Bintang Muda Sabah, Kiki Fateeha Tampil Sebagai Juara The Chosen One 2024!

Program realiti nyanyian realiti kanak-kanak, The Chosen One 2024, telah melabuhkan tirainya pada 10 November 2024, dengan Kiki Fateeha diumumkan sebagai juara bagi musim kedua.

Program yang mula disiarkan pada 20 September lalu ini, bersiaran setiap hari Jumaat pada jam 9 malam di Astro Ceria (saluran 611) dan turut disiarkan serentak di Astro Ria (saluran 104). Sebanyak 16 peserta berusia 11 hingga 17 tahun dari seluruh Malaysia bersaing merebut gelaran juara. Empat finalis yang layak ke peringkat akhir adalah Akhil Mikhail, Kiki Fateeha, Azry Sabri, dan Atikah Rose.

Kiki Fateeha

Kiki Fateeha, peserta berusia 13 tahun dari Sabah, memukau juri dengan persembahan hebat dalam dua pusingan. Dalam pusingan pertama, dia menyanyikan Butter (BTS) berduet bersama peserta lain serta Jangan Kau Mimpi (Siti Sarah), dan di pusingan kedua, beliau mendendangkan lagu Kau Kekasihku (Dato’ Sri Siti Nurhaliza). Kemenangan Kiki Fateeha disokong oleh Coach Aepul Roza yang turut memenangi Anugerah ‘Coach Terbaik’ dan membawa pulang RM10,000. Kiki Fateeha membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000, trofi sumbangan Astro, dan sebuah lagu terbitan Rocketfuel Entertainment.

Tempat kedua dimenangi oleh Akhil Mikail (11 tahun, Johor), yang juga menerima Anugerah ‘Persembahan Terbaik’ dengan kemenangan yang dipilih berdasarkan 30% undian penonton dan 70% penilaian juri. Tempat ketiga dan keempat pula dimenangi oleh Atikah Rose dan Azry Sabri, yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000 dan RM5,000, berserta trofi sumbangan Astro.

Program ini turut diserikan dengan penampilan juri jemputan ternama seperti Ziana Zain dan Ajai, yang memberikan pengaruh besar dalam pemilihan pemenang. Konsert akhir The Chosen One 2024 ini turut memberi penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam menjayakan musim ini, serta menampilkan bakat-bakat cemerlang dalam industri muzik Malaysia. Bagi yang terlepas menonton, episod-episod The Chosen One 2024 boleh ditonton menerusi On Demand, Astro GO, dan sooka.