Dalam usaha memperkasa kesedaran masyarakat terhadap jenayah siber yang kian membimbangkan, CelcomDigi Berhad berganding bahu dengan Media Prima Berhad dan OMD Malaysia menerbitkan segmen khas Kisah Benar: Scam Siber dalam rancangan ikonik TV3, 999. Inisiatif ini bukan sekadar hiburan, tetapi merupakan langkah pendidikan awam yang memanfaatkan kekuatan penyampaian visual untuk mendedahkan realiti sebenar jenayah digital di Malaysia.
Masyarakat kini semakin terdedah kepada pelbagai bentuk penipuan siber seperti kejuruteraan sosial, laman web palsu, pencurian data dan lain-lain. Melalui penceritaan semula kes-kes sebenar yang pernah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), segmen ini menjadi platform penting untuk menyampaikan maklumat pencegahan secara lebih dekat, mudah difahami dan penuh impak. Di samping itu, kandungan ini juga menyokong literasi digital serta mendorong tindakan pantas dalam melaporkan jenayah kepada pihak berkuasa.
Kisah Benar: Scam Siber akan ditayangkan selama 13 episod bermula 1 Julai hingga 23 September 2025, setiap hari Selasa jam 9.00 malam di TV3. Setiap episod menampilkan lakonan semula kes sebenar bersama kapsul maklumat berguna dan tip pencegahan yang praktikal. Antara topik yang diketengahkan termasuk Macau Scam, Love Scam, Parcel Scam, penipuan pelaburan dalam talian, penipuan tawaran kerja dan banyak lagi.
Bagi mereka yang terlepas tayangan di televisyen, kandungan penting dari segmen ini juga boleh diikuti melalui kapsul video pendek di platform media sosial rasmi TV3 Malaysia (@TV3Malaysia) dan @999tv3. Manakala versi penuh episod boleh ditonton di platform penstriman Tonton. Inisiatif ini memastikan mesej kesedaran terus tersebar secara meluas sepanjang kempen berlangsung.
Chan May Ling, Ketua Perkhidmatan Jenama & Pemasaran CelcomDigi, menjelaskan bahawa jenayah siber berkembang pantas dan kesedaran awam adalah benteng pertahanan pertama. CelcomDigi memilih untuk mengambil pendekatan lebih proaktif dalam memperkasakan masyarakat agar celik keselamatan digital dan bertindak secara bertanggungjawab ketika menggunakan internet.
Sementara itu, Pengarah Urusan OMD Malaysia, Mayank Bhatnagar, menyatakan bahawa kebangkitan semula siri Kisah Benar adalah bukti komitmen pihaknya dalam menghasilkan kempen yang menyentuh isu sebenar masyarakat. Beliau yakin pendekatan berteraskan nilai ini bukan sahaja memberi impak mendalam, tetapi turut membantu membina kepercayaan pelanggan terhadap jenama CelcomDigi.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan segmen Kisah Benar: Scam Siber dalam 999 bermula 1 Julai ini, setiap hari Selasa jam 9.00 malam di TV3. Saksikan bagaimana kisah sebenar dijadikan pedoman dan pelajari cara melindungi diri serta orang tersayang daripada ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.