Kelebihan berwuduk sebelum tidur

SEBELUM tidur, kita digalakkan untuk mengambil wuduk.

Perkara itu ada disebutkan di dalam hadis Rasulullah SAW.

Sabda baginda SAW: “Apabila kamu pergi ke tempat pembaringan kamu, maka, hendaklah kamu wuduk seperti kamu wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di lambung sebelah kananmu.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Katakan apabila kita sudah berwuduk untuk tidur dan kemudian terbatal pula sebelum tidur, kita disunatkan untuk mengulangi wuduk itu. Ini kerana maksud wuduk di sini adalah supaya kita tidur dalam keadaan taharah (suci).

Kenapa kita dianjurkan berwuduk sebelum tidur?

Dalam buku al-I’jaz al-ilmi fi al-Islam wa al-Sunnah al-Nabawiyah, Muhammad Kamil Abd al-Somad menjelaskan bahawa manfaat dalam wuduk sangatlah besar untuk tubuh badan manusia.

Wuduk dimulai dengan membasuh tangan, menyela-nyela jari, berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam lubang hidung, membasuh muka, membasuh kedua tangan sampai ke siku, mengusap kepala, membasuh telinga sehinggalah membasuh kaki hingga ke buku lali.

Perbuatan wuduk ini sama seperti yang dianjurkan pakar kesihatan iaitu membersihkan kaki, mulut dan muka sebelum tidur.

Bahkan, sejumlah pakar kecantikan menghasilkan alat kecantikan agar dapat menjaga kesihatan kulit muka.

Selain itu, galakan berwuduk juga mengandungi nilai ibadah yang tinggi.

Jika seseorang berada dalam keadaan suci, bererti kita dekat dengan ALLAH.

ALLAH akan dekat dan cinta kepada orang-orang yang berada dalam keadaan suci.

Percayalah, setiap perintah ALLAH pasti mempunyai maslahat dan manfaat serta menolak mudarat.

(Sumber: Al-Kafi #1168: Anjuran Berwuduk Sebelum Tidur, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *