Nabila Razali memperlihatkan sisi baharu dalam perjalanan muziknya menerusi single terbaharu Cukup Sampai Sini (CSS), sebuah karya yang membawa mesej tentang mengenali nilai diri, keberanian menetapkan batas dan memilih kebahagiaan diri sendiri.

Lebih istimewa, lagu ini menjadi titik penting dalam perkembangan kreatif Nabila apabila beliau terlibat secara langsung sebagai pencipta lagu bersama Justin Seow Seng Tack serta menulis keseluruhan lirik untuk karya tersebut.

Penglibatan dalam proses penciptaan memberikan ruang kepada Nabila untuk menyampaikan emosi dan pandangan peribadinya melalui melodi, karakter muzik serta mesej yang ingin dikongsi bersama pendengar.

Menurut Nabila, pengalaman menghasilkan lagu sendiri buat pertama kali merupakan satu perjalanan yang memberikan makna besar dalam perkembangan seninya. Bersama Justin Seow Seng Tack, mereka memastikan setiap elemen lagu mempunyai identiti yang sesuai dengan karakter muzik Nabila.

Cukup Sampai Sini membawa kisah tentang seseorang yang akhirnya memilih untuk berhenti daripada hubungan yang dipenuhi alasan, kekecewaan dan cabaran emosi. Namun, mesej lagu ini tidak hanya tertumpu kepada perpisahan semata mata.

Sebaliknya, karya ini mengetengahkan kesedaran bahawa seseorang perlu menghargai diri sendiri selepas terlalu lama memberi peluang dan cuba memahami orang lain sehingga melupakan keperluan diri.

Menurut Nabila, situasi tersebut bukan sahaja berlaku dalam hubungan romantik, tetapi turut boleh dikaitkan dengan persahabatan, pekerjaan dan pelbagai hubungan dalam kehidupan.

Dari aspek muzik, Cukup Sampai Sini diterbitkan dan disusun oleh Justin Seow Seng Tack dengan pendekatan yang lebih ringan dan bertenaga.

Walaupun membawa tema kekecewaan, Nabila tidak mahu lagu ini hadir dengan suasana terlalu sedih. Sebaliknya, beliau mahu pendengar merasakan perjalanan daripada kecewa kepada kekuatan untuk bangkit dan meneruskan kehidupan.

Elemen “NO MORE, NO MORE” dalam lagu ini menjadi antara bahagian penting yang menggambarkan keberanian untuk berhenti memberikan ruang kepada perkara yang sama berulang kali.

Seiring dengan perkembangan dirinya sebagai artis, Nabila turut mengakui bahawa beliau kini lebih yakin menentukan arah kreatif sendiri berbanding sebelum ini.

Jika dahulu beliau lebih memikirkan pandangan dan jangkaan orang lain, kini Nabila lebih memahami identiti serta mesej yang ingin disampaikan melalui karya muziknya.

Selain lagu yang membawa mesej refleksi diri, muzik video Cukup Sampai Sini turut hadir dengan konsep lebih ceria menerusi tema dunia sekolah menengah yang penuh warna warni.

Pemilihan konsep tersebut dibuat kerana suasana sekolah merupakan pengalaman yang dekat dengan ramai orang, termasuk kisah cinta pertama, persahabatan dan pelbagai kenangan ketika zaman remaja.

Muzik video tersebut turut menampilkan 12 cameo daripada pempengaruh dan selebriti termasuk Ain Edruce, Yaya Zahir, Siti Khadijah, Adriana Adnan, Riena Diana, Lunia Ara, Syieda, Tengku Ratu, Eusoff, Kahoe Hon, Fadhli Masoot, Aimien dan Irfan Hifny.

Setiap personaliti membawa karakter tersendiri untuk menghidupkan suasana sekolah dalam dunia Cukup Sampai Sini, manakala Nabila tampil dengan karakter “The One Who Had Enough”.

Secara keseluruhannya, Cukup Sampai Sini memperlihatkan perkembangan Nabila Razali sebagai seorang artis yang semakin terlibat dalam proses penciptaan dan pembentukan identiti kreatifnya sendiri.

Karya ini bukan sekadar lagu mengenai kekecewaan, tetapi sebuah perjalanan untuk mengenali nilai diri, melepaskan perkara yang tidak lagi memberi kebaikan dan memilih untuk terus melangkah ke hadapan.

Cukup Sampai Sini terbitan Nabila Razali Entertainment, Malika Entertainment & Management serta edaran Sony Music Entertainment Malaysia kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital. Muzik video rasmi pula mula ditayangkan di YouTube pada 22 September 2026.