Syarikat produksi tempatan, Tanahair Films Sdn. Bhd., yang diasaskan oleh tokoh industri kreatif Dato’ Khairul Anwar Salleh bersama penggiat seni prolifik Adlin Aman Ramlie, hari ini mengumumkan penganjuran Konsert Legasi P. Ramlee yang bakal berlangsung pada Sabtu, 20 September 2025, bertempat di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur.
Majlis pengumuman yang berlangsung di Kompleks Studio Merdeka, FINAS, Ulu Kelang turut memperkenalkan barisan bintang dan maestro muzik terkemuka yang akan menjayakan konsert ini. Ia merupakan sebahagian daripada visi kreatif di bawah inisiatif Projek Perdana P. Ramlee, yang diilhamkan Tanahair Films sebagai penghormatan terhadap seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, dan generasi emas dunia seni yang sezaman dengannya.
Konsert ini menjanjikan persembahan penuh emosi, dramatik dan sinematik, dengan gabungan elemen klasik, kontemporari dan moden. Ia bukan sekadar penghargaan, tetapi satu usaha mengangkat kembali keindahan seni Melayu yang menjadi khazanah warisan budaya negara untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.
Empat nama besar dalam dunia muzik tanah air – Dato’ Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap, dan Michael Veerapen akan menerajui susunan muzik bersama 60 pemuzik orkestra. Lebih 30 karya agung Tan Sri P. Ramlee bakal dipersembahkan secara medley, duet dan solo dengan sentuhan klasik serta susunan baharu yang lebih segar namun tetap menghormati keasliannya.
Barisan artis yang bakal membuat persembahan termasuklah gabungan legenda dan generasi baharu seperti Dato’ Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, MimiFly, Nadeera dan Liza Hanim. Masing-masing akan memberikan interpretasi tersendiri terhadap karya-karya agung seniman pujaan ramai ini.

Lebih menarik, konsert ini turut menampilkan persembahan khas oleh tiga figura istimewa P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee yang dikenali sebagai antara impersonator P. Ramlee paling menyerlah. Dengan gaya, suara dan persona yang begitu dekat dengan seniman agung tersebut, mereka akan membawa penonton menelusuri kembali era klasik penuh nostalgia melalui persembahan berciri kontemporari.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tanahair Films, Dato’ Khairul Anwar Salleh, konsert ini merupakan inisiatif kedua dalam siri Projek Perdana P. Ramlee selepas pelancaran Legasi Podcast pada September 2024. “Ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu jambatan yang menyatukan generasi dan menghidupkan kembali semangat seni yang tidak lapuk dek zaman,” ujar beliau.
Sementara itu, Adlin Aman Ramlie selaku pengarah artistik menjanjikan sebuah malam yang bukan sahaja nostalgik, tetapi juga sarat dengan emosi dan kekaguman. “Konsert ini akan membangkitkan semula roh seni Tan Sri P. Ramlee dalam setiap melodi dan babak, sambil membawa penonton ke zaman keemasan seni Melayu dalam gaya yang segar dan mengagumkan,” katanya.
Tiket akan mula dijual bermula Jumaat, 27 Jun 2025 melalui laman web rasmi www.ticket2u.com.my. Jangan lepaskan peluang menyaksikan sebuah malam istimewa yang meraikan keindahan seni agung negara.
Ikuti perkembangan dan sorotan eksklusif di media sosial rasmi:
@konsertlegasipramlee, @TanahAirFilms dan @legasipodcast (Facebook | Instagram | TikTok)