleh merebak melalui perkongsian barangan peribadi seperti cadar, selimut dan pakaian antara individu yang terjejas dengan yang lain.

    Penyakit kudis buta juga boleh dijangkiti melalui sentuhan langsung antara kulit ke kulit. Itu kerana kutu kudis yang berada di permukaan kulit tidak mampu terbang atau melompat dari permukaan kulit seseorang.

    Oleh yang demikian, bahagian tangan merupakan bahagian yang pertama untuk dijangkiti kutu kudis.

    Sekiranya terdedah kepada kutu kudis, seseorang individu boleh dijangkiti walaupun dalam tempoh masa yang singkat, iaitu hanya dalam 15 ke 20 minit.

    Jika terdapat bilangan kutu kudis yang banyak pada permukaan kulit individu yang terjejas, maka transmisi kutu kudis antara kulit boleh berlaku dalam jangka masa lebih cepat.

    Malah, kutu kudis juga mampu merebak melalui patung-patung permainan kanak-kanak dan sesetengah alatan perabot. “Jadi, semua tanpa mengira peringkat umur boleh terdedah kepada jangkitan ini,” tambah Dr Sabeera lagi.

    KANAK-KANAK berumur 2 tahun adalah antara kumpulan berisiko dijangkiti penyakit kudis buta.

    KANAK-KANAK berumur 2 tahun adalah antara kumpulan berisiko dijangkiti penyakit kudis buta.

    Katanya, kumpulan berisiko termasuk kanak-kanak berumur kurang 2 tahun, orang tua, pesakit yang mempunyai sistem imun yang lemah, pesakit yang tidak boleh bergerak atau lumpuh dan pesakit yang tinggal di pusat-pusat jagaan tertentu seperti rumah orang tua.

    Menurutnya lagi, wabak jangkitan scabies biasanya berlaku di tempat-tempat awam seperti taska dan tadika, sekolah, asrama dan pusat-pusat penjagaan yang mana orang ramai kerap berhubungan dan berinteraksi antara satu sama yang lain.

    Bagaimanapun, kutu kudis hanya mampu berkekalan dan terus hidup selama 24 hingga 36 jam setelah berpisah daripada makhluk yang ditumpangi. Kebanyakan kuman tidak boleh memasuki kulit yang normal.

    Namun kuman tersebut akan berkumpul di permukaan kulit dan menunggu untuk berpindah kepada individu lain jika kita masih mengamalkan perbuatan ‘berkongsi’.

    ANEKDOT

    Cara merawat kudis buta:

    Terdapat dua jenis rawatan:

    1. Penggunaan losen khas.

    Kudis buta hendaklah dirawat dengan membunuh punca kepada penyakit itu iaitu parasit Sarcoptes Scabiei.

    Ubat yang selalu digunakan adalah dengan menggunakan losen antiscabies iaitu:

    – Permetherin

    – Benzyl benzoate

    – Permethrin

    Pesakit perlu menggunakan ubat itu sebelum tidur untuk selama beberapa hari.

    Ia bertujuan untuk membunuh kuman tersebut. Pada waktu pagi, pesakit boleh membasuh kawasan yang disapu losen berkenaan.

    Lakukannya selama satu minggu untuk membunuh semua parasit yang berada pada kulit pesakit.

    Perlu diingatkan ahli keluarga ataupun kawan-kawan pesakit juga perlu dirawat untuk mengelakkan masalahnya merebak.

    2. Penggunaan antibiotik.

    Jika kawasan ruam tersebut telah dijangkiti, pesakit perlulah mengambil antibiotik untuk membunuh bakteria di kawasan tersebut.

    Beberapa tanda bahawa terdapat jangkitan kudis terbabit:

    – Kulit merah daripada biasa.

    -Rasa sakit di kudis.

    – Keluar nanah dari kudis.

    – Demam yang tinggi jika bahagian jangkitan tersebut besar.

    Faktor menyebabkan kelewatan penyembuhan:

    – Sapuan losen yang tidak rata dan tidak meliputi semua kawasan kulit terlibat.

    – Sapuan yang sedikit.

    – Dijangkiti semula daripada orang terdekat yang mempunyai masalah sama.

    – Parasit mungkin telah kebal dengan ubat yang digunakan.

    Sumber: www.thediagnosa.com



    Sumber

  • Boleh minum air terus dari paip

    Boleh minum air terus dari paip

    AIR merupakan khazanah alam yang sangat penting dan asas kehidupan serta kelangsungan pembangunan sosioekonomi.

    Namun sejak beberapa dekad lalu, permintaan terhadap air semakin mendesak ekoran peningkatan populasi global, kepesatan aktiviti komersial dan perindustrian.

    Lebih serius apabila perubahan iklim global telah mengakibatkan sumber air tawar menjadi semakin sukar untuk diperoleh sehingga mengakibatkan krisis di beberapa kawasan seluruh dunia.

    Hal tersebut diperkuatkan lagi dengan laporan Pembangunan Air Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2019 yang memberi gambaran negatif mengenai keadaan itu.

    Menurut laporan yang dikeluarkan pada Mac 2019, penggunaan air global telah meningkat sebanyak 1 peratus setiap tahun sejak 1980 dan trend berkenaan dijangka berterusan hingga tahun 2050. Situasi itu sekali gus mencerminkan peningkatan kadar penggunaan air semasa antara 20 dan 30 peratus.

    Laporan badan dunia tersebut turut menjangkakan keperluan sumber air terus meningkat berikutan bertambahnya permintaan.

    TEKNOLOGI canggih yang diguna pakai Denmark seiring misi hijau demi menjadikan negara Scandinavia itu bebas bahan api fosil menjelang tahun 2050.

    TEKNOLOGI canggih yang diguna pakai Denmark seiring misi hijau demi menjadikan negara Scandinavia itu bebas bahan api fosil menjelang tahun 2050.

    Cara Denmark urus sumber air

    Denmark merupakan satu-satunya negara yang wajar kita pelajari tentang cara untuk menguruskan sumber air kerana kualiti air di negara berkenaan dikatakan antara terbaik di dunia.

    “Air boleh terus diminum dari paip di Denmark kerana lebih berkualiti berbanding air yang dibotolkan,” kata Penasihat Khas Sumber Air Agensi Perlindungan Alam Sekitar Denmark, Kim Madsbjerg.

    Hakikatnya, situasi yang dikecapi hari ini amatlah berbeza berbanding 40 tahun lalu ketika Denmark menghadapi masalah pencemaran air yang mendorong kerajaan mengambil tindakan tegas menangani masalah perit itu. Perubahan yang cuba dilakukan sebenarnya Denmark tidak membuahkan hasil dalam waktu singkat.

    Ini kerana usaha menguruskan sumber air memerlukan komitmen jangka panjang, selain pelaksanaan satu polisi alam sekitar yang progresif dan program kesedaran pendidikan, kata Madsbjerg.

    KIM MADSBJERG

    KIM MADSBJERG

    Sementara itu, menurut Pengurus Komunikasi Kumpulan Syarikat Teknologi Air Grundfos, Dorte Maach, ketika kerajaan Denmark mula bertindak dan membuat keputusan untuk mengenakan tarif air yang lebih tinggi, ia dibantah oleh rakyat.

    “Suatu ketika dahulu, harga air murah. Pada tahun 1980-an, kami biasanya akan membayar kira-kira DKK250 (RM155) sebulan bil air berbanding sekarang dengan purata isi rumah di Denmark membayar kira-kira DKK600 (RM371) sebulan. Ini termasuk cukai dan kos rawatan pelupusan sisa air,” katanya.

    Berdasarkan rekod, di Malaysia, isi rumah di Lembah Klang membayar bil air mengikut penggunaan. Bagi penggunaan di bawah 20 meter padu (m3), tarif adalah 57 sen/m3, manakala 20-35 m3 RM1.03 /m3 dan 35 m3 dan ke atas RM2 /m3. Sementara kos bulanan rawatan air buangan ialah RM6 yang akan dibilkan secara berasingan.

    Kesimpulannya, kita boleh lihat bahawa tarif air di Denmark antara yang termahal di dunia. Namun menurut Maach, tarif yang tinggi itu mencerminkan nilai dan kualiti sebenar air di negara itu selain mendidik pengguna kepentingan berjimat dan lebih menghargai sumber air.

    Kerjasama

    Kerajaan Denmark tidak akan berjaya menguruskan sumber airnya jika tidak mendapat sokongan pihak swasta.

    Grundfos, salah sebuah syarikat pengurusan air berteknologi di Denmark yang ditubuhkan pada 1945 begitu komited dalam merintis kaedah penyelesaian pintar dan inovatif ke arah meningkatkan pengurusan serta kecekapan air di negara Scandinavia itu.

    Misi jangka panjang syarikat adalah untuk menyumbang ke arah mewujudkan persekitaran lebih mampan dalam pengurusan air dan meningkatkan kualiti hidup rakyat selaras dengan Strategi 2025 yang dilancarkan pada Jun lalu.

    Misi yang menjulang tinggi itu, secara khususnya mahu menjadikan Matlamat Pembangunan Mapan PBB #6 sebagai panduan iaitu – air bersih dan sanitasi dan #13 – memerangi perubahan iklim yang akan menyaksikan Grundfos berusaha mengurangkan separuh penggunaan air dan jejak karbon di negara itu sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2025.

    “Kami menetapkan sasaran khusus penggunaan air dan komited mengurangkan penggunaan air sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2025. Kini kami sudah mencapai paras 34 peratus sejak 2008. Menjelang tahun 2030, kita akan lebih positif,” kata Naib Presiden Grundfos (Komunikasi, Hal Ehwal Awam Penglibatan & Tanggungjawab), Peter Trillingsgaard semasa taklimat di Bjerringbro, Copenhagen baru-baru ini.

    Beliau menjelaskan, Grundfos menggunakan sebanyak 430,700 meter padu air pada tahun 2018 iaitu berkurangan sebanyak 1.6 peratus berbanding 2017. Namun, dalam tempoh sama, kadar pengeluaran air syarikat itu meningkat sebanyak 6 peratus.

    “Sebanyak 77 peratus daripada penggunaan air adalah dalam syarikat iaitu di tapak pengeluaran. Kami menumpu ke arah usaha untuk meningkatkan kecekapan penggunaan air dan menghasilkan sisa air berkualiti melalui proses penulenan,” katanya.

    Menjelang tahun 2030, syarikat berkenaan menyasarkan untuk menyediakan air minum yang diuruskan secara selamat kepada 300 juta orang. Di samping itu, melalui pengurusan air pintar, syarikat tersebut turut merancang untuk menyimpan sebanyak 50 bilion meter padu air tawar.

    KAEDAH desentralisasi struktur air yang sehingga kini menyaksikan industri air negara itu mempunyai sebanyak 2,400 syarikat air swasta.

    KAEDAH desentralisasi struktur air yang sehingga kini menyaksikan industri air negara itu mempunyai sebanyak 2,400 syarikat air swasta.

    Pendekatan inovatif

    Dengan populasi seramai 5.9 juta orang, punca utama sumber air negara Scandinavia itu adalah air bawah tanah dan kaedah bagi merawat air pula melalui proses pengudaraan dan penapisan.

    Oleh kerana sumber air bawah tanah sentiasa dipelihara daripada tercemar berbanding air di daratan, maka kualiti air bawah tanah lebih baik sekali gus dapat meminimumkan usaha merawat.

    Madsbjerg menjelaskan, pendekatan inovatif kerajaan Denmark adalah melaksanakan kaedah desentralisasi struktur air yang sehingga kini menyaksikan industri air negara itu mempunyai sebanyak 2,400 syarikat air swasta (ada juga dikendalikan oleh masyarakat setempat) dan sekurang-kurangnya 78 jabatan air utama yang dimiliki oleh pihak perbandaran di seluruh negara.

    Bagi memastikan kecekapan bekalan air, syarikat-syarikat air melabur secara besar-besaran dalam infrastruktur air dan situasi itu secara tidak langsung mengurangkan kehilangan air iaitu kira-kira 7 peratus di peringkat nasional.

    “Berbaloi melabur dalam infrastruktur air. Pengalaman kerajaan Denmark dalam menguruskan air membuktikan bahawa kita boleh mengurangkan penggunaan air tanpa mengehadkan pertumbuhan ekonomi dan inovasi juga sangat penting untuk meningkatkan kecekapan pengurusan air,” katanya.

    Menurut beliau, secara purata penggunaan air setiap orang di Denmark hanya sekitar 104 liter sehari iaitu masih di bawah garis ketetapan PBB yang mencadangkan 165 liter sehari bagi keperluan asas harian setiap individu.

    KAEDAH pengurusan air berteknologi di Denmark yang ditubuhkan pada 1945 begitu komited dalam merintis kaedah penyelesaian pintar serta inovatif ke arah meningkatkan pengurusan dan kecekapan air di negara Scandinavia itu.

    KAEDAH pengurusan air berteknologi di Denmark yang ditubuhkan pada 1945 begitu komited dalam merintis kaedah penyelesaian pintar serta inovatif ke arah meningkatkan pengurusan dan kecekapan air di negara Scandinavia itu.

    Sementara itu, data dari State of Green, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan di Denmark yang menyokong masa depan dan kemampanan hijau dan menggalakkan inovasi hijau memaklumkan bahawa penggunaan air di Denmark telah menurun dengan ketara sebanyak 42 peratus sejak tahun 1980.

    Dalam pada itu, Ketua Media State of Green, Iver Hoj Nielson berkata, dasar nasional yang jelas dan tegas penting untuk menentukan kejayaan misi hijau di Denmark.

    Katanya, merujuk Perjanjian Tenaga Denmark 2012, dokumen itu bertujuan menjadikan Denmark bebas bahan api fosil menjelang tahun 2050.

    Versi terbaharu, Perjanjian Tenaga Denmark Baharu yang dilancarkan pada Jun 2018, menekan dan mengukuhkan semula kedudukan iklim dan tenaga Denmark menjelang tahun 2030.

    “Seluruh anggota Parlimen Denmark menyokong perjanjian ini. Meskipun ada perubahan dalam kalangan anggota politik atau kerajaan, dasar itu akan tetap dilaksanakan bagi memastikan kami mencapai matlamat yang ditetapkan menjelang 2050,” katanya.



    Sumber

  • Kedai serbaneka harga murah dalam kilang Jepun

    Kedai serbaneka harga murah dalam kilang Jepun

    KOTA BHARU – Syarikat elektronik terbesar di Kelantan, Rohm-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd (Rohm-Wako) membangunkan sebuah kedai serbaneka di dalam kilang yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa II, Padang Tembak di sini hari ini.

    Presiden Rohm-Wako Malaysia, Hideki Hashimoto berkata, pembukaan kedai serbaneka itu dibuat sempena tahun ke-30 penubuhan Rohm-Wako di Kelantan.

    Menurutnya, kedai serbaneka itu menjual barangan kepada kesemua 2,200 pekerjanya dengan harga lebih murah berbanding premis di luar kilang terbabit.

    Telur antara keperluan asas yang turut dijual di kedai itu.

    Telur antara keperluan asas yang turut dijual di kedai itu.

    “Kedai ini menyediakan barangan keperluan asas dan barang runcit yang mendapat permintaan tinggi daripada pekerja sendiri.

    “Harga barangan pula lebih murah daripada dijual di kedai lain dan ada potongan sehingga lima peratus bagi barangan terpilih termasuk telur, makanan sejuk beku, bahan pencuci, biskut dan sebagainya,” katanya ketika ucapan Majlis Perasmian Kedai Serbaneka RWEM Express di sini semalam.

    Beliau berkata, pembangunan kedai serbaneka di bawah Jabatan Hal Ehwal Umum syarikat berkenaan bertujuan memberi kemudahan kepada setiap pekerja untuk mendapatkan barangan keperluan asas mereka dengan harga yang murah.

    Beraneka jenis shushi juga dijual di kedai sebaneka di dalam kilang Jepun terbabit.

    Beraneka jenis shushi juga dijual di kedai sebaneka di dalam kilang Jepun terbabit.

    Katanya, pihak syarikat bekerjasama dengan AEON Mall untuk membuka kedai serbaneka itu dengan menyediakan tempat dan utiliti manakala keuntungan pula hanya kepada pihak peniaga AEON.

    “Syarikat tidak mengambil apa-apa keuntungan daripada penjualan setiap barangan di kedai ini dan pembinanya hanya semata-mata demi menjaga kebajikan setiap pekerja yang berkhidmat di Rohm-Wako.

    “Kebajikan pekerja menjadi keutamaan pihak syarikat supaya pekerja berada dalam keadaan senang hati dan lebih produktif,” katanya.

    Rohm-Wako juga menyediakan set makanan termasuk minuman yang murah serendah RM1 bagi sarapan seperti nasi goreng atau mi goreng.

    Selain itu, set makan tengah hari seperti nasi briyani berlauk ayam merah, acar dan dalca dijual dengan harga RM2 serta menu paling mahal hanya RM5 iaitu spageti bersama kebab manakala air kopi dan Milo dijual hanya 50 sen secawan.

    Pekerja kilang itu juga menerima elaun makanan RM50 sebulan, kemudahan tempat letak kereta percuma dan buggy bagi memudahkan pergerakan di dalam kawasan persekitaran kilang.



    Sumber

  • Perhalusi pemilihan alat navigasi GPS

    Perhalusi pemilihan alat navigasi GPS

    GARA-GARA leka mengikut aplikasi pandu arah, seorang pemandu wanita tiba-tiba berada di laluan melawan arus di susur keluar Sungai Dua, Pulau Pinang baru-baru ini.

    Akibatnya, sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki hilang kawalan lalu terbalik di hadapan kereta yang dipandu wanita berkenaan. Itu yang berlaku sekiranya kita leka memandu dan dalam masa yang sama menggunakan telefon pintar.

    Tidak dinafikan Navigator Global Positioning System (GPS) atau lebih kenali sebagai navigasi GPS merupakan alat yang penting dalam pemanduan dan penunjuk arah di zaman moden. Dahulu kita perakui memang jalan raya dan trafik masih kurang sibuk dan memudahkan kita mencari tempat yang dituju.

    Bagaimanapun, dengan jalan raya dan lebuh raya kini yang makin berselirat, kadang-kadang memang cukup memeningkan kepala. Apatah lagi jika berada di tempat yang asing buat kita.

    Walaupun aplikasi seperti Google Map dan Waze menjadi pilihan ramai setakat ini, namun kelebihan alat GPS secara totalnya tidak mengganggu operasi telefon bimbit dan tidak memerlukan data untuk mengoperasikannya.

    Sinar Turbo akan berkongsi berkenaan beberapa faktor yang boleh anda pertimbangkan sebelum membuat pilihan untuk membeli navigasi GPS.

    1. Bajet

    Bajet merupakan satu perkara yang perlu diambil perhatian. Bajet yang besar memang akan memudahkan proses mendapatkan GPS terbaik. Namun, jika bajet hanya sekitar RM200-RM300, memadai dengan unit yang berskrin kecil dan fungsi yang terhad.

    Jika hendak berjimat, boleh sahaja lihat model-model keluaran terdahulu tetapi hati-hati jangan sampai terbeli unit dengan peta jalan yang sudah ketinggalan zaman ataupun sudah tidak mempunyai peluang untuk dinaik taraf. Sebagai contoh, perkakas daripada syarikat pengeluar yang sudah tidak beroperasi.

    Bajet juga menentukan sama ada anda mahu memilih unit binaan dalam sekali dengan sistem audio ataupun unit berasingan yang boleh dibawa ke mana-mana. Unit binaan dalam biasanya lebih mahal dan unit berasingan pula mudah dibawa keluar jika pengguna menggunakan kenderaan yang berbeza.

    2. Ciri-ciri sebenar

    Seterusnya ialah ciri-ciri sebuah GPS yang perlu diketahui sebelum membuat pilihan. Antaranya ialah:

    I) Saiz dan resolusi skrin paparan

    Saiz skrin sebenarnya berkait rapat dengan bajet kita. Semestinya skrin yang besar memerlukan bajet yang lebih.

    Cuba uji daya penglihatan dengan pelbagai saiz skrin bermula dengan yang paling kecil. Jika pengguna gagal membaca input pada skrin, cuba bertukar kepada saiz yang lebih besar.

    




KEMUNCULAN telefon pintar dengan pelbagai kemudahan mungkin menyebabkan era penggunaan navigasi GPS makin berkurangan.

    KEMUNCULAN telefon pintar dengan pelbagai kemudahan mungkin menyebabkan era penggunaan navigasi GPS makin berkurangan.

    II) Jenis receiver (penerimaan)

    Untuk receiver pula, cuba dapatkan unit dengan (receiver) sensitiviti tinggi. Ia memudahkan GPS menerima isyarat dari satelit dan memberikan bacaan lokasi yang lebih tepat.

    GPS murah biasanya mempunyai receiver dengan sensitiviti rendah tetapi bukan semua boleh dianggap begitu. Buat perbandingan dengan mengujinya sebelum membeli.

    III) Arahan audio

    Boleh dikatakan semua GPS mempunyai arahan audio yang berbeza-beza. Ada yang jelas, ada yang tidak, ada yang bersuara lunak dan ada yang bersuara agak lemau.

    Pilih mana yang sesuai dengan anda. Menariknya, sebahagian besar GPS menggunakan suara wanita untuk arahan audio.

    IV) Pelarasan perjalanan automatik

    Selain itu, terdapat juga fungsi-fungsi lain pada setiap alat GPS seperti pemain video dan MP3, album foto dan sebagainya. Ia mungkin berguna tetapi tidak sepenting fungsi GPS ataupun peta elektronik yang ada padanya.

    3. Pemproses (processor)

    Sebagai sebuah komputer kecil, GPS juga memerlukan sebuah pemproses yang cukup laju untuk membuat perkiraan dan memilih laluan yang sesuai.

    Pemproses yang kurang baik akan membuatkan ia lambat membuat perkiraan dan kadang-kadang membuatkan ia hanged sekali gus mengganggu kelancaran perjalanan kita.

    4. Peta elektronik

    Sebelum membeli pastikan juga kemudahan peta dan kemudahan naik tarafnya. Apatah lagi jika pengguna bercadang membeli unit yang sudah lama di pasaran dan dengan diskaun yang luar biasa.

    Jangan sampai terbeli unit peta yang sudah ketinggalan zaman. Ingat, jalan raya selalu berubah, jangan sampai sudah masuk parit, baru terhegeh-hegeh mahu kemas kini peta.

    




KEMUNCULAN telefon pintar dengan pelbagai kemudahan mungkin menyebabkan era penggunaan navigasi GPS makin berkurangan.

    KEMUNCULAN telefon pintar dengan pelbagai kemudahan mungkin menyebabkan era penggunaan navigasi GPS makin berkurangan.

    Jika mahu melakukannya (kemas kini) terlalu mahal ataupun syarikat tersebut sudah tidak beroperasi, lupakan sahaja dan cari unit lain.

    5. Alternatif lain

    Kemunculan telefon pintar dengan pelbagai kemudahan mungkin menyebabkan era penggunaan GPS makin berkurangan. Namun, sebagai pemandu, kami merasakan adalah wajar GPS tidak diletakkan sekali dengan telefon bimbit kita.

    Bukankah ia mengganggu jika terpaksa menjawab panggilan masuk sewaktu sedang memerhatikan peta jalan?

    MEMANDU sambil menggunakan aplikasi GPS di telefon pintar sangat berisiko.

    MEMANDU sambil menggunakan aplikasi GPS di telefon pintar sangat berisiko.

    Satu lagi halangan penggunaan telefon pintar ialah penggunaan bateri yang agak tinggi.

    GPS lebih memudahkan dengan hanya menyambung soket kuasa untuk tenaga berterusan.

    KEDUDUKAN alat GPS yang dipasang juga pastikan mudah dicapai.

    KEDUDUKAN alat GPS yang dipasang juga pastikan mudah dicapai.



    Sumber

  • Aksesori rekaan empat Sharifah

    Aksesori rekaan empat Sharifah

    BAIK Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al-Yahya, Sharifah Amani, Sharifah Aryana mahupun Sharifah Aleysha masing-masing memiliki personaliti dan karakter tersendiri.

    Baru-baru ini, mereka terpilih untuk berkolaboratif bersama jenama koleksi barang kemas mewah, ByThian yang menawarkan himpunan aksesori wanita inspirasi daripada flora dan fauna. Antaranya kelip-kelip, rama-rama, pepatung, kumbang dan semut.

    Selain kerongsang motif bunga orkid rekaan Sharifah Aleya, pencinta barang kemas juga boleh memiliki anting-anting kumbang Sharifah Amani rona merah atau kuning.

    SEPASANG anting-anting kumbang Sharifah Amani menampilkan rona merah dan kuning.

    SEPASANG anting-anting kumbang Sharifah Amani menampilkan rona merah dan kuning.

    Pada masa sama, terdapat penyepit rambut dan rantai cetusan Sharifah Aryana dan gelang tangan istimewa koleksi Sharifah Aleysha.

    Kesemua koleksi aksesori berkenaan bukan sahaja ideal digayakan bersama busana tradisional, malah cantik dan tampak santai dipadanan bersama pakaian konsep semi formal atau kasual.

    Selain dimiliki sebagai koleksi peribadi, aksesori SharifahSistersXByThian juga boleh dijadikan bingkisan hadiah buat insan tersayang.

    ByThian merupakan label koleksi barang kemas mewah dan busana wanita popular tanah air.



    Sumber

  • Tip penjagaan wajah lelaki

    Tip penjagaan wajah lelaki

    PENJAGAAN jambang, kumis dan misai amat penting bagi menampilkan sisi kemas si jejaka.

    Bukan sahaja nampak bergaya, jika aksesori kejantanan lelaki itu dirapi dengan baik, ia boleh membangkitkan aura yang menarik.

    Berikut tip yang boleh dikongsi untuk si dia yang inginkan penampilan memikat:

    Terdapat dua pilihan mesin pencukur sama ada konvensional atau moden. Tidak kisah mana pun alat yang menjadi opsyen anda, yang penting ia dapat digunakan dengan fleksibel tanpa melukakan wajah.

    PILIHAN mesin pencukur moden atau konvensional mengikut keselesaan pengguna.

    PILIHAN mesin pencukur moden atau konvensional mengikut keselesaan pengguna.

    Lazimnya, waktu yang sesuai untuk bercukur adalah selepas mandi. Ini kerana, selepas mencuci wajah dengan sabun pencuci pilihan, kulit bukan sahaja bersih bahkan menjadi lebih lembut.

    WAKTU yang sesuai untuk bercukur adalah selepas mandi kerana kulit lebih lembut.

    WAKTU yang sesuai untuk bercukur adalah selepas mandi kerana kulit lebih lembut.

    Jangan sesekali bercukur tanpa menggunakan krim atau gel yang bersesuaian dengan jenis kulit. Ia boleh mengelakkan daripada berlakunya iritasi atau ruam pada kulit sensitif.

    PEMILIHAN krim atau gel sebelum bercukur amat penting bagi mengelakkan berlakunya iritasi pada kulit.

    PEMILIHAN krim atau gel sebelum bercukur amat penting bagi mengelakkan berlakunya iritasi pada kulit.

    Kaedah cukuran janggut, kumis atau misai ada cara tersendiri. Perlu mencukur ikut arah bulu dan kemudiannya lawan arah untuk melicinkan kawasan wajah.

    BILAS muka dengan air suam selepas bercukup supaya kulit lebih bersih dan segar.

    BILAS muka dengan air suam selepas bercukup supaya kulit lebih bersih dan segar.

    Sebaik sahaja selesai, bilas muka dengan air suam dan dilap dengan tuala bersih. Jangan lupa oleskan pelembap atau penyegar pada wajah supaya kulit tidak kering.



    Sumber

  • Sering terkena ulser? Ini puncanya…

    Sering terkena ulser? Ini puncanya…

    ULSER mulut adalah luka kecil di dalam bahagian mulut yang sangat sakit dan ia mengambil masa beberapa hari untuk sembuh. Selalunya ia mempunyai permukaan yang lebih cerah berbanding permukaan mulut yang biasa.

    Ia akan menyebabkan ketidakselesaan ketika makan, minum ataupun bercakap.

    Selalunya ulser di dalam mulut tidak berjangkit dan boleh baik dengan sendirinya selepas beberapa hari. Jika ulser tersebut berpanjangan lebih daripada dua minggu, pesakit perlulah berjumpa dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan.

    Punca ulser mulut

    Terdapat beberapa faktor dan punca yang menyebabkan ulser mulut berlaku. Antaranya luka pada bahagian mulut disebabkan gosok gigi dan juga tergigit.

    Mulut yang sensitif kepada makanan yang berasid seperti strawberi, limau dan nanas juga boleh menyebabkan ulser mudah terjadi.

    Dalam pada itu, kekurangan vitamin terutamanya vitamin B12, folate dan zat besi boleh mnyebabkan mulut anda terkena ulser.

    Faktor-faktor lain berlakunya ulser pada mulut anda juga berpunca daripada dental braces dan jangkitan bakteria, virus ataupun kulat.

    Jangkitan virus yang menyebabkan penyakit kaki, tangan dan mulut juga boleh menyebabkan masalah ini. Kanak-kanak terutamanya selalu menghadapi masalah ini.

    Ulser di dalam mulut juga mungkin menjadi salah satu tanda individu tersebut mempunyai penyakit yang lebih teruk seperti:

    • Keradangan usus (Inflammatory bowel disease)
    • Kencing manis
    • Systemic Lupus Erythematosus
    • HIV/AIDS
    • Kanser mulut

    Ulser mulut yang terlalu lama mungkin boleh disebabkan kanser.

    Oleh itu, bagi mereka yang mengalami masalah ini lebih daripada dua hingga tiga minggu, pesakit dinasitkan untuk berjumpa dengan doktor bagi pemeriksaan yang lanjut.

    Bila perlu berjumpa dengan doktor?

    Anda perlulah berjumpa dengan doktor jika anda mengalami keadaan berikut:

    • Ulser mulut yang lebih daripada dua hingga tiga minggu
    • Ulser mulut yang tidak sakit (Salah satu tanda sifilis)
    • Ulser yang sampai ke bahagian bibir
    • Ulser tersebut terlampau sakit (Salah satu tanda jangkitan virus herpes)
    • Susah untuk makan dan minum

    Rawatan ulser mulut

    Ulser mulut yang biasa selalunya boleh baik dengan sendirinya. Selalunya, ia akan mendatangkan masalah kepada pesakit kerana rasanya terlalu sakit.

    Oleh itu, ada beberapa tips yang boleh diamalkan untuk mengurankan sakit tersebut iaitu:

    • Kumur dengan air garam
    • Meletakkan susu magnesium pada ulser tersebut
    • Menggunakan gel yang boleh disapu pada bahagian ulser untuk mengurangkan sakit yang boleh didapati di farmasi berhampiran.
    • Letak ais pada ulser tersebut

    Tips untuk mengelakkan daripada ulser mulut

    Ada beberapa perkara yang boleh dibuat untuk mengelakkan berlakunya ulser di bahagian mulut. Ia adalah:

    • Mengelakkan makanan yang akan merengsakan bahagian mulut. Cuba kurangkan pengambilan nanas, anggur, oren dan lemon. Jika anda asyik mengalami masalah ulser mulut, cuba kurangkan pengambilan buah-buahan tersebut.
    • Cuba elakkan bercakap ketika makan untuk mengelakkan tergigit lidah ataupun bahagian dalam mulut ketika bercakap
    • Gunakan berus gigi yang tidak terlalu keras
    • Elakkan daripada mengambil air yang terlalu panas

      Sumber: thediagnosa.com



    Sumber

  • Potong barisan di jalan raya ketika jalan sesak, apa pandangan dari sudut agama?

    Potong barisan di jalan raya ketika jalan sesak, apa pandangan dari sudut agama?

    MEMANDU atau menggunakan jalan raya ketika kesesakan terutama pada waktu puncak memang menuntut kesabaran yang tinggi.

    Ya, ketika itulah segala macam perkara yang ‘menyesakkan’ dada boleh menguasai diri sehingga menjejaskan emosi.

    Disebabkan itu, ada yang sanggup melanggar etika jalan raya apabila sifat kurang sabar mula menyelubungi diri.

    Maka, bermulalah episod memotong barisan kenderaan lain, melanggar lampu isyarat dan sebagainya.

    Apakah hukum apabila individu yang dipotong barisan tadi tidak reda? Bagaimanakah akhlak ketika berada di jalan raya?

    Bersama Editor Kanan Penerbitan Al-Quran Karya Bestari, Ustaz Amiro Safwan Mohd Kamil memberikan jawapan kepada tanda tanda itu menerusi segmen Soal Jawab Netizen.

    (ARTIKEL BERKAITAN: Berdosakah potong kenderaan?)



    Sumber

  • Mercedes-AMG terikat peraturan emisi

    Mercedes-AMG terikat peraturan emisi

    MERCEDES merupakan sebuah syarikat pengeluar kereta multinasional dari Jerman milikan Daimler AG dan merupakan jenama yang digunakan untuk kereta mewah termasuk keluarga AMG.

    Jenama kereta premium itu juga aktif melahirkan variasi model berprestasi tinggi untuk golongan sasaran seperti VVIP, baik daripada segmen hot hatch, crossover, SUV lima pintu, SUV coupe, sedan dan tidak ketinggalan, wagon.

    Boleh dikatakan hampir setiap segmentasi kenderaan akan ada wakil daripada Mercedes-AMG merancakkan pasaran jualan kereta mewah.

    Pun demikian, perkara tersebut mungkin akan berubah pada masa akan datang lantaran Kesatuan Eropah kini sudah mula mengenakan peraturan emisi yang lebih ketat iaitu peraturan 100g/km.

    Menurut sumber yang diperoleh daripada The Financial Times, Mercedes-AMG berkemungkinan besar akan mengurangkan sehingga 75 peratus daripada barisan model prestasi tinggi sedia ada demi mematuhi peraturan tersebut.

    Hal demikian kerana barisan kenderaan Daimler mencatatkan penghasilan emisi sekitar 138g/km dan ia masih lagi jauh ketinggalan berbanding peraturan 100g/km yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

    Jika Mercedes-AMG masih gagal mematuhi peraturan tersebut, mereka perlu mengurangkan jumlah penghasilan model sedia ada atau bakal menerima denda yang sangat besar daripada Kesatuan Eropah pada tahun 2021.

    Ia secara tidak langsung bakal menjejaskan keuntungan syarikat, memandangkan jentera berprestasi tinggi jauh lebih untung berbanding penjualan model standard, menurut pandangan pakar pasaran automotif.

    Laporan awal sebelum ini juga ada menyebut AMG sedang dalam perancangan untuk menggantikan enjin V8 kepada enjin 2.0 liter yang dilengkapkan pada model A 45 dengan bantuan sistem hibrid. – Agensi



    Sumber

  • Visi lahirkan juruteknik automotif

    Visi lahirkan juruteknik automotif

    SEBAGAI usaha untuk meningkatkan taraf pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) serta menambah jumlah pekerja berkemahiran dalam industri automotif komersial, Volvo Malaysia (Volvo) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) bersama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

    MoU itu antara lain menyediakan pendidikan, latihan teknikal dan vokasional kepada golongan belia di negara ini.

    Tujuan utama perjanjian tersebut adalah untuk menyediakan peluang latihan teknikal kepada belia Malaysia dalam usaha menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi kepada negara.

    IKBN dan Volvo Malaysia juga akan bersama-sama menjalankan pelbagai program bagi menjadi pemacu utama pembangunan pengajian kurikulum automotif yang lebih baik bagi menghasilkan juruteknik automotif yang berkemahiran.

    Pengarah Urusan Volvo Malaysia, Mitch Peden berkata, Volvo teruja untuk berkongsi kepakarannya dan menyokong pembangunan bakat vokasional dan teknikal di Malaysia menerusi MoU tersebut.

    “Sebagai pemain utama industri, peranan kami adalah untuk menggalakkan pertumbuhan pengetahuan dan set kemahiran TVET dengan cara berkongsi standard global serta kepakaran yang kami ada dengan pelajar IKBN,” katanya.

    Salah satu inisiatif kerjasama adalah melalui program latihan amali atau internship.

    Program yang melibatkan pembabitan Volvo itu akan melibatkan sekumpulan pelajar automotif dari pusat IKBN yang terpilih, ujar beliau.

    “Pelajar tersebut akan menjalankan latihan praktikal selama tiga bulan di pengedar Volvo yang terpilih dan akan didedahkan secara langsung kepada persekitaran bengkel yang sebenar.

    ” Mereka akan dilatih sebagai juruteknik automotif, mempelajari tentang asas servis serta membaiki trak dan bas,” katanya.

    Peden menambah, kesemua pelajar akan dipantau oleh penyelia bengkel dan pasukan teknikal yang berpengalaman.

    Mereka juga akan menerima elaun bulanan sebagai sebahagian daripada latihan praktikal dengan Volvo Malaysia.

    ” Volvo percaya bahawa kerjasama praktikal yang berterusan sangat diperlukan jika industri dan negara mahukan bekalan juruteknik automotif berkelayakan secara konsisten yang mempunyai kemahiran sewajarnya,” ujarnya.



    Sumber