Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd. dengan penuh rasa bangga mempersembahkan Konsert WINGS 40 Tahun: 4 Dekad Terbang Tinggi, yang bakal berlangsung pada 28 November 2025 di IDEA LIVE Arena, 3 Damansara. Konsert istimewa ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para peminat setia WINGS sempena empat dekad penglibatan kumpulan legenda rock tanah air ini dalam industri muzik Malaysia.
Menurut vokalis utama WINGS, Dato’ Awie, persembahan kali ini akan menampilkan kelainan yang belum pernah disaksikan dalam mana-mana konsert mereka sebelum ini. Beliau turut menjanjikan sebuah pengalaman yang akan dikenang oleh penonton sebagai momen bersejarah buat peminat WINGS. Konsep penuh serta butiran lanjut mengenai konsert ini akan diumumkan menerusi sidang media rasmi yang dijadualkan tidak lama lagi.

Pengarah Urusan Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd., Dato’ Eddy Amir, turut berkongsi bahawa setiap pembeli tiket akan menerima barangan eksklusif sebagai cenderamata khas, bergantung kepada kategori tiket yang dibeli. Pemberian ini merupakan tanda penghargaan kepada peminat yang sentiasa menyokong perjalanan muzik WINGS selama empat dekad.
Sebanyak 500 slot pra-pendaftaran telah dibuka bermula 17 Julai 2025 dengan tawaran diskaun istimewa sebanyak 10%. Sambutan luar biasa diterima apabila lebih 1,000 pendaftaran diterima dalam tempoh hanya dua jam, dan jumlah itu terus meningkat melebihi 2,000 setakat ini. Sebagai tanda terima kasih atas sokongan luar biasa daripada peminat, RPM memutuskan untuk melanjutkan tempoh diskaun 10% sehingga 20 Julai 2025, jam 11.59 malam.

Pra-pendaftaran tanpa diskaun pula akan dibuka dari 21 hingga 24 Julai 2025. Mereka yang mendaftar lebih awal akan diberikan keistimewaan membeli tiket sebelum jualan umum bermula, iaitu pada 25 Julai 2025 jam 11 pagi, sekaligus berpeluang memilih tempat duduk terbaik sebelum ia habis dijual.
Tiket untuk jualan umum akan mula ditawarkan pada 30 Julai 2025 (Rabu) jam 11 pagi menerusi laman sesawang rasmi rpm.uberticket.asia dengan harga bermula serendah RM240. Pembeli juga diberi pilihan untuk membuat bayaran secara ansuran dua kali melalui platform Ubertickets. Konsert istimewa ini bersifat eksklusif dengan kapasiti terhad kepada hanya 4,444 tempat duduk dan tiada kategori berdiri. Bagi memastikan keselesaan serta keselamatan semua penonton, hanya individu berusia 12 tahun ke atas dibenarkan hadir ke lokasi konsert.
Pihak RPM menjanjikan sebuah persembahan berskala besar dengan standard antarabangsa, dilengkapi sistem bunyi dan pencahayaan berteknologi tinggi serta hadiah-hadiah Lucky Draw eksklusif untuk penonton bertuah. Sidang media rasmi akan datang bakal memperincikan konsep penuh konsert serta pengumuman hadiah istimewa yang pasti dinantikan. Untuk maklumat terkini, orang ramai disarankan mengikuti laman media sosial rasmi RPM di Instagram, Facebook dan TikTok menerusi akaun @rpmevents.