Sempena sambutan Jubli Delima meraikan 40 tahun penubuhannya, jenama gaya hidup wanita popular NONA mengumumkan pengenalan anugerah khas “NONA Rising 40 Under 40” bersempena NONA Gala Awards 2026. Pengumuman tersebut dibuat sewaktu majlis “NONA Media Soirée” yang berlangsung meriah di The Heritage Club, Royale Chulan Kuala Lumpur hari ini dengan kehadiran para pengamal media dan tetamu jemputan industri.
Pengenalan kategori baharu ini menandakan komitmen berterusan jenama di bawah naungan Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. tersebut untuk mengiktiraf peranan generasi pelapis. Sepanjang 40 tahun beroperasi sejak 1986, NONA melihat keperluan mendesak untuk mengangkat bakat-bakat muda bawah 40 tahun yang berani memecah tradisi dan mencipta perubahan signifikan dalam pelbagai bidang profesional mahupun keusahawanan.

Selain anugerah khusus buat pemimpin muda, penganjuran kali ini turut mengetengahkan kategori “NONA People’s Choice Icons of the Year”. Kategori pilihan peminat ini memberi kuasa kepada orang ramai untuk mengiktiraf ikon wanita yang membawa impak positif, sekali gus merapatkan jurang interaksi antara jenama dan komuniti pembaca merentas platform fizikal serta digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, NONA mahu terus menjadi platform yang mencorakkan perbualan tentang aspirasi wanita moden.













