Impian yang pernah disimpan dalam hati akhirnya menjadi kenyataan buat penyanyi Marsha Milan apabila diberi peluang untuk berkongsi pentas bersama kumpulan legenda Indonesia, Ungu, sempena konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur. Konsert yang bakal berlangsung pada 5 September 2026 di Idea Live Arena itu bukan sahaja meraikan ulang tahun ke-30 perjalanan seni Ungu, malah menjadi pentas istimewa buat Marsha apabila diumumkan sebagai artis jemputan khas. Menurut Marsha, detik menerima tawaran tersebut merupakan satu kejutan yang cukup bermakna kerana beliau pernah berangan untuk berkongsi pentas dengan vokalis Ungu, Pasha. “Sejujurnya, bila Abang Pasha datang membuat persembahan di GV baru-baru ini, saya ada di sana. Dalam hati saya sempat terfikir, ‘Bestnya kalau satu hari nanti dapat berkongsi pentas dan berduet dengan Abang Pasha.’ Jadi apabila saya menerima tawaran ini, saya rasa sangat gembira,” katanya. Beliau menyifatkan peluang itu sebagai satu penghormatan besar kerana Ungu merupakan antara kumpulan yang banyak menghasilkan lagu malar segar yang membesar bersama peminat muzik Nusantara. Walaupun sedang memberi sepenuh perhatian kepada persiapan Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), Marsha berkata beliau tetap memastikan persembahan di konsert tersebut akan diberikan komitmen sepenuhnya. Menurutnya, pemilihan lagu solo masih dalam peringkat akhir, manakala lagu duet akan diputuskan oleh pihak Ungu memandangkan hampir semua karya mereka mempunyai nilai sentimental yang tinggi. Marsha turut menjanjikan sebuah persembahan yang dipenuhi emosi serta momen sing-along bersama penonton. “Apa yang penonton boleh jangkakan daripada saya ialah sebuah persembahan yang penuh dengan penceritaan dan emosi. Saya berharap semua dapat menikmati setiap detik konsert ini bersama-sama,” ujarnya. Selain lagu-lagu popular, Ungu turut dijangka mempersembahkan sebuah lagu baharu buat pertama kali pada malam konsert, sekali gus menjadikan sambutan ulang tahun ke-30 mereka lebih istimewa. Sementara itu, Pengarah Konsert COMs. Creative Studio, En. Zairul Addry Helmy percaya gabungan vokal Marsha dan Ungu akan menjadi antara kemuncak persembahan yang paling dinanti oleh peminat. Marsha turut mengajak peminat supaya mendapatkan tiket sebelum kehabisan kerana beliau sendiri sudah tidak sabar untuk berkongsi pentas bersama kumpulan yang banyak mewarnai industri muzik Nusantara itu. Post navigation Enam Lagu, Satu Perjalanan Emosi Dalam Album PERTAMA Syamel Insomniacks Buka Lembaran Baharu Dengan “Love Me Or Not”, Sasar Pasaran Antarabangsa