Dato’ M. Nasir kembali menghangatkan pentas dengan pengumuman rasmi konsert ketiganya dalam trilogi mega bertajuk Konsert DATO’ M. NASIR CIPTA 3 yang dijadualkan berlangsung pada 27 September 2025 di Axiata Arena, Kuala Lumpur. Seperti dua konsert terdahulu, ribuan peminat dijangka membanjiri venue ikonik itu bermula jam 8 malam bagi menyaksikan maestro muzik tanah air menyempurnakan trilogi bersejarahnya.
Menambah keistimewaan malam penuh nostalgia itu, Etiqa tampil sebagai rakan strategik utama konsert bersama jenama motosikal tersohor, Harley-Davidson. Gabungan ini bakal membawakan pengalaman unik yang bukan sahaja mengangkat semangat muzik rock, tetapi juga menyuntik elemen gaya hidup eksklusif. Lebih mengejutkan, sebuah motosikal Harley-Davidson model Softail STD FXST bernilai RM114,000 akan dihadiahkan kepada seorang peminat bertuah yang hadir ke konsert, lengkap dengan perlindungan insurans motorsikal daripada Etiqa.
Mengangkat tema “Malam Ini Gua Rock”, konsert ini menjanjikan seleksi lagu-lagu rock terbaik nyanyian dan ciptaan Dato’ M. Nasir yang pernah mewarnai zaman kegemilangan muzik tempatan. Peminat digalakkan hadir dengan gaya bebas berinspirasikan tema “Rock Cara Lu… Janji Rock” sebagai simbolik kepada ekspresi diri dan semangat kebebasan yang dirai dalam muzik rock.
Menurut Iman Tang, pengasas Icon Entertainment selaku penganjur konsert, kolaborasi antara Dato’ M. Nasir, Icon Entertainment, Harley-Davidson dan Etiqa merupakan satu bentuk kerjasama luar biasa yang akan memperkuatkan konsep dan pengalaman konsert. Tambah beliau, cabutan bertuah bagi pemberian motosikal eksklusif itu akan melibatkan semua pembeli tiket dari mana-mana kategori yang ditawarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurans & Takaful, Kamaludin Ahmad pula menyatakan keterujaan Etiqa untuk menjadi sebahagian daripada konsert ini. Menurutnya, kerjasama ini sejajar dengan pendekatan digital yang dipacu oleh aplikasi Etiqa+ di mana pengguna boleh mendapatkan akses awal kepada pra-jualan tiket bermula 3 Julai 2025 selama 24 jam. Mereka yang terlepas peluang ini juga berpeluang memenangi tiket menerusi pelbagai kempen khas yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Untuk maklumat lanjut mengenai mekanisme cabutan bertuah dan perkembangan terkini konsert, orang ramai boleh mengikuti laman Instagram rasmi @iconentertainmentmy dan @datomnasircipta. Peminat juga boleh mendapatkan tiket menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com.my/mnasircipta3 atau menghubungi talian hotline WhatsApp di 012 6530 700.
Harga tiket yang ditawarkan merangkumi enam kategori iaitu RM258 (Teguh), RM358 (Opera Hidup), RM458 (Isi dan Kulit), RM488 (Sejati), RM558 (Gadisku), dan RM628 (Pawana). Pra-jualan eksklusif dibuka untuk pengguna aplikasi Etiqa+ bermula 3 Julai 2025 pada jam 2.00 petang, manakala jualan umum bermula 4 Julai 2025 jam 11.00 pagi.
Dengan barisan lagu malar segar, hadiah lumayan, dan aura sang legenda, Konsert DATO’ M. NASIR CIPTA 3 menjanjikan satu malam yang penuh jiwa dan semangat. Ayuh, jadilah sebahagian daripada detik bersejarah ini Malam Ini Kita Rock!