Orang ramai dijemput menghadiri Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 Zon Tengah yang berlangsung selama tiga hari bermula 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Mydin MITC Melaka.

Majlis perasmian rasmi karnival ini akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, pada Jumaat, 31 Julai 2026, jam 11.00 pagi.

Penganjuran karnival ini merupakan inisiatif kerajaan menerusi Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) bagi memperkukuhkan pelaksanaan Dasar Peluang Kedua Insolvensi. Dasar ini bertujuan memberi peluang kepada individu yang berdepan masalah kewangan untuk membina semula kehidupan mereka melalui pelbagai bantuan, khidmat nasihat dan sokongan.

Sepanjang tiga hari karnival berlangsung, pengunjung boleh mendapatkan khidmat konsultasi serta nasihat berkaitan kebankrapan daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, membuat semakan status kebankrapan, dan mendapatkan penerangan mengenai proses pelepasan kebankrapan. Turut disediakan ialah pameran serta perkhidmatan daripada pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik, selain program kesedaran kewangan serta literasi pengurusan hutang.

Salah satu tarikan utama ialah lelongan aset, kenderaan dan hartanah dengan harga permulaan serendah RM10. Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti mesra keluarga, pesta makanan, pertandingan rakyat dan cabutan bertuah sepanjang karnival berlangsung.

Selain itu, pengunjung berpeluang menikmati Jualan Rahmah serta Jualan Murah Shopee yang menawarkan pelbagai barangan pada harga berpatutan. Suasana karnival turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis terkenal tanah air selama tiga malam berturut-turut, antaranya Dato’ Hattan, Tomok, Baby Shima dan Azlan Typewriter. Karnival ini bukan sekadar platform penyampaian maklumat serta perkhidmatan kerajaan, malah sebuah festival komuniti yang menggabungkan elemen pendidikan, hiburan dan kesejahteraan rakyat.

Penganjuran Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 bertujuan mendekatkan perkhidmatan Jabatan Insolvensi Malaysia kepada masyarakat, meningkatkan kesedaran mengenai Dasar Peluang Kedua, serta mengurangkan stigma terhadap individu yang pernah berdepan isu kebankrapan.

Karnival ini berlangsung dari 31 Julai hingga 2 Ogos 2026, bermula jam 10.00 pagi hingga 12.00 malam di Mydin MITC Melaka. Orang ramai dijemput hadir bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan, menikmati aktiviti menarik serta memanfaatkan peluang yang disediakan menerusi inisiatif kerajaan ini.

“Peluang Kedua, Harapan Baharu.”