KUDRAT 1968: High Council Raih RM12 Juta, Jadi Filem No. 1 di GSC

Fenomena KUDRAT 1968: HIGH COUNCIL terus mencipta kejayaan apabila filem tersebut berjaya mencatatkan kutipan sebanyak RM12 juta, termasuk tayangan awal dan empat hari tayangan rasmi sejak mula menemui penonton pada 29 Oktober lalu.

Pencapaian itu turut menyaksikan KUDRAT 1968 mengungguli carta GSC Top 10 sebagai Filem No. 1, sekali gus membuktikan francais High Council terus mendapat sambutan hebat daripada penonton tempatan.

Sokongan luar biasa peminat turut dapat dirasai menerusi Mega Fans Screening KUDRAT 1968 yang berlangsung di GSC IOI City Mall, Putrajaya pada 31 Oktober lalu. Acara tersebut berlangsung selama 12 jam, dari jam 3 petang hingga 3 pagi, dengan kehadiran barisan pelakon dan pembikin filem yang turun padang untuk bertemu peminat.

Antara yang hadir termasuk Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Evertts Gomes, Akmal Asyraf, Chech Harith serta beberapa lagi pelakon, bersama pengarah Zulaikha Zakaria. Mereka turut menjayakan sesi lawatan ke 33 dewan pawagam, memberikan peluang kepada peminat untuk bertemu lebih dekat dengan wajah-wajah di sebalik dunia High Council.

Menerusi konsep ‘One Story, Two Formats’, KUDRAT 1968 menggabungkan empat episod siri premium dan sebuah filem layar lebar yang membawa penonton menyelami konflik, hubungan dan perebutan kuasa dalam dunia High Council.

Diarahkan oleh Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff, filem ini turut menjadi sebahagian daripada perkembangan Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU).

KUDRAT 1968: HIGH COUNCIL kini sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara.