KRU Kembali Menyerlah dengan Single Balada “One More Time” dan Penggunaan Teknologi AI dalam Video Muzik

KRU, trio muzik yang sudah lama mencipta nama di Malaysia dan luar negara, meneruskan legasi muzik mereka dengan pelancaran single kedua dari album Kaset, berjudul “One More Time”. Selepas kejayaan lagu pertama mereka “Voodoo”, yang mendapat sambutan hangat di Malaysia dan luar negara, “One More Time” tampil dengan unsur yang lebih mendalam, menggambarkan perasaan kecewa dan perpisahan dalam percintaan.

Lagu “One More Time” merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh anggota KRU, Norman, Yusry, dan Edry, yang mengekalkan gaya muzik R&B mereka yang sudah menjadi identiti sejak era 90-an. Liriknya yang penuh emosi menceritakan kisah seseorang yang terpaksa menerima hakikat bahawa bekas kekasihnya kini bahagia bersama orang lain, walaupun dirinya masih dihantui rasa kecewa.

Dengan vokal yang semakin matang, “One More Time” memperlihatkan keupayaan KRU dalam menyampaikan lagu balada dengan penghayatan yang mendalam. Kehadiran lagu ini diharap dapat memenuhi kehendak peminat yang sentiasa menantikan karya-karya berkualiti daripada KRU.

Selain daripada kekuatan muzik dan lirik, video muzik “One More Time” juga menarik perhatian dengan penggunaan teknologi terkini. KRU sekali lagi membuktikan diri sebagai pelopor dalam bidang teknologi dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta Digital Twin mereka – kembar digital yang membolehkan peminat menyaksikan transformasi wajah KRU dari masa lalu, kini, hingga masa depan. Konsep visual ini bukan sahaja memperkaya pengalaman tontonan, tetapi juga menambah dimensi baru dalam penceritaan lagu, memberikan kesan emosi yang mendalam kepada penonton.

Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Sdn Bhd, Kenny Ong, turut memberi pujian terhadap kemahiran KRU dalam memanfaatkan teknologi moden. “KRU adalah contoh artis serba boleh yang tidak hanya menguasai nyanyian dan penciptaan lagu, tetapi juga berani menggabungkan teknologi terkini untuk memperkaya pengalaman muzik. Video muzik ‘One More Time’ akan memberikan impak yang mendalam kepada penonton dan kami yakin ia akan menjadi salah satu lagu klasik yang kekal relevan untuk masa yang panjang.”

KRU tidak hanya meraih kejayaan dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Muzik video “Voodoo”, single pertama mereka dari album Kaset, telah mencatat lebih 1.2 juta tontonan di YouTube dalam masa singkat dan menarik perhatian peminat di negara-negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.

Berkongsi perasaan mengenai pelancaran “One More Time”, Norman berkata, “Ini adalah tradisi kami untuk mengeluarkan lagu balada selepas single rancak. Kami sangat gembira untuk mempersembahkan lagu ini kepada peminat dan berharap ia dapat diterima dengan baik. Lagu ini juga menjadi sebahagian daripada momentum untuk album Kaset yang akan datang.”

Single “One More Time” boleh didengar di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, dan YouTube Music bermula 17 Januari 2025. Untuk perkembangan terkini, ikuti akaun rasmi KRU di Instagram, TikTok, YouTube, dan Facebook.