Musim perayaan merupakan tempoh yang penuh dengan kemaafan dan kegembiraan, di mana keluarga dan sanak saudara berkumpul untuk meraikan bersama-sama di kampung serta menghadiri rumah terbuka yang menyajikan pelbagai hidangan lazat. Di setiap rumah, juadah tradisional seperti rendang, lemang, kuah kacang dan kuih raya dinikmati selama beberapa hari berturut-turut, selalunya dalam kuantiti yang lebih besar daripada kebiasaan. Walaupun amalan menziarah dan menghadiri rumah terbuka merupakan inti pati sambutan perayaan, pengambilan makanan berat secara berulang dalam tempoh yang singkat boleh memberi tekanan ketara kepada sistem penghadaman bahagian atas. Dispepsia, atau lebih dikenali sebagai ketidakhadaman, menjejaskan antara 15 hingga 25 peratus rakyat Malaysia dan merupakan salah satu masalah gastrousus yang paling kerap dialami.
Dispepsia merujuk kepada sekumpulan gejala yang berpunca dari perut atau bahagian awal usus kecil. Ia boleh berlaku tanpa keabnormalan struktur, dikenali sebagai dispepsia berfungsi, atau berkait dengan keadaan lain seperti gastritis, ulser peptik dan penyakit refluks gastroesofagus. Pesakit biasanya mengalami kembung di bahagian atas perut, cepat kenyang, rasa pedih atau tidak selesa akibat asid, loya serta sendawa berlebihan. Menurut Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Deborah Chew Chia Hsin, gejala ini selalunya berpunca daripada perubahan fungsi perut dan bukan kerosakan fizikal yang jelas. Beliau menjelaskan bahawa perut menghasilkan asid secara berterusan untuk mencerna makanan, dan apabila pengosongan gastrik menjadi perlahan atau perut menjadi terlalu sensitif terhadap regangan selepas makan, ketidakselesaan boleh berlaku walaupun ujian seperti imbasan atau endoskopi tidak menunjukkan keabnormalan.
Sepanjang musim perayaan, peningkatan kes ketidakselesaan perut sering dilaporkan. Menurut Dr Deborah, ramai pesakit mengaitkannya dengan makan berlebihan, namun simptom yang berulang atau berpanjangan mungkin menandakan masalah kesihatan lain yang memerlukan pemeriksaan lanjut. Golongan tertentu lebih berisiko mengalami dispepsia, termasuk mereka yang mempunyai sejarah dispepsia berfungsi, gastrik atau refluks, pesakit diabetes yang mengalami pengosongan gastrik perlahan, serta individu dengan kebimbangan atau anxiety yang boleh meningkatkan persepsi terhadap ketidakselesaan gastrik. Sensitiviti sedia ada ini boleh menjadi lebih teruk apabila seseorang mengambil makanan berat secara berulang.
Pengambilan hidangan perayaan yang tinggi lemak dan dalam jumlah besar menyumbang kepada masalah ketidakhadaman kerana lemak memperlahankan pengosongan gastrik. Hidangan seperti rendang yang berasaskan santan menyebabkan makanan berada lebih lama di dalam perut, sekali gus menimbulkan rasa kembung dan terlalu kenyang. Jumlah makanan yang banyak pula meningkatkan tekanan dalam perut, menyebabkan rasa tidak selesa berpanjangan. Tambahan pula, pencuci mulut yang manis dan minuman bergula meningkatkan beban penghadaman, manakala minuman berkarbonat menghasilkan gas berlebihan. Makanan pedas yang mengandungi capsaicin boleh merangsang reseptor rasa panas dan sakit, menjadikan simptom lebih ketara bagi individu yang mempunyai perut sensitif. Walaupun makanan pedas tidak merosakkan lapisan perut, ia boleh memburukkan gejala bagi mereka yang terdedah kepada masalah gastrik.
Kurang pergerakan atau berbaring sejurus selepas makan juga boleh memburukkan keadaan kerana ia melambatkan penghadaman dan meningkatkan risiko refluks asid ke dalam esofagus. Oleh itu, disarankan agar individu menunggu sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam selepas makan sebelum berbaring. Kesan-kesan ini bersifat terkumpul, di mana satu hidangan berat mungkin tidak memberi kesan ketara, tetapi pengambilan berulang bersama tabiat yang kurang sihat boleh membebankan fungsi gastrik dalam jangka masa beberapa hari.
Walaupun kebanyakan kes ketidakhadaman semasa musim perayaan adalah sementara, orang ramai perlu peka terhadap simptom yang memerlukan perhatian perubatan. Jika gejala berlarutan lebih dua hingga tiga minggu, semakin teruk atau disertai tanda seperti penurunan berat badan tanpa sebab, anemia, najis hitam, muntah berterusan atau kesukaran menelan, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan segera. Penilaian biasanya melibatkan pemeriksaan klinikal, ujian darah, ujian Helicobacter pylori dan endoskopi jika perlu. Dalam kes tertentu, ujian ultrabunyi endoskopik atau endoscopic ultrasound (EUS) mungkin disyorkan untuk mendapatkan gambaran lebih terperinci struktur dalaman sistem penghadaman.
EUS menggabungkan teknologi endoskopi dan ultrabunyi untuk membolehkan doktor melihat lapisan lebih dalam pada dinding perut, pankreas, salur hempedu dan nodus limfa dengan lebih jelas. Teknik ini amat berguna dalam mengenal pasti keabnormalan kecil atau lesi yang tidak dapat dikesan melalui endoskopi biasa. Ia juga membolehkan biopsi dilakukan dengan lebih tepat. Berbanding ujian lain seperti CT scan atau MRI, EUS memberikan imej resolusi tinggi dan sangat membantu dalam mengesan masalah kecil yang memerlukan perhatian lanjut.
Selepas menolak kemungkinan penyakit serius, rawatan ketidakhadaman biasanya tertumpu kepada melegakan simptom dan memperbaiki fungsi gastrik. Ubat mungkin diberikan untuk mengurangkan penghasilan asid atau membantu pergerakan perut, manakala rawatan khusus diperlukan jika terdapat jangkitan seperti Helicobacter pylori. Dalam kebanyakan kes, perubahan gaya pemakanan dan rawatan yang sesuai mampu mengurangkan simptom dengan berkesan.
Langkah pencegahan kekal sebagai pendekatan terbaik, terutamanya ketika musim perayaan. Orang ramai disarankan untuk mengawal saiz hidangan, makan secara sederhana dan memberi jarak masa antara hidangan berat. Pengambilan probiotik juga boleh membantu sesetengah individu dalam mengekalkan keseimbangan sistem penghadaman. Walaupun menikmati makanan perayaan adalah sebahagian daripada kemeriahan sambutan, kesederhanaan dan kesedaran terhadap keperluan tubuh adalah penting bagi memastikan keselesaan dan kesihatan jangka panjang. Musim perayaan seharusnya menjadi waktu untuk mengeratkan hubungan, dan bukan sehingga menjejaskan kesihatan akibat makan berlebihan.
Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi +603 9772 9191 atau e-mel smcv-enquiry@sunway.com.my, manakala maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web rasmi dan saluran media sosial pusat perubatan tersebut.