Koleksi Lagu Raya Berbeza: ZUS Coffee Bawa ‘Cerita Malam Raya’ yang Menyeronokkan dan Menggerunkan

ZUS Coffee mengajak rakyat Malaysia untuk merayakan Hari Raya dengan cara yang penuh keceriaan dan kemeriahan menerusi kempen terbaru mereka, Sembang-Sembang dengan ZUS. Bertepatan dengan semangat perayaan, kempen ini dilancarkan dengan lagu “Cerita Malam Raya”, yang menyatukan elemen lawak dan seram dalam sebuah naratif unik mengenai pertemuan keluarga pada malam Raya.

Lagu “Cerita Malam Raya” adalah hasil kerjasama antara ZUS Coffee, Faithful Music, Loko Films, Luqman Podolski, dan Zeppo Youngsterz Crew. Menggabungkan elemen komedi dan ketegangan, lagu ini menceritakan pengalaman sebuah keluarga yang berkumpul pada malam Raya untuk berdepan dengan kejadian seram yang turut mengundang tawa. Ia berfungsi sebagai pengingat bahawa kemeriahan sebenar Hari Raya dapat dinikmati apabila kita mengetepikan telefon bimbit dan memfokuskan perhatian pada detik-detik berharga bersama orang tersayang.

Shafiqah Othman, Pengarah Kreatif ZUS Coffee, berkata, “Projek ini mengingatkan kami tentang keindahan yang wujud apabila kami benar-benar menikmati perbualan tanpa gangguan. Kerjasama ini juga memberi peluang untuk kami menyokong bakat tempatan seperti Luqman, Faithful Music, Loko Films, dan Zeppo Youngsterz Crew, yang bersama-sama menjayakan idea yang memberi impak kepada masyarakat.”

Pencipta kandungan dan penyanyi Luqman Podolski turut berkongsi kegembiraannya, “Lagu Cerita Malam Raya membawa sesuatu yang baru untuk Hari Raya — ia bukan sahaja menggambarkan semangat perayaan, tetapi juga sentuhan cerita seram yang jarang dilihat. Saya berharap orang ramai akan menikmati suasana yang kami cipta dalam video muzik ini sebagaimana kami teruja semasa penggambaran.”

Sebagai tambahan kepada video muzik dan rekaan eksklusif produk, ZUS Coffee turut melancarkan koleksi istimewa sempena Ramadan dan Raya. Di antaranya adalah Sampul Raya, Sticker Raya, Sembang Raya Keychains, dan ZUS Raya Card Game yang bertujuan untuk mencetuskan lebih banyak perbualan bermakna semasa sambutan Hari Raya. Koleksi ini dijangka akan dilancarkan pada bulan Mac, manakala tumbler eksklusif boleh didapati secara dalam talian.

Salah satu aspek menarik dalam kempen ini adalah Cabaran Tarian Cerita Malam Raya, yang mengajak rakyat Malaysia untuk mempamerkan bakat tarian mereka menggunakan lagu Cerita Malam Raya. Peserta berpeluang untuk memenangi kopi percuma selama setahun dengan hanya berkongsi video tarian mereka di TikTok dan menandakan ZUS Coffee. Rakyat Malaysia juga digalakkan untuk berkongsi cerita Raya mereka yang lucu atau menyeramkan menggunakan hashtag #SembangSembangDenganZUS.

Video muzik untuk Cerita Malam Raya boleh ditonton mulai 7 Mac 2025, jam 9 malam, di saluran rasmi ZUS Coffee di Instagram, TikTok, dan YouTube, serta di Spotify.

Melalui kempen ini, ZUS Coffee bukan sahaja meraikan Hari Raya dengan cara yang baharu, tetapi juga terus menyokong dan memperkasa bakat tempatan. Dengan kerjasama artis-artis seperti Luqman Podolski, Zeppo Youngsterz Crew, Faithful Music, dan banyak lagi, ZUS Coffee membuktikan komitmennya untuk menghubungkan rakyat Malaysia melalui karya seni dan perayaan yang penuh bermakna.