Nestlé Malaysia dan Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bertempoh tiga tahun bagi memperkukuh kerjasama menangani isu pembaziran makanan dan membantu komuniti memerlukan di seluruh negara.
Sejak mula bekerjasama pada tahun 2020, Nestlé Malaysia telah menyumbang pelbagai produk makanan dan minuman bernilai lebih RM7 juta, sekali gus membuktikan komitmen berterusan sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan dalam menggalakkan amalan penggunaan lestari serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan PBB (SDG) termasuk Kelaparan Sifar dan Tindakan Iklim.
Sempena majlis pemeteraian tersebut, sukarelawan kakitangan Nestlé di bawah program Nestlé Sayang Komuniti berganding bahu menyediakan 800 pek bantuan makanan dan nutrisi berisi produk asas seperti MILO, MAGGI, EVERYDAY dan NESCAFÉ untuk keluarga di kawasan pedalaman Tumpat dan Jeli, Kelantan. Inisiatif di bawah program tahunan Bantuan Banjir Seluruh Negara ini dilaksanakan sebagai langkah proaktif membekalkan nutrisi mencukupi kepada komuniti terpencil sebelum musim tengkujuh bermula, memandangkan faktor cuaca buruk sering menyukarkan laluan logistik bantuan ke kawasan pedalaman.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols, menegaskan usaha Menjana Nilai Bersama ini membolehkan lebihan produk berkualiti dimanfaatkan sebaiknya bagi memperkukuh daya tahan komuniti rentan. Pandangan tersebut turut disokong Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YFBM, YAM Tengku Zatashah binti Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menekankan bahawa gabungan sumber makanan, rangkaian pengagihan serta tenaga sukarelawan membolehkan penyaluran bantuan dilaksanakan secara teratur, berkesan dan mampu mengelakkan pembaziran makanan untuk jangka masa panjang.






