Mengiringi gelombang muzik semasa yang semakin berani bereksperimen dengan suara kebenaran, penyanyi Halim dan rapper Kmy Kmo tampil berkolaborasi dalam single terbaharu berjudul Layar Boneka. Dicipta oleh Kmy Kmo bersama HMstatenine, lagu ini bukan sekadar hiburan ia merupakan satu seruan, teguran halus kepada masyarakat dan refleksi terhadap perjuangan emosi yang dilalui individu dalam dunia yang sering dipenuhi kepura-puraan.
Menurut Halim, kolaborasi ini tercetus selepas perkenalannya dengan Kmy Kmo di set penggambaran program Manhajj Mutawiff terbitan syarikat miliknya untuk Astro Oasis. Melihat keunikan karya Kmy yang menggabungkan unsur hip hop dan muzik nusantara, Halim terdorong untuk membawa suara mereka ke studio rakaman. Minat Halim terhadap pelbagai genre muzik seperti Slow Rock, Pop Balada, dan Hip Hop menjadikan beliau lebih cenderung memilih genre ini sebagai medium menyampaikan mesej bersama Kmy.
Layar Boneka menjadi titik permulaan kolaborasi rasmi mereka dalam pasaran muzik hip hop Melayu. Lagu ini membawa mesej perjuangan batin, menyuarakan keberanian untuk bangkit daripada kejatuhan, memperjuangkan harga diri, serta mengubah fitnah menjadi kekuatan. Halim menyifatkan lagu ini sebagai suara bagi mereka yang terlalu lama berdiam diri, dan sudah tiba masa untuk bangkit dan bersuara. Lagu ini dirakam secara profesional dengan susunan muzik oleh HMstatenine, memadukan elemen pop moden, balada kontemporari dan hip hop Melayu menjadikannya satu pengalaman muzik yang menyentuh emosi serta menarik dari segi sonik.
Bagi Kmy Kmo, keunikan suara Halim yang menyerlah dalam gaya Rock Kapak atau Rock Melayu menjadikan kolaborasi ini lebih istimewa. Beliau menyifatkan Halim sebagai rakan yang beradab, ikhlas, dan berani mencabar diri dalam dunia seni muzik. Melalui Layar Boneka, mereka berharap agar setiap bait lirik mampu menyentuh hati pendengar dan menyampaikan mesej yang relevan dengan situasi masyarakat hari ini.
Single Layar Boneka diedarkan secara rasmi oleh Luncai Emas dan kini boleh didengari di semua platform penstriman digital serta saluran YouTube rasmi Luncai Emas. Lagu ini bukan sahaja membuka gelanggang kolaborasi dua nama berbeza latar muzik, tetapi turut mengangkat muzik sebagai ruang meluahkan rasa dan mencipta kesedaran.