MERUPAKAN anak kepada pengusaha bengkel kereta dan turut terlibat dalam bidang automotif semenjak kecil menjadikan Mohmd Zaidi Mohmd Soude cukup mahir dengan perihal berkaitan kenderaan.
Atas sebab itu, dia memutuskan untuk serius dalam pengkhususan auto transmisi kenderaan sejak 10 tahun yang lalu.
Anak muda ini mendapat pendidikan dalam bidang automotif secara formal bermula di Sekolah Vokasional Kajang seterusnya mengasah kemahiran dengan melanjutkan pengajian ke Politeknik Ungku Omar, Perak dan Universiti Teknologi Mara, Selangor.
Oleh kerana semangatnya untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan bidang automatif, selepas tamat pengajian Mohmd Zaid mengambil inisiatif dengan belajar secara atas talian berkaitan transmisi kenderaan.
Setelah sekian lama menceburi bidang itu, dia mendapati tidak ramai yang berminat dengan kerja-kerja baik pulih transmisi kenderaan.
Katanya, antara sebab utama adalah ilmu pengendalian transmisi lebih terperinci dan rumit.
“Ia berbeza dengan bidang enjin kerana model dan fungsi transmisi lebih pelbagai.
“Kesabaran dalam mempelajari kotak gear amat diperlukan sekiranya ada yang berminat untuk terlibat dalam bidang transmisi kenderaan ini,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Akui masih belajar
Mohmd Zaidi mengakui bahawa dirinya masih lagi dalam tempoh belajar kerana teknologi kotak gear kenderaan sentiasa berubah.
“Sistem yang digunakan sentiasa diperbaharui contohnya transmisi boleh laras berterusan (CVT).
“Terbaharu adalah sistem hibrid yang memerlukan seseorang mekanik itu sentiasa peka akan perubahan semasa,” katanya.
Katanya, sebab lain kenapa beliau memilih baik pulih transmisi adalah kerana bidang perusahaan bengkel agak sengit.
“Terdapat banyak bengkel membaiki kenderaan yang dibuka berdekatan satu sama lain.
“Hanya kemahiran mekanik itu yang membezakan antara satu bengkel dengan bengkel yang lain,” katanya.
Kini, Mohmd Zaidi mengusahakan bengkel di bawah syarikat JV Empire Holdings Sdn Bhd yang beroperasi di Nouvelle Park Meru, Jalan Perindustrian 5, Klang, Selangor.
Bengkel yang beroperasi sejak 2005 itu pada mulanya diusahakanya secara bersendirian kini memiliki 20 pekerja.
Bantu pengusaha bengkel
Dek kerana minat dan keinginan mahu melihat industri yang diceburinya itu terus maju, Mohmd Zaidi turut mengajar mekanik yang berminat secara percuma.
Katanya, beliau sudi berkongsi ilmu dan kemahiran dalam bidang transmisi kerana cabaran bidang itu yang sentiasa berubah.
Bertitik tolak dari situ, beliau menubuhkan JV Empire untuk dijadikan sebagai pusat pembelajaran dan kursus khas berkaitan transmisi automatik kepada mana-mana individu yang berminat.
Menurutnya, selain dapat menuntut ilmu mengenai sistem transmisi yang rumit, pengusaha bengkel juga boleh menjana pendapatan tambahan dengan menjadi wakil jualan produk keluaran syarikatnya itu.
“Buat masa ini, JV Empire telah berkongsi ilmu dan membimbing lebih daripada 200 pengusaha bengkel di semenanjung, termasuk Sabah dan Sarawak.
“Sehingga kini, terdapat empat produk di bawah jenama JV Auto Lube iaitu pembaikan enjin, pembaikan transmisi, engine carbon detox dan fuel injector treatment,” kata Mohmd Zaidi.