
Wakil-wakil daripada Sanofi, Shwu Yan Goh (berbaju kuning), Dr Adilah (berbaju merah) dari Klinik Andalusia beserta pasukannya, bersama Faizal Ismail (berbaju biru), semasa bengkel “Cegah Dulu, Ready for Umrah”.
Sanofi telah menjalin kerjasama dengan Andalusia Travel & Tours untuk menganjurkan sebuah bengkel pendidikan bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit meningokokus invasif (IMD), iaitu jangkitan bakteria yang mudah menular dalam keadaan sesak seperti ketika mengerjakan umrah.
Bengkel ini merupakan sebahagian daripada kempen “Cegah Dulu, Ready for Umrah” anjuran Sanofi, dan turut menampilkan pengacara popular Zayan FM, Faizal Bin Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI, yang berkongsi pandangan berdasarkan pengalaman peribadinya menunaikan ibadah umrah.

Sehingga kini, IMD masih menjadi ancaman kepada kesihatan umum dengan pelbagai faktor yang mempengaruhi keberkesanan pelaksanaan dasar vaksinasi. Antaranya termasuk kadar vaksinasi yang rendah dalam sektor tertentu serta kesukaran mengesahkan bukti vaksinasi dalam kalangan jemaah yang ramai dari seluruh dunia. Cabaran ini menyebabkan wujudnya jurang dalam liputan perlindungan sekali gus meningkatkan risiko berlakunya kluster jangkitan.
Menurut Dr Adilah Haludin, Doktor Residen di Klinik Andalusia Shah Alam, penyakit meningokokus invasif merupakan ancaman kepada semua jemaah, khususnya warga emas dan individu dengan sistem imun yang lemah kerana mereka lebih berisiko mengalami komplikasi serius. Walaupun risiko kematian dan sejarah penularan dalam kalangan jemaah telah lama diketahui, masih ramai yang kurang menyedari tentang penyakit ini serta langkah melindungi diri dan orang sekeliling, termasuk ahli keluarga selepas pulang ke tanah air. Kajian juga menunjukkan kadar jangkitan yang tinggi dalam kalangan ahli keluarga yang tidak divaksin, sekali gus menekankan kepentingan penyebaran kesedaran serta pengambilan vaksin meningokokus.
Pengarah Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Puan Hajah Ida Riswana Binti Idris, menyatakan bahawa menjaga kesihatan diri dan orang sekeliling merupakan sebahagian daripada tanggungjawab dari sudut rohani. Sebagai rakan perjalanan yang dipercayai, pihaknya komited untuk memastikan para jemaah memperoleh pengalaman ibadah yang bermakna, di samping terus memberi penekanan terhadap isu kesihatan penting seperti IMD agar jemaah lebih berpengetahuan dan bersedia.
Sementara itu, Ketua Operasi Vaksin Sanofi MYSG, Hui Thian Chia, berkata setiap musim umrah menyaksikan ribuan jemaah Malaysia berangkat menunaikan ibadah tersebut. Namun, di sebalik pelbagai persiapan, ancaman penyakit meningokokus invasif sering terlepas pandang. Beliau menegaskan bahawa pendidikan dan pencegahan merupakan asas kepada kesihatan dan kesejahteraan, justeru kempen “Cegah Dulu, Ready for Umrah” diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan vaksinasi.

Para jemaah turut digesa untuk mematuhi garis panduan kesihatan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi, termasuk keperluan mendapatkan vaksin meningokokus sekurang-kurangnya 10 hari sebelum ketibaan. Bagi mereka yang telah menerima vaksin lebih daripada lima tahun lalu, suntikan dos penggalak adalah diperlukan. Untuk memastikan semua syarat dipenuhi, bakal jemaah disarankan mendapatkan maklumat terkini melalui sumber rasmi serta penyedia perkhidmatan perjalanan masing-masing.
IMD disebabkan oleh bakteria Neisseria meningitidis, yang mudah merebak melalui titisan cecair pernafasan dan air liur. Hubungan rapat dengan individu yang dijangkiti boleh meningkatkan risiko penularan, dan jangkitan ini lazimnya menyerang aliran darah atau lapisan otak serta saraf tunjang, yang dikenali sebagai meningitis.
Jangkitan dalam aliran darah boleh menyebabkan gejala seperti demam, menggigil, keletihan, cirit-birit, sesak nafas serta kesakitan teruk pada otot, sendi, dada atau perut. Manakala meningitis pula sering disertai simptom seperti sakit kepala, kekakuan leher dan sensitiviti terhadap cahaya. Kedua-dua keadaan ini boleh menjadi serius dalam tempoh singkat, menjadikan rawatan perubatan segera amat penting. Walaupun dengan rawatan, sehingga 15 peratus pesakit boleh meninggal dunia, manakala sekitar 20 peratus lagi berdepan komplikasi jangka panjang seperti kerosakan otak, kehilangan pendengaran, kerosakan buah pinggang, kehilangan anggota badan atau gangguan sistem saraf.