Majlis Pelancaran Lagu, Video Muzik ‘Cintaku Di Negeri Perak’ Dan Perak Pass Sempena Perak Travel Fair (PTF) 2022

Majlis Pelancaran Lagu, Video Muzik ‘Cintaku Di Negeri Perak’ Dan Perak Pass Sempena Perak Travel Fair (PTF) 2022

Berikutan penularan wabak COVID-19 yang bermula sejak tahun 2020 sehingga kini, ia memberikan pelbagai impak buruk kepada negara dan salah satunya ialah menjejaskan sektor pelancongan serta-merta menggugat ekonomi negara. PERAK TRAVEL FAIR (PTF) 2022 yang merupakan penganjuran kerajaan negeri Perak melalui Tourism Perak adalah satu inisiatif untuk merangsang kembali sektor pelancongan yang terjejas teruk.

PERAK TRAVEL FAIR (PTF) 2022 menyediakan platform kepada penggiat industri pelancongan di Negeri Perak untuk mempromosikan produk dan destinasi pelancongan menarik kepada pengunjung di sekitar Lembah Klang yang bermula pada 11-13 Mac 2022 bertempat di Setia City Mall, Shah Alam Selangor.

Sepanjang program yang berkonsepkan Eco-Tourism ini berlangsung, pelbagai aktiviti menarik yang telah diadakan antaranya melalui kerjasama Sekretariat Usahawan Perak (STEP), sebanyak 16 penggiat pelancongan dan 10 pengusaha/usahawan makanan dan kraftangan dari negeri Perak telah berjaya dikumpulkan. Selain itu, pemain industri dari Perak juga turut serta seperti Riverbug, Kellie’s Castle, Pangkor Village Beach Resort, Felda Residence Hot Springs Sungai Klah dan banyak lagi. Program ini turut menganjurkan kuiz pelancongan, permainan tradisional, persembahan kebudayaan Negeri Perak bagi para hadirin yang hadir memeriahkan suasana program.

Pada pelancaran hari kedua bertempat di Setia City Mall, YB Dato’ Nolee Ashilin binti Dato’ Mohamad Radzi selaku Pengerusi Jawatan Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak telah merasmikan satu majlis pelancaran Lagu Video Muzik ‘Cintaku di Negeri Perak’ dan Perak Pass. Hazama yang merupakan anak kelahiran negeri Perak serta sebagai seorang penyanyi terkenal tanah air juga kehadiran dua ticktoker iaitu Aus dan Imran menampilkan diri mereka di dalam lagu dan video muzik tersebut. Kelainan yang boleh didapati di dalam muzik video tersebut adalah konsep kontemporari yang unik daripada kebiasaan video muzik pelancongan sebelum ini dan mengangkat keunikan dan keistimewaan lokasi serta produk pelancongan di dalam Perak dalam pada masa yang sama terdapat gabungan trend semasa.

Perak Pass merupakan satu aplikasi sistem pengumpulan data statistik kemasukan pelancong ke Negeri Perak secara real-time yang boleh digunakan oleh para pelancong menerusi telefon pintar masing-masing serta berpeluang menikmati tawaran baucar menarik oleh pengusaha dan produk yang terdapat di negeri Perak.

Kerajaan Negeri amat mengharapkan bahawa pengumuman pembukaan sempadan negara sejajar dengan Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ yang dikuatkuasakan pada 01 April 2022 secara tidak langsung, sektor ekonomi negeri yang terjejas khusus industri pelancongan domestik dan antarabangsa berikutan gelombang pandemik dapat membangun semula seperti kebiasaannya.