JDT+ Tampil Sebagai Hab Kandungan Premium Rasmi, Pertaruh ‘UNTAMED’ Sebagai Taruhan Sulung

Landskap penstriman kandungan digital tempatan kini semakin meriah dengan kehadiran JDT+, sebuah platform penstriman eksklusif milik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang rasmi diperkenalkan hari ini. Membawa identiti “The Home of JDT Originals”, platform ini menjadi hab utama bagi siri dokumentari, kandungan premium dan rakaman di sebalik tabir yang belum pernah disaksikan umum.

Sebagai pembuka tirai, JDT+ membawakan filem dokumentari berdurasi 76 minit berjudul ‘UNTAMED’. Dokumentari ini merakamkan liku-liku kejayaan, tekanan, kontroversi serta kerja keras yang membentuk DNA kejuaraan “Southern Tigers” sejak penubuhannya. Penonton disajikan dengan akses eksklusif merangkumi temu bual bersama pemilik kelab DYAM Tunku Mahkota Ismail, barisan pengurusan tertinggi, pemain bintang seperti Arif Aiman dan Bergson da Silva, serta figura tersohor negara.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, inisiatif ini dirangka untuk meluaskan jangkauan jenama JDT melangkaui aksi 90 minit perlawanan di atas padang.“Ini bukan sekadar usaha mendekatkan penyokong dengan pasukan, tetapi sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mengembangkan JDT sebagai jenama sukan berdaya saing antarabangsa,” jelas Luis.

Menyusul selepas tayangan UNTAMED, JDT+ dijadualkan menayangkan siri dokumentari premium original berjudul OUTBOUND bermula November 2026. Siri ini akan merakamkan perjuangan getir skuad Harimau Selatan dalam saingan berprestij AFC Champions League Elite.

Peminat dan penonton luar yang berminat untuk menikmati semua kandungan eksklusif ini boleh melayari www.jdtplus.com. Langganan Season Pass ditawarkan pada harga berpatutan iaitu RM69 sahaja bagi keseluruhan musim 2026/27. Ikuti perkembangan lanjut di akaun media sosial rasmi @watchjdtplus.