Kemanisan apabila bersifat sabar – Sinar Harian

SUDAH lumrah manusia, walaupun ramai yang mengetahui maksud dan kelebihan bersabar, mereka sering lupa untuk mengamalkannya.

Masakan tidak, apabila diberikan dugaan, rata-ratanya akan mengeluh malah marah-marah lantaran tidak tahan diuji. Namun ketahuilah, setiap kesukaran hidup yang ALLAH berikan adalah seiring dengan kemampuan mereka untuk menghadapinya.

Bahkan, al-Quran menjelaskan pelbagai kebaikan dapat diraih di dunia dan di akhirat oleh insan yang sabar tidak kira sama ada mereka miskin atau kaya.

Ganjaran kepada orang beriman yang memiliki sifat mahmudah tersebut cukup menakjubkan. Beruntunglah golongan itu apabila dijanjikan kejayaan, kebahagiaan, syurga nan indah dan terhindar daripada seksa api neraka.

Firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah, ayat 153: “Sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang sabar.”

Begitulah sayangnya YANG MAHA KUASA sehinggakan orang yang sabar dijamin tidak akan rugi.

Apakah kemanisan-kemanisan lain jika seseorang menghiasi diri dengan sifat sabar?

Sifat Marah

Mengupas lanjut mengenai sifat mahmudah itu, pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan memetik kata-kata Imam al-Ghazali yang menyebut bahawa manusia memiliki nafsu, akal dan hati.

IMAM MUDA HASSAN

IMAM MUDA HASSAN

Jelas beliau, tiga elemen itu sebenarnya tidak boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi ia ada dalam diri kita. Hati itu ibarat raja di dalam diri, akal pula penasihat kepada hati (raja), manakala nafsu bersifat tidak baik yang akan mendorong kepada kejahatan.

“Nafsu itulah yang selalu menasihati raja (hati) supaya membuat kerja lain. Oleh sebab itu, dalam menangani nafsu iaitu musuh dalam diri, perlunya ada sifat sabar. Lawan sifat sabar adalah marah. Manusia susah untuk mengawal kemarahan. Sebab itu sifat sabar begitu penting,” jelas beliau ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Imam Muda Hassan berkata, sabar ada pelbagai jenis. Ia bukan sahaja sabar ketika menghadapi ujian, tetapi juga mengawal kemarahan dan berdepan dengan situasi yang boleh menyebabkan kita melampiaskan amarah.

Pendek kata, tambah beliau, sifat itu perlu ada pada setiap tempat. Ia termasuklah ketika kita menunaikan ibadah seperti solat.

“Apabila kita solat dengan sifat sabar, ibadah yang ditunaikan pun dalam keadaan tenang dan tidak kelam-kabut. Begitu juga sewaktu berdoa dan apabila berhadapan dengan (berita) kematian,” terangnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa selain sifat mahmudah itu, sabar juga sebenarnya merupakan antara salah seorang nama anak iblis.

“Sabar anak iblis itu bukan seperti sifat sabar, tetapi dialah sebenarnya yang memainkan peranan untuk menjadikan anak cucu Nabi Adam AS supaya tidak bersabar. Sabar anak iblis itu musuh kita,” tegas beliau.

Urus takdir

Perkongsian ilmu Imam Muda Hassan tentang topik sabar semakin rancak apabila beliau menyentuh tentang ganjaran kepada orang yang bersabar.

SABAR bukan sahaja ketika dalam kesusahan, namun kita juga perlu ada sifat itu ketika beribadah.

SABAR bukan sahaja ketika dalam kesusahan, namun kita juga perlu ada sifat itu ketika beribadah.

Agamawan itu berkata, Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seorang sahabat tentang amalan terbaik yang perlu dilakukan supaya boleh masuk syurga. Baginda menjawab, jangan marah.

“Jangan marah itu merupakan sifat sabar yang boleh mengatasi sifat marah. Baginda SAW bersabda, ahli syurgalah orang yang memiliki sifat sabar. Ini kerana, orang yang sentiasa mengawal dirinya dengan baik, dia selalu berbaik sangka dengan ALLAH SWT. Inilah yang dikatakan calon-calon ahli syurga.

“Kenapa begitu? Golongan ini sebenarnya tahu apa jua yang melanda, semua itu datang daripada ALLAH. Sebagai hamba, kita tidak boleh melawan takdir ALLAH, cuma kita boleh menguruskan takdir itu dengan baik.

“Bahkan, orang yang bersifat sabar merupakan orang yang sangat tenang di dunia. Apa pun ujian yang diberikan oleh ALLAH, dia tetap dalam keadaan tenang kerana tahu bahawa apa yang akan berlaku akan tetap terjadi. Cuma, bagaimana cara dia hendak berhadapan dengan ujian yang dihadapi itu,” jelas beliau.

Firman ALLAH SWT: “Dan taatlah pada ALLAH dan Rasul-NYA dan janganlah kamu berselisih yang menyebabkanmu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya, ALLAH bersama orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46)

Ayat itu jelas menggambarkan bahawa ALLAH akan bersama dengan orang yang sabar, terang Imam Muda Hasan.

“Jika seseorang itu tidak bersabar, dia sebenarnya berkawan dengan iblis dan syaitan. Alim sepertimana pun orang itu, jika tiada sifat sabar dalam diri, maka akan hilanglah segala kebaikannya itu,” katanya.

Untuk menjadi orang yang sabar, ujar beliau, ia merupakan satu proses yang panjang, bukan mengambil masa sehari atau dua hari.

“Kita kena belajar untuk memahami sifat sabar dengan ilmu menguruskan emosi. Dalam hadis, ada disebut bahawa ketika marah, kita perlu memulakan dengan akhlak yang baik, memaafkan orang tersebut terlebih dahulu, mengucapkan ta’awuz dan jika masih lagi berasa marah, keluarlah daripada situasi berkenaan. Akhir sekali, ambillah wuduk untuk menjadikan hati lebih tenang,” ujar beliau.

90 kali disebut dalam al-Quran

agi mendapatkan penjelasan lanjut tentang topik sabar, Sinar Islam mendapatkan pendakwah Ustaz Mohamed Hanafiah Abd Malek atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi.

USTAZ HANAFI

USTAZ HANAFI

Ujar agamawan itu, peri pentingnya sifat sabar itu sehinggakan perkataan itu diulangi sebanyak 90 kali dalam al-Quran.

Ketahuilah bahawa sabar menjadi benteng supaya kita tidak membinasakan diri dengan dosa dan maksiat serta tidak bergaduh sesama manusia dengan penuh amarah dan dikuasai oleh baran, kata beliau.

“Benar, memang ALLAH memerintahkan kita supaya bersifat sabar. Kemanisannya akan dirasai apabila kita berada dekat dengan ALLAH yang MAHA PENYAYANG. Cuba kita renungkan kisah Bilal bin Rabah RA. Biarpun beliau diseksa dengan seksaan yang amat berat, namun semua itu dapat dilaluinya dengan tenang.

“Percayalah kita akan disayangi ALLAH dan disenangi oleh manusia kerana hidup sentiasa dalam keadaan tenang. Seperkara lagi, apabila diuji, sabar itu menjadi pertahanan untuk diri kita. Pada masa sama, berdoalah kepada ALLAH, istighfar dan berkumpul dengan orang soleh agar diri kita terus istiqamah dengan sifat sabar yang mulia ini,” kata beliau menerusi aplikasi WhatsApp.

Ustaz Hanafi turut menitipkan pesan agar kita jangan hilang sifat sabar dalam diri kerana dikhuatiri akan menghilangkan harga diri kita.

“Ia boleh menjebakkan kita ke kancah dosa kerana terikut hasutan syaitan dan nafsu seperti zina, dadah, rasuah dan meninggalkan solat,” jelas beliau.

‘Tak boleh bersabar jika berkaitan hak-hak ALLAH’

Hidup di dunia yang fana ini sememangnya tidak lari daripada ujian. Tidak lengkap rasanya hidup tanpa merentas dugaan yang pelbagai. Dengan itu semua, ia akan mencorakkan hari-hari seorang manusia di muka bumi ini.

Perkara turut diakui pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid. Namun ketika ditanya situasi bagaimanakah kita dimaafkan apabila hilang sabar? Menjawab persoalan itu, agamawan itu berkata, ALLAH sebenarnya menyuruh hamba-NYA agar bersabar dalam semua keadaan.

USTAZ WAN AKASHAH

USTAZ WAN AKASHAH

Pun begitu, tambah beliau, apabila terdapat situasi yang menyentuh berkenaan hak ALLAH seperti penghinaan terhadap Islam, para nabi dan al-Quran, ia perlu dititikberatkan.

“Pada masa itu, kita tidak boleh bersabar kerana ia melibatkan perkara berkaitan dengan hak-hak ALLAH. Kita kena dahulukan. “Sifat sabar hanya melibatkan apabila ia sekadar menyentuh peribadi, keluarga dan sebagainya. Namun, tidak jika ia melibatkan agama kerana sabar juga ada batasnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Mengulas lanjut tentang sifat sabar, ujar Ustaz Wan Akashah, ALLAH SWT menguji manusia atas pelbagai sebab dengan bermacam jenis ujian.

“Ada (ujian) yang berbentuk penyakit, kesusahan, kepayahan, kekayaan dan banyak lagi. Sebagai hamba, kita kena bersabar.

“Ingatlah bahawa apabila ALLAH menguji kita, kita disuruh bersabar. Sesungguhnya, ALLAH sebenarnya tidak akan mensia-siakan sifat sabar kita itu,” katanya.

Firman ALLAH SWT: “…Hanya orang-orang yang bersabar yang disempurnakan pahalanya tanpa batas.” (Surah al-Zumar, ayat 10)

Jelas agamawan itu lagi, ALLAH SWT menjanjikan pahala yang infiniti atau tanpa batas kepada mereka yang bersabar.

“Contohnya, apabila kita menunaikan solat, satu pahala akan diperoleh. Jika kita melakukan solat jemaah, ia akan dilipat gandakan sebanyak 27 kali ganda. Andai kata, kita membaca al-Quran, satu huruf dapat 10 pahala dan ALLAH boleh gandakan sehingga 700 kali ganda pahala.

“Namun, untuk pahala sabar, ALLAH tidak menyebutkan jumlah yang spesifik. ALLAH kata, pahala bersabar adalah tanpa batas, bukan 100, 1,000, 1 juta mahupun 1 bilion, tetapi infiniti,” jelas beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.

Sumber