Selepas sekian lama dinantikan, peminat muzik rock tanah air bakal disajikan dengan sebuah konsert istimewa apabila kumpulan Search, Wings dan XPDC digandingkan buat pertama kalinya menerusi Konsert 3 Veto. Bakal berlangsung di Megastar Arena, Bukit Bintang pada 1 Ogos, konsert anjuran Bintang Batu Event dan Seri Simfoni Sdn Bhd ini mengangkat semangat muzik rock sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang setia menyokong perjalanan seni tiga kumpulan legenda yang telah mewarnai industri muzik tanah air lebih empat dekad. Konsert ini menjadi simbol legasi muzik rock yang tidak pernah pudar, malah terus mencetus fenomena sejak era 80-an dan 90-an. Ia juga membuktikan bahawa muzik tiga kumpulan rock legenda ini masih kekal dekat di hati peminat dan relevan sehingga ke hari ini. Menurut penganjur, Ikhram Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Atom, konsert ini bukan sekadar hiburan, sebaliknya sebuah pengalaman bermakna yang bakal dirasai oleh semua peminat. Gabungan tiga kumpulan ini dijangka memberikan kepuasan tersendiri, malah mungkin menjadi satu pengalaman yang sukar untuk diulang pada masa akan datang. Penonton bakal dihidangkan dengan susunan semula lagu-lagu popular seperti Sejati, Isabela, Titian Perjalanan dan banyak lagi yang diberi nafas baharu tanpa menghilangkan keaslian karya asal, termasuk persembahan yang menampilkan ketiga-tiga kumpulan secara serentak. Selain itu, penggunaan teknologi audio, visual dan pencahayaan termasuk projection mapping dijangka menjadi antara tarikan utama, sekali gus memberikan dimensi baharu kepada pengalaman persembahan pentas. “Konsert ini adalah tentang jiwa seni kami, menyatukan hati melalui muzik rock dan berkongsi rasa serta emosi dengan semua yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan kami,” jelas Dato’ Awie. Kenyataan itu turut dipersetujui oleh Din Search dan IzO XPDC. Konsert 3 Veto dijangka menarik kehadiran ramai peminat yang membesar dengan muzik rock, selain generasi baharu yang ingin merasai keunikan genre ini dalam persembahan berskala besar oleh tiga kumpulan legenda ini. Tiket konsert telah mula dijual pada 8 Mei 2026 menerusi platform rasmi dalam talian 3veto.ubertickets.asia. Dengan gabungan elemen nostalgia, teknologi moden dan pengisian yang penuh jiwa, konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik paling bermakna tahun ini. Post navigation Tsunami Nasyid Kembali! Adnin Roslan Lancar ‘Nasyid Friday’, Gelombang Dakwah Moden Buat Anak Muda