LYNAS Malaysia Sdn Bhd (Lynas) sentiasa komited untuk memenuhi komitmen mereka kepada Malaysia dalam pelbagai aspek.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Lynas hari ini, mereka meletakkan piawaian tertinggi dan amalan terbaik yang menjadi panduan dalam tatacara kerja serta keprihatinan terhadap rakyat serta negara ini.
“Komitmen yang berterusan itu terbukti apabila Lynas dianugerahkan Pingat Emas CSR pada tahun 2019 dari EcoVadis di mana kami tergolong dalam lima peratus tangga tertinggi penilaian peringkat antarabangsa bagi alam sekitar, hak asasi pekerja dan manusia, etika dan perolehan mampan,” kata kenyataan itu.
Jelas Lynas lagi, dalam isu alam sekitar mereka tidak berkompromi dan sentiasa meletakkan kepentingan alam sebagai komitmen utama dalam segala aspek.
“Kami mengikut piawaian persekitaran dan amalan terbaik antarabangsa sehingga Lynas Malaysia telah diiktiraf mengikut piawaian ISO bagi Pengurusan Alam Sekitar sejak tahun 2013,” katanya.
Lynas berkata, pihaknya mempunyai rantaian bekalan yang beretika dan telus Penilaian Kitaran Hidup yang menila kesan persekitaran produk kami bermula dari lombong di Western Australia sehingga ke produk akhir seperti magnet.
Menurut kenyataan itu lagi, Lynas juga tidak pernah membelakangkan kebajikan dan kepentingan komuniti setempat dalam persekitaran perniagaan mereka.
“Sumbangan berterusan kami kepada komuniti setempat meliputi bidang pendidikan, kesihatan, alam sekitar, sukan, infrastruktur dan bantuan kepada yang kurang berkemampuan,” katanya.