MEMANG benar kata orang, cinta itu lebih berkuasa daripada segalanya. Pendek kata, cinta itu mempunyai kesaktian luar biasa. Sukar untuk disangkal.
Tidak kisahlah apa yang dimomokkan tentang insan yang dicintai. Ini termasuklah kata-kata nista memilih wanita yang jauh lebih tua sebagai pasangan hidup.
Bagi membincangkan isu lelaki memilih wanita berusia sebagai pasangan, Oh! Lelaki membawakan dua selebriti popular iaitu Zain Saidin atau nama penuhnya, Mohamad Zain Mohd Saidin dan Izzue Islam atau Muhammad Izzul Islam Mazlan.
Zain memilih si rupawan, Rozita Che Wan atau Che Ta. Sementara Izzue terus setia bersama isteri yang juga pengurusnya, Awin Nurin.
Kisah cinta Zain dan Che Ta berakhir di jinjang pelamin pada tanggal 11 Disember 2013. Perbezaan umur 11 tahun antara mereka berdua, terbukti bukan halangan. Pasangan ini kemudian dikurniakan anak yang dikategorikan paling comel di Malaysia, Aaisyah Dhia Rana, 5. Che Ta sebelum ini mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu.
Izzue yang merupakan seorang penyanyi, pemuzik dan pelakon pula masih bahagia bersama Awin Nurin atau nama sebenarnya Nurinafilah Waharudin.
Kata Izzue, beliau menamatkan zaman bujang ketika berusia 24 tahun. Isterinya lapan tahun lebih berusia daripadanya. Namun kata Izzue: “Saya tetapkan cintakannya sehingga hari ini.”
Ikuti sembang Oh! Lelaki bersama dua personaliti hebat ini tentang topik bual bicara yang diketengahkan pada edisi kali ini.
1. Anda berdua pernah terfikir bertemu jodoh dengan wanita berusia?
ZAIN: Tidak pernah terfikir dek akal untuk bertemu jodoh dengan sesiapa pun. Sudah jodoh saya dengan Che Ta, ia berlaku secara kebetulan saja. Jarak usia antara kami tidak menjadi masalah buat saya.
Che Ta di mata saya tidak nampak berusia. Saya tidak pandang semua itu, bagi saya dia seorang wanita berbudi bahasa dan segalanya ada pada dirinya membuatkan saya tidak terfikir dia lebih berusia.
IZZUE: Dengan sesiapa pun saya tidak pernah terfikir termasuk sama ada berkahwin dengan wanita lebih muda atau sebaliknya. Semuanya ketentuan Ilahi. Segalanya bagaikan sudah ditetapkan apabila saya berkawan baik dengan Awin pada tahun 2008.
Sebenarnya, cerita kami bermula apabila saya datang ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki. Kebetulan tempat saya bekerja bersebelahan dengan tempat Awin bekerja. Ketika itu saya menjadi pelayan restoran.
Awin selalu memesan makanan dan saya menghantarnya. Dari situ, kami mula berkawan dan serasi bersama. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk berkahwin.
2 Keluarga terkejut atau tidak dengan pilihan anda?
ZAIN: Keluarga dan sanak saudara semua terkejut apabila saya mengatakan akan berkahwin dengan Che Ta. Bukan kerana umur Che Ta dan status janda anak dua ketika itu. Tetapi kehebatan dan kepopularan Che Ta. Che Ta satu nama besar yang sangat dikenali dan disanjung ramai. Sebenarnya, saya seorang yang bertuah.
IZZUE: Keluarga tidak terkejut dengan perkhabaran untuk berkahwin dengan Awin. Masa hendak bertunang pada tahun 2012, keluarga sudah beri restu.
Sebenarnya, keluarga saya sudah kenal Awin melalui cerita yang saya sampaikan. Sepanjang tempoh kami berkawan, saya perkenalkan Awin sebagai sahabat baik. Mereka juga tahu Awin yang banyak membantu saya membina nama dalam industri seni.
3 Apa istimewanya memiliki isteri lebih berusia?
ZAIN: Che Ta lebih banyak makan garam berbanding diri saya.Jadi, dia faham apa yang terbaik untuk saya dan anak-anak.
Itu lebih senang. Pengalaman yang dia ada, membantu saya menjadi seorang lelaki berkerjaya juga sebagai seorang ayah bertanggungjawab serta menjadi suami terbaik.
IZZUE: Banyak istimewanya dia kepada saya. Masa mula-mula hidup di Kuala Lumpur, saya tiada apa-apa. Kenderaan tiada, menumpang pula di rumah kawan, gaji pula tidak banyak. Awin banyak mengajar saya meneruskan kehidupan dan membantu saya membina kerjaya sehingga menjadi orang yang ada nama kini.
Segalanya menjadi mudah bagi saya sejak memiliki Awin. Pengalaman dirinya membantu saya untuk menjadi lebih baik. Apa yang pernah dilaluinya (yang kurang baik), dia akan menasihati saya untuk tidak melakukannya.
4 Siapa yang lebih dominan mengawal rumah tangga?
ZAIN: Jawapannya ialah Che Ta. Jarak umur kami membolehkan isteri saya mempunyai kelebihan. Dari segi kewangan, pengalaman dan bab mengurus rumah tangga, Che Ta juga lebih ke depan. Akan tetapi tidak bermakna dia tidak hormat saya sebagai suaminya. Che Ta seorang isteri yang taat.
IZZUE: Saya rasa Awin. Dia lebih peka dalam segala benda. Ada kalanya kami akan buat keputusan bersama-sama. Tengok juga keadaan, kadang-kadang keputusan itu diputuskan oleh Awin dan ada masanya saya. Jika perihal rumah, segalanya saya serahkan pada Awin. Saya kadangkala sibuk dengan kerja, jadi kurang masa urus rumah.
5. Orang kata berkahwin dengan wanita berusia rezeki murah, apa komen?.
ZAIN: Rezeki saya memang murah sejak berkahwin dengan Che Ta. Pengalaman dirinya 11 tahun lebih ke depan berbanding saya, membuatkan segala yang dibuat oleh Che Ta menjadi.Tidak dinafikan Che Ta masih relevan dalam industri seni dan masih aktif. Ia secara tidak langsung membantu saya dalam perniagaan. Apabila kita sebagai selebriti menjadi pengasas kepada sesuatu produk, ia tidak menjadi masalah. Orang mudah mengenali dan yakin dengan apa yang kita dijual.
IZZUE: Bagi Izzue, sama ada kahwin dengan wanita muda atau tua. Semua itu bergantung kepada rezeki daripada ALLAH SWT. Jika kita berusaha lebih, kita akan dapat lebih. ALLAH akan bagi rezeki itu setimpal dengan apa yang kita kerjakan. Namun jika dikatakan rezeki murah kerana pengalaman yang dilalui wanita berusia, itu saya akui.
6 Apa cabaran berkahwin dengan wanita berusia? Soal zuriat bagaimana?
ZAIN: Sebagai seorang suami muda, saya tidak boleh kongkong Che Ta, sekat dirinya untuk beri berhatian kepada rumah tangga sepenuhnya. Itu tidak adil dan merugikan kerana rezeki dia lebih murah. Saya beri dia kebebasan. Selain itu, saya juga perlu bertolak ansur untuk mendengar keputusan yang dibuat, berdasarkan pengalaman yang pernah dilaluinya. Jika fikirkan ego lelaki untuk mendengar kata isteri, ia satu cabaran.
Alhamdulillah, saya fikir secara logik, ia untuk kebaikan bersama. Saya akui Che Ta lebih serius, jadi saya dengar dan menerima nasihat diberikan. Saya juga turut memberi nasihat kepadanya, terutama bab duit. Kita tidak boleh sentuh duitnya tetapi saya boleh beri nasihat dan larang dia buat benda bukan-bukan.
Soal zuriat ini, kami sudah ada tiga orang anak. Aaisyah pun selalu sebut mahu adik. Kami tidak mendesak, jika ada rezeki, kami terima.
IZZUE: Setakat enam tahun menjalani kehidupan berumah tangga, saya nampak segalanya berjalan lancar. Awin tidak mengongkong saya. Mungkin orang nampak Awin kongkong hidup saya kerana pergi ke mana-mana Awin akan ada bersama. Tapi sebenarnya saya lebih suka Awin ada, untuk mengelak fitnah dan pancaroba di luar sana.
Azam kami tahun ini untuk menyambut tahun 2020 bertiga. Jika ada rezeki. Kami cuba mencari masa untuk berjumpa pakar dan buat pemeriksaan. Jika perlu jalani rawatan kami akan buat. Sebelum ini, kami ada buat temu janji untuk berjumpa pakar tetapi terpaksa dibatalkan kerana terlibat dengan sesi pengambaran. Tahun ini, saya banyak terlibat dalam pengacaraan program televisyen, jadi senang atur masa.
Untuk ambil anak angkat, kami pernah berbincang namun rasanya Allah itu lebih tahu kenapa kami tidak diberi zuriat lagi. Mungkin mahu saya lebihkan masa untuk isteri dan lebih stabil dalam membina kerjaya.
7 Apa perkembangan terkini anda berdua?
ZAIN: Saya sibuk dengan perniagaan Zapatos di Subang Jaya. Insya-Allah kami akan keluarkan barangan perempuan seperti tas tangan, kasut dan sebagainya.
Ini kerana permintaan barangan perempuan lebih tinggi berbanding barangan lelaki. Koleksi raya kami akan keluar sebelum bulan puasa.
Terbaharu, kami akan buka kedai baharu di Kota Damansara turut menyediakan perkhidmatan menggunting rambut. Penglibatan saya dalam dunia lakonan agak perlahan sedikit kerana memberi ruang dalam bidang perniagaan.
IZZUE: Dapatkan album single ketujuh saya di pasaran bertajuk Kau. Ia ciptaan IIAM dan lagu ini juga menjadi OST untuk filem XX-Ray 3. Saya sebagai penerbit untuk lagu ini dan lagu ini amat berbeza ada alternatif pop.
Saya juga diberi tanggungjawab sebagai hos program Resepi Rezeki, Roda Selera dan program Wira Remaja, semuanya di bawah RTM. Lakonan terbaharu saya dalam telemovie bertajuk Resort Berhantu (TV3) dan saya turut berlakon dalam drama bertajuk Kampung Batu 120 yang akan ditayangkan tidak lama lagi di Astro.
NAMA: Mohamad Zain Mohd Saidin/Zain Saidin
UMUR: 35
ASAL: Bangsar
HOBI: Memanah dan main bola sepak
KERJAYAcTypeface:>Pelakon, pelawak, model dan pemilik butik Zapatos, Subang Jaya
PENGLIBATAN: Filem, Love Supermoon, 2015. Terkenal sebagai watak utama, program Oh My English! Astro sebagai cikgu Henry Middleton. Menyertai rancangan Fear Factor Malaysia Musim 2 dan Lari Bersama Prosperity dan banyak lagi.
NAMA: Muhammad Izzul Islam Mazlan/ Izzue Islam
UMUR: 29
ASAL:Kota Bharu, Kelantan
HOBI: Main gitar dan buat lagu
KERJAYA: Pelakon, model dan penyanyi
PENGLIBATAN: Bekas penyanyi kumpulan Forteen. Pernah memenangi anugerah Pelakon Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-25 dan Hero Baru Terhebat Anugerah Blokbuster 2. Nama meningkat naik selepas diberi tanggungjawab menggalas watak utama drama Sebenarnya, Saya Isteri Dia dan Kami Histeria.